10 Tahun Dalam Dunia Human Resources Management

Sekitar 10 tahun saya duduk dalam dunia Human Resource Management di sebuah syarikat automotif mega dalam negara, saya belajar bab proses mengambil pekerja. Ini yang saya perolehi:

1. Sekitar tahun 2007-2010, graduan ijazah (baru) yang memohon jawatan eksekutif akan meletakkan gaji sekitar RM1,600-2,500.

2. Tahun 2011-2017, graduan ijazah (baru) yang memohon jawatan eksekutif akan meletakkan gaji sekitar RM1,600-3,500.

3. Mereka punya titik persamaan yang besar iaitu tiada pengalaman.

4. Apabila dipanggil temuduga, baru nak cerita pernah kerja kontrak sana sini, kerja part time sana sini.

5. Akaun sosial media mereka sangat teruk dengan tetapan profile yang main-main seperti meletakkan gambar cover yang bukan-bukan, membuat posting yang merepek serta di bahagian about (working) juga tidak ada titik kepercayaan kepada bakal majikan.

6. Apabila ditanya tentang media sosial, mereka kata itu adalah ‘privacy’ mereka.

7. Majikan setuju tentang itu, namun menggunakan tiket ‘privacy’ bukan sebuah lorong kepada perkara yang negatif, bukan-bukan dan membawa kepada kesan tak baik kepada diri.

8. Berbalah dan berbahas di medan temuduga adalah perkara biasa. Dan itu menyakitkan majikan. Semasa sesi temuduga, biasanya soalan yang membawa perbahasan adalah soalan perangkap. Jika kalian tenang, kalian menang.

9. Rata-rata graduan memang hebat di sijil, hebat semasa belajar namun sangat teruk dari sudut menguasai kemahiran komunikasi.

10. Mengetahui isu semasa merupakan kredit besar dalam sesi temuduga. Ia sebuah kredibiliti tentang membaca, pandai dan bijak berfikir tentang isu dan biasanya orang ini juga bijak di lapangan kerja.

11. Jika benar kalian nak makan gaji, nak kerja di syarikat orang, pastikan dah ada dalam kepala tentang hormat, tak kuat melawan dan tak payah tunjuk hebat. Hanya kerja kuat dan belajar sebanyak-banyaknya.

12. Bekerja adalah medan networking terbaik. Berbaik dengan semua orang adalah tiket hubungan baik kepada banyaknya perkara termasuk senang kerja dan mudah mendapatkan solusi. Semua ini bermula dari merendah diri.

Adik-adik,

Pertama, Sesi temuduga merupakan sebuah peperangan yang kalian perlu menang dengan sehemah mungkin.

Ke-dua, media sosial sekarang adalah topeng sebenar sikap kalian. Mengikut beberapa kajian, sudah banyak syarikat melihat akaun personal media sosial bakal calon temuduga sebelum calon itu dipanggil.

Sikap di media sosial biasanya merupakan sikap sebenar manusia itu yang disorok di alam realiti.

LinkedIn adalah medan kalian meletakkan resume, CV dan kemaskini kerjaya.

Namun Instagram, Facebook, Twitter dan lain-lain adalah medan mengetahui behaviour kalian.

Jadi adik-adik,

Pada zaman kalian ini, sudah tak ada medan nak main-main. Semuanya perlu kalian ambil serius.

Zaman ini terlalu laju, jika kalian tertinggal, berdarah hidunglah nak mengejarnya.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Pernah Jadi Cikgu Sosial Media Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), TNB.

(Visited 370 times, 1 visits today)