
Saya pun tak faham kenapa nak bandingkan penggunaan whatsapp dengan penggunaan Al-Quran. Ayat-ayat ini berlegar sahaja:
“Sekarang tak boleh buka Whatsapp kemain bergegar, agak-agak nanti tak boleh buka Quran bergegar tak?”
Whatsapp adalah satu software yang digunakan untuk berhubung sesama manusia. Sedang Al-Quran pula menjadi nadi pada setiap muslim.
Memang secara logiknya, jika whatsapp itu ada masalah, maka segala perbualan, butiran bisnes, dan segala bentuk bukti conversation antara satu manusia dengan manusia lain akan menimbulkan masalah besar. Dan ia memang menyusahkan terutama para peniaga.
Kawan-kawan yang baik, perli-perli begitu sudah tidak makan lagi untuk generasi Alpha Beta Gamma ini. Sekadar kau boleh dapat like seratus dua sahaja. Hati-hati, jika kau nak sentap-sentapkan manusia konon beri sedar dengan pukul rata, Tuhan juga akan ajar kau untuk sentapkan kau.
Kadang-kadang, nak dakwah bukan main taram letak ayat-ayat yang kau rasa enak. Ia lebih kepada logik akal yang diterima oleh audien kau sendiri. Cuba kau fikir, berapa peratus yang buka Al-Quran dengan status kau yang banyak perli-perli dari kau dapat bercerita dengan baik kisah-kisah yang ada dalam Quran itu sendiri.
Selama kita hidup sebagai seorang muslim, ada berapa banyak kisah dalam Al-Quran kita dapat beri contoh kepada diri sendiri? Tak perlu sibuk nak sebar kepada orang dulu. Tanya diri sendiri.
Ya kawan,
Nak ajar mendekatkan diri kepada Tuhan, perlu ada kawan yang ajar dengan baik. Kalau dapat kawan kaki menyentapkan orang, rasanya dengan kau kau kena tumbuk muka.
Cuba kau fikir, institusi pendidikan di negara Islam kita ini hanya menumpukan sepenuhnya kepada boleh membaca dalam bahasa melayu dan bahasa inggeris. Jika kau mahu pandai mengaji, ia perlu diambil atas inisiatif ibu bapa atau kau sendiri.
Cuba kau fikir dalam-dalam, di setiap 10 orang muslim di Malaysia, berapa ramai yang masih tidak pandai mengaji Al-Quran?
Kau tolonglah jawab. Kau pandai.
Hari ini semua nak mencontohi Rasulullah (selawat). Siap kata bila berdakwah kena contohi Rasulullah (selawat). Rasulullah (selawat) dulu berdakwah hingga kena baling batu dan berdarah di kepala (kisah di Taif), kita kena cerca sikit pun dah nak give up katanya.
Hoi kawan, kau kena cerca kerana kau tak henti-henti merasakan kau lebih bijak dari orang lain. Merasakan kau mulia dari sesiapa pun. Itulah masalah kau yang paling besar. Sedangkan kau boleh sahaja mendidik dengan ayat-ayat lunak yang tidak mengajar-ajar.
Saidatina Aisyah R.A pernah ditanya:
“Bilakah manusia menjadi jahat?”
Beliau menjawab, “Bila dia mula rasa dirinya baik”.
Sekian.
Khairul Hakimin Muhammad
Dah lama tak kecewa begini.