Bab kena hina ini, kita simpan sendiri sahajalah. Tak payah jaja beriya. Lebih lagi jika ia datang dari orang yang pernah kita sayang, atau sedang kita sayang.
10 tahun lepas, naik bernanah telinga aku apabila orang gelar aku ini menumpang dengan kesenangan bini. Iya, dia kerja bagus di hospital besar, sedang aku seorang jurujual barangan herba.
Awal-awal, aku tak boleh nak hadap. Namun ia berlarutan sampailah aku sebati dengan perkataan demi perkataan yang aku terima.
Aku hanya pertahankan diri dengan sebiji hati kecil yang aku ada. Yang mana segala darah kotor tertapis sendiri di situ apabila telinga aku mendengar ayat-ayat celaka yang masuk, maka hati aku ini akan bekerja dengan cukup keras supaya ia tidak sampai ke kepala. Jika ia pergi naik juga ke atas, maka aku akan susah nak tidur.
Namun semua itu sekarang sudah jadi kenangan.
Aku buat apa yang wajar dibuat. Aku tegas dengan isteri bab tugas dia di dalam rumah. Dan isteri juga tegas dengan aku bab aku berusaha sampai berjaya.
Dia sayap aku. Aku menulis, dia sediakan kopi, biskut, meja bagai. Setiap kali nak travel dia bekalkan macam-macam termasuk ubat semua. Kami sama-sama kerja keras untuk buat yang terbaik.
Demi keluarga, demi diri sendiri, demi anak, demi emak abah yang masih hidup. Bukan demi mulut-mulut yang pernah begitu begini dengan kami.
Nak kata dah berjaya, belum lagi. Namun segala perit jerih semakin berjaya menutup mulut-mulut tersebut. Malah hari ini, kami layan mereka itu dengan sebaik-baik layanan yang kami boleh buat.
Ingat kawan, jika kita memburukkan mereka atau kita membalas layanan tak elok hanya disebabkan kita pernah kena teruk suatu masa lalu, jujurnya ia jadikan sama sahaja kita dengan mereka itu. Balaslah dengan kebaikan yang kita ada. itu sebuah perbezaan yang hati kecil kita itu masih kuat bertahan untuk bertemu Tuhan nanti.
Aku ok sahaja orang nak kata aku ini menumpang, aku ini senang hanya kerana isteri aku bergaji besar. Aku akan kasi senyuman paling manis yang aku ada. Takkan aku nak pertahankan dengan apa yang aku bayar, apa yang aku usahakan dan apa yang aku kerjakan. Tak payah. Cukup sekadar aku dan isteri tahu apa fungsi aku dalam keluarga. Dan apa tugas isteri kepada aku dan anak-anak. Cukuplah.
Kita yang membesarkan keluarga. Kita juga yang kena hadap susah payah. Orang boleh sembang begitu begini, namun 2-3 kali kami diuji keras dengan Tuhan, manusia-manusia ini haram tak pernah tolong pun. Takat sembang kencang sahajalah. Perli lagi ada.
Jadi kawan,
Tetapkan diri. Tebalkan telinga. Tak payah bertempur atau berlawan cakap atau bertumbuk bagai. Kau teruskan perjuangan diam-diam. Tak kiralah sampai 10-20 tahun pun, janji kau berusaha sebaik mungkin untuk keluarga kau sendiri. Itu paling mustahak.
Ingat ini, sabar selalu menang. Namun, sabar itu bukan tunggu sambil main dota dik. Aku tampar kau nanti. Kena berbuat sesuatu. Usahakan sampai jadi.
Jika kau tumbang sekarang dan sibuknya duk tulis dekat media sosial, ketahuilah kau sedang kalah dan mati berkali-kali. Itu kerja orang tak ada kerja. Bermain dengan emosi akan buat kau lemah dan gelisah sepanjang masa. Bangkitlah!
Orang menang ialah orang yang merancang untuk peperangan seterusnya. Pasang strategi, kuatkan kekuda, dan berlawanlah dengan sehemah mungkin.
Dengan senyum, sabar dan buat diam-diam, tahan segala panahan orang, cuba untuk kool setiap kali diserang, dan suatu hari nanti kau akan kalahkan mereka dengan semua itu apabila kau berjaya nanti. Cewah. Macam movie. Kahkah.
Selamatlah kau orang berperang dengan sabar! Ia separuh dari iman okeh. Separuh! Lagi separuh mana? Itu kau kena tanya ustaz dekat surau rumah kau lah. Ok bai.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tak tumbang diperli, tak besar dipuji. Cewah.