Soalan: Tuan, tuan cerita bagaimana nak happy elak kawan yang toksik pagi semalam, namun saya sendiri berhadapan dengan ahli keluarga sendiri. Tuan boleh beri cadangan macam mana ya saya nak lalui hari-hari? Stressnya tak boleh bawa bincang.
Jawapan:
Ini yang saya sendiri buat.
1. Apabila dia persoal bisnes kita, kita jawab “ya, ya. Awak betul.” Biasanya dia akan terus berdiam.
2. Apabila dia persoal “dekat FB kemain menjual, tapi tengok tak kaya-kaya pun kau ni.” Kita jawab, “itulah, belum lagi. Setakat ini bolehlah 1-2 terjual. Nanti dah kaya saya tutuplah FB tu. Hihihi.”
3. Apabila dia sentiasa burukkan kita di belakang dan akhirnya cerita itu sampai kepada kita, kita terima dengan senyum dan kata dalam hati “ramainya yang ambil tahu, Ya Allah semoga mereka ini juga akan beli dari aku esok dan hari seterusnya.”
4. Kalau dia perli “ha inilah jutawan kita di Facebook!” Di khalayak ramai atau di hadapan semua keluarga, cepat-cepat kita jawab dengan angkat dua-dua belah tangan dan cakap “aminnnn aminnnnn!” Biasanya mereka semua akan terdiam.
5. Apabila dia selalu tengok wall kita, dia tak komen, dia tak like, dia tak beli, namun apabila berdepan dia tanya itu ini, perli begitu begini, terus unfriend sahaja. Jangan block. Biar dia tengok dari jauh kejayaan kita satu demi satu. Itu adalah kesakitan paling dasyat di hati dia. Kita tenang fokus buat kerja dan tidak sesekali singgah di wall dia. Sibukkan diri okey!
6. Setiap pagi, mulakan kehidupan dengan mendoakan dia dapat banyaknya kebaikan dari Allah. Kalian akan dapat ketenangan sepanjang hari.
7. Setiap malam, tutup dengan maafkan kesilapan dia. Kalian akan dapat ketenangan hati semasa tidur.
8. Jika mereka minta tolong, terus buat jangan sesekali tangguh. Itu kebaikan yang membezakan kita dengan mereka.
9. Apabila kalian dah berjaya, bantu mereka. Buang perasaan benci, buang rasa menyampah dan peluklah mereka seerat-eratnya. Ini yang dituntut oleh keluarga dan membezakan kita dengan dia.
10. Terus buat baik walau apa yang berlaku, jika tak tahan, berundurlah sedikit, namun berdiam diri. Letak dalam hati, dalam kepala yang kalian tak boleh balas 1 pun kejahatan yang mereka buat dengan kejahatan semula. Mereka keluarga dan sentiasa perlu disayangi.
Kawan-kawan,
Ini saya dapat dari banyaknya kelas-kelas yang saya pergi. Kebanyakan jutawan, hartawan dan dermawan yang saya jumpa adalah dari kalangan mereka yang pernah dibenci keluarga kerana sedikit berbeza dari ahli yang lain.
Namun mereka ini tak pernah buang keluarga mereka sendiri. Mereka hadap dan terus sayang sampai bila-bila. Tidak ada sakit hati, tak ada juga benci-benci.
Keluarga adalah anugerah, ini antara benda yang saya belajar. Ia tidak boleh dipilih dan sentiasa disuruh berbuat baik. Jika di pihak sana tak mahu, kita tak boleh buat apa. Kita hanya boleh kawal diri kita, jadi buatlah baik walau apapun yang berlaku.
Kerana itu sahaja jalan yang Allah suka dan itu juga janji Allah untuk beri kita syurga. Ia adalah berbuat baik.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Syukur keluarga kami sekarang semuanya baik-baik sahaja.
(Visited 302 times, 1 visits today)