Bagaimana nak kreatif dalam bisnes?

Minggu lepas saya dipanggil oleh seorang CEO sebuah syarikat. Beliau mahu cuba menulis di Facebook untuk menaikkan kredibilitinya.

Bisnes kencang, buat property dan ada kedai makan. Waktu saya datang ke pejabatnya, paling saya kagum ialah beliau buat macam rumah. Ada ruang tamu, tempat solat, ada tempat lepak, ruang tv semua. Lengkap.

Kami bersembang beriya juga. Kejap-kejap saya tanya beliau, ada masa beliau tanya saya.

Saya tanya bagaimana beliau bermula untuk bisnes ini. Yang saya fikir dah cecah juta-juta punya pendapatan tahunan.

Kata beliau, ada cikgu yang mengajar beliau untuk mulakan sesuatu dengan memberi. Dan benda itu kalau boleh tahan lama, lagi bagus.

Dari situ, kita tak sedar ja pahalanya berjangkit ke hal-hal rezeki.

Beliau cerita masa mula-mula nak keluar modal, beliau asingkan RM500. Kemudian beliau ambil duit itu pergi beli selipar-selipar yang murah.

Kemudian selipar itu diletakkan di tandas-tandas surau dan masjid. Pergi hantar selepas solat subuh atau asar, waktu itu tak ramai orang dan tak ada yang tahu.

Hanya hantar dan susun terus sahaja di tandas-tandas tersebut.

Kemudian, baru mula bisnes. Kata beliau, naik turun bisnes itu biasa. Waktu tiba-tiba sales drop, beli selipar lagi. Hantar lagi ke surau dan masjid lain.

Sampai ke hari ini beliau masih buat. Dan yang terbaharu, beliau pasang kipas di tempat perhimpunan dan ruang luar masjid atau surau. Kata beliau, memang enjoy gila buat benda itu.

Hari ini kata beliau, bukan hal bisnes sahaja kena kreatif, hal memberi juga kena buat. Itu hari dia hantar anaknya masuk darjah 1, kata beliau tengok tandas teruk ya amat.

Terus dia hantar orang baiki. Sampai cikgu-cikgu bertanya siapa dia yang suruh. Bagi dia, yang penting buat baik. Tak payah orang tahu siapa yang beri itu beri ini.

Hari ini, beliau kata, itulah ikhlas.

Lantak pi orang tahu ke tak, Allah tahu. Waktu kita susah, kena memberi. Waktu nak mulakan sesuatu, memberi dulu. Allah tengok semua itu. Bukan sahaja perbuatan, Allah tengok hati kita semua. Semua.

Dan tengoklah Allah memberi kita pula dengan berbagai gaya selepas itu.

Ada sahaja dan alhamdulillah tak putus-putus.

Saya sampai hari ini masih termenung mendengar semua itu. Tak pernah saya terfikir yang kita boleh buat baik sampai begitu sekali. Itulah perjalanan kita semua.

Mungkin rezeki saya, dapat dengar semua ini. Kemudian kongsi dengan kalian. Manalah tahu siapa pergi dulu, paling kurang ada juga manfaat orang nak baca walau kita dah tak ada nanti.

Sungguhlah.

Nak Allah pemurah, kita dulu kena jadi pemurah. Ya Rabb, alhamdulillah. Belajar lagi.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Berselipar ke syurga.

(Visited 289 times, 1 visits today)