Bangkit Selepas Diuji

Jujurnya pagi semalam lepas duk baca buku tulisan Arum Faiza, ‘Azimah – Derita Gadis Aleppo’ saya jadi down sekejap. Memang ya merindui nak masuk semula ke Syria dan melihat anak-anak di sana bagaimalah keadaannya.

Duk kemas-kemas lagi buku, teringat ada kawan pernah nasihat, kalau down, baca surah Ad-Dhuha. Katanya, nabi dulu pernah juga dalam keadaan lemah semangat, pemikirannya sedikit terganggu, masuk ke dalam dunia depress dan memohon keampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah kerana hampir 6 bulan tidak menerima apa-apa wahyu dari Allah walau di dalam mimpi.

Baginda terpaksa melalui hinaan orang musyrik Makkah yang menganggap Rasulullah tidak lagi dipedulikan oleh Allah.

Lalu Allah turunkan surah ini. Dan kawan-kawan, lihatlah betapa indahnya ayat-ayat di dalamnya.

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

وَالضُّحَى(1)
وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى(2)
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى(3)
وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الْأُولَى(4)
وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى(5)
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى(6)
وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى(7)
وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَى(8)
فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ(9)
وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ(10)
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ(11)

Wad Dhuhaa (1).
Wal laili iza sajaa (2).
Ma wad da’aka rabbuka wa ma qalaa (3).
Walal aakhiratul khairul laka minal uula (4).
Wala sawfayu’tika rabbuka fatarda (5).
Alam ya jidka yateeman fa aawaa (6).
Wawa jadaka do lann fahadaa (7).
Wawa jadaka aa ilaa faargh na (8).
Faammal yateema fala ta’khar (9).
Waammas saela fala tanhar (10).
Waama binikmati rabbika fahaddis (11).

Demi waktu dhuha (1).

Dan malam apabila ia sunyi-sepi (2).

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan ia tidak membenci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik) (3).

Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya (4).

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda – berpuas hati. (5).

Bukankah Dia mendapati Engkau yatim piatum lalu Ia memberikan perlindungan (6).

Dan didapati Engkau mencari-cari (jalan yang benar) lalu ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? (7).

Dan didapatinya Engkau miskin, lalu ia memberikan kekayaan? (8).

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya (9).

Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah Engkau tengking herdik (10).

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya (11).

***

Kawan-kawan yang baik, di dalam surah ini ada dinyatakan, apabila kita sedang bersedih, down, depress, perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah bangun dan lihatlah matahari.

Kebiasaannya, apabila kita down, kita lebih suka memerap di dalam bilik, tidur sepanjang hari dan banyak mahu menyendiri. Dan untuk atasinya, ialah keluar, lihatlah suasana dan cahaya, ia akan memberi rawatan dan mengubat secara perlahan-lahan. Namun pada waktu malam, tidurlah seperti biasa, rehat dan biarkan segala kepenatan resah gelisah itu pergi jauh-jauh.

Allah tidak pernah lupakan kita. Tidak membenci kita, dan sentiasa berada bersama kita. Ayat ke-5 itu, “Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda – berpuas hati. (5).”

Menunjukkan Allah menyuruh kita berusaha hingga berjaya dan mengubah dari asal kepada kejayaan yang kita akan sukai, puas hati dan berbahagia dengan semua itu.

Kita selalu rasa kita susah. Kita penat. Hidup kita sering tak menyebelahi kita. Namun kawan-kawan, sesungguhnya, ada yang jauh lebih teruk dari itu.

Ada negara yang masih berperang. Anak-anak yang dah lupa nama emak ayah, lupa nama sendiri kerana trauma dan terkejut dengan letupan bom setiap hari. Melihat emak ayah terputus kepala, hancur tangan kaki dan sebagainya, semuanya mereka hadap dengan keterpaksaan yang amat dasyat.

Dan kita ini, merasakan ujian kita sudah cukup-cukup hebat.

Wahai kawan-kawan,

Allah uji orang itu, sepadan dengan apa yang dia boleh terima. Jika tidak, Allah tidak akan uji begitu begini. Allah tahu kita siapa, tahap mana kita dan Dia sentiasa mahu kita hadap setiap dari 1 ujiannya itu dengan mengingatiNya.

Dan apabila berjaya, kita juga diuji adakah masih bersyukur kepadaNya.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Bangkit sama-sama jom.

(Visited 147 times, 1 visits today)