Beri Apa Yang Paling Kau Sayang

Semasa di Kem Pelarian Syria baru-baru ini, saya disuapkan sesudu madu oleh ibu di situ, waktu duk sibuk masak sup untuk mereka. Katanya untuk beri saya segar sepanjang malam takut kesejukan.

Ketua kampung cakap, madu itu mahal. Siapa yang dapat, dia bertuah. Kerana itu tentunya pemberian sesiapa, nak beli tak mampu. Namun dia beri kepada saya sesudu, tentunya saya ini bertuah.

Katanya, untuk dapat sekitar 450gm madu, lebah-lebah madu ini perlu “menyedut” lebih 2,000,000 bunga. Sebab itu madu asli sangat mahal.

Mungkin sebab itu Allah siap sebut kisah lebah dan madu di dalam Al-Quran. Kerana penghasilannya dari lebah ini adalah sesuatu yang sangat rumit. Kemudian beliau membaca surah An-Nahl ayat 69. Beriya-iya saya taip dalam notes waktu itu.

“Masya-Allah, Masya-Allah.” Dia duk ulang banyak kali.

Huhu. Kagum saya dengan mereka ini. Apabila bercakap, terus kasi hujah dan fakta. Walau duduk dalam khemah, walau hanya berbaju lusuh dan comot sana sini, bab ilmu mereka superb. Dan paling rasa bertuah ialah mereka berkongsi sesuatu yang mereka sayang.

Bayanglah, kalau benda itu mahal, dan ada pula sedikit, sanggup lagi beri kepada orang yang dia tak kenal, dan langsung tak berharap balasan. Semasa beliau suapkan saya, dia suruh saya jilat sudu tersebut sampai bersih. Supaya tak ada sikit pun baki yang tertinggal.

Huhu. Ya Rabb. Malu dibuatnya.

Sungguhlah, orang yang tiada apa-apa, dia akan berkongsi segalanya. Dan dia tahu, Allah akan gantikan dengan pahala. Yang mana, benda itu kita tak nampak. Cuma kita tahu ganjaran itu adalah saham besar di syurga nanti.

Keyakinan yang itu, memang bukan senang nak capai. Semoga kita juga mendapat hati yang sama seperti mereka.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Kami akan kembali ke sana.

(Visited 201 times, 1 visits today)