Beringatlah Itu Emak

Waktu-waktu begini memang seronok menulis. Biasanya saya asah dengan membaca sekitar 30-45 minit barulah mulakan perkataan dan ayat pertama untuk plot dan sublot penulisan.
 
Sebuah seronok yang sukarnya saya nak jelaskan.
 
Sedang asyik membaca tadi, saya terjumpa dengan bait ayat:
 
[Kelak kalau ia ditegur dengan baik, lebih-lebih sedang hatinya terhadap kepada yang lain itu, disumbatnya saja mulut isterinya dengan perkataan,
 
“Kau tak usah campur, kau hanya perempuan.”
Sudah berpuluh, beratus, dan beribu perempuan yang menjadi korban begini.
Setengahnya mati dalam mengeluh, menukar kubur hidupnya dengan kubur pusaranya.
Setengahnya putus asa lalu membunuh diri, dan setengahnya pula, yang otaknya lemah, langkah salah yang dilaluinya!
Setengahnya lagi diterimanya saja nasib itu dengan keluh,
“Memang kita kaum perempuan sudah ditakdirkan demikian.”
 
Semuanya itu sesat, salah dan bukan demikian mestinya.
 
(Buya HAMKA, 1001 Soal Kehidupan]
 
Saya terdiam sekejap.
 
Allah yang maha segala ini menciptakan wanita itu dengan segala serba serbi yang melengkapi lelaki.
 
Banyak kali, dari kita kecil, tubuh dan akal wanita ini diangkat Tuhan supaya kita belajar menghormati, mengagumi dan sentiasa memandang mereka tinggi.
 
Ibu, emak, isteri, kakak, adik, makcik, anak, semuanya ada tarafnya yang tersendiri.

Semalam, selepas kepenatan menguruskan kelas. Ada lagi beberapa siri mesyuarat.
Selepas semuanya selesai, saya pulang. Balik menuju rumah, singgah di stesen minyak untuk keluarkan duit. Sedang beratur, lebih kurang 3-4 orang di hadapan saya datang seorang anak muda membaling dompet kepada seorang tua kemudian bercakap dengan kuat “lain kali boleh tak jangan lupa lupa lupa!”
 
Semua memandang. Perempuan tua itu mengutip dompetnya di lantai. Manakala budak lelaki yang membaling itu lekas keluar.
 
Selang beberapa saat, perempuan yang di belakang perempuan tua itu bertanya, “siapa tu makcik?”
 
Makcik itu menjawab, “anak saya. Saya tak perasan tak bawa purse. Mesej dia suruh hantar, kalau keluar barisan ini karang kena beratur semula. Dia penat agaknya, itu marah-marah.” Wajahnya manis sahaja tanpa sikitpun ada rasa sedih dan gelisah.
 
Makcik itu keluarkan duitnya. Kami pun sama.
 
Saya memandang manalah kelibat mereka, kot masih ada. Tak ada. Sudah pulang barangkali.
Balik rumah, tengok-tengok ‘Ain dan mamanya dah ada. Saya gembira.
 
Sepanjang perjalanan menuju ke rumahku syurgaku itu saya tak puas hati. Kenapalah seorang anak tergamak berbuat kasar dengan seorang ibu yang mahukan pertolongan yang sangat kecil.
 
Dan si ibu, tak marah, malah reda sahaja.
 
Saya teringat kata-kata kawan saya,
 
“Mak pak kita hari ini takut dengan anak-anak. Anak ada duit, kaya, sebab ada semua itu, anak-anak ni duk buat mak pak macam hamba. Duk rumah kita, namun suruh masak, suruh kemas, suruh jaga anak kita.
 
Mula-mula ajak duk rumah, kemudian suruh. Lepas itu anak-anak kita pula pandai bawa cerita, kita pun jadikan mak pak kita ini pekerja. Masa itu kita hilang hormat pada mak pak.

Kita buang segala kasih sayang. Kita utamakan diri kita yang hebat ini. Ini semua gila. Mak pak kita dah tua, tak lawan dah. Depa diam ja. Hakikatnya depa ini jiwa depa dah mati dah, malah sampai ke tahap duk rasa biar matilah daripada terus hidup dari dapat anak gini.”

Sungguhlah, jadi ibu ini sebuah pengorbanan yang tak pernah bertepi. Saat kita kecil, emak kita yang jadi manusia paling kuat bangun dan bangkit.
 
Sedang suami lena tidur. Kita menangis. Lalu emak yang masih berdarah kerana melahirkan kita bangun mengesot-esot, memangku kita kemudian menyusukan.
 
Sudah kenyang, ditepuk-tepuk sampai sendawa. Selang sejam, menangis lagi mahu ditukar lampin.
 
Sejam lagi, lapar susu lagi dan lagi.
 
Dalam susahnya berjalan, melangkah dan bergerak, duk buat juga demi anak yang dilahirkan. Sudah besar sedikit, berlari mengejar memberi makan.
 
Cubit sedikit supaya belajar jadi orang.
 
Semakin besar, emak dah semakin tak larat. Anak minta itu, buat juga. Sayang yang diutamakan. Tak apalah sudah jarang jumpa, sebab anak minta, buat, masak, sedia dan hidang. Itulah simbolik cinta emak pada anak-anak.
 
Sampailah dah tua, kerepot. Suami pun dah tak ada, tinggallah sepi seorang diri, anak-anak duk bawa tinggal serumah.
 
Namun rezeki dapat yang kejam, emak tak apa. Emak sayangkan anak, buat buat buat. Sampai hati emak mati berkali-kali, ditikam dan dihunus perkataan tajam, namun ditampal dan diberi ubat dengan doa dan harapan, taubatlah anak, taubatlah anak, taubatlah anak.
 
Nak luah, takut. Dibuang lagilah perit. Maka simpan sahaja sendiri.
 
Seperti kata Buya Hamka, “orang perempuan selalu menjadi korban begini, hanya sendiri mengeluh dan menyendiri.”
 
Kawan-kawan,
 
Kita tak akan besar dengan kehebatan diri kita sahaja. Segala yang ada di sisi kita hari ini adalah banyaknya datang dari doa dan kasih sayang ibu kita sendiri.
 
Nak marah, beringatlah itu emak.
Nak luah, beringatlah itu emak.
Nak geram, beringatlah itu emak.
 
Jika sekarang kita layan mereka begitu, tak payahlah berharap kita dapat layanan super duper baik dari anak-anak kita apabila kita sudah tua nanti.
 
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Maafkan kami emak, 4.49 pagi.
(Visited 403 times, 1 visits today)