Sampai di KLIA baru-baru ini saya bergegas ke kedai mainan tingkat atas, bersebelahan dengan Famos Almost.
Sudah beli 2 set, saya pun mencari coklat pula. Sedang ralik membelek 1 kotak ke 1 kotak yang lain, ada pula orang nak bergambar. Saya pun layan sahaja.
Masa nak turun eskalator, saya duk rasa macam kenal dengan sepasang suami isteri. Saya pergi tegur. Mereka awalnya duduk terus bangun, “heeeiii Khairul!” Kami pun bersalam dan bersembang sekejap.
Saya tanya tentang anak beliau, S.
Terus suasana jadi tak best. Muka berubah masing-masing.
“S now masih dalam terapi. U know, dia masih belum ok.”
“Terapi?” Saya duk berkerut. Kenapa sampai ke terapi.
Si S ini adalah kawan saya masa sekolah. Kami belajar sama-sama di pusat Tuisyen dan beliau memang top student. Masa SPM, beliau dapat 8 aggregat. Saya pula jauh ketinggalan.
Beliau terus dapat masuk Universiti dan saya pula kena merayu-rayu nak masuk. Kahkahkah. Takkan saya lupa kisah itu.
Takdir Tuhan, keluarga S berpindah dan saya pun dah tak tahu mereka di mana. Sampailah berjumpa baru-baru ini.
S merupakan best student 2 semester di Universiti. Masuk sem ke-3, dia kerap sakit kepala dan pengsan.
Beliau merupakan seorang yang sangat suka belajar. 2 sem sebelum itu, semua markahnya 4.0, semua! Dan masuk sem seterusnya beliau sudah tak boleh terima lagi hal-hal belajar.
Beliau mula bercakap dengan tiang lampu, pernah ditangkap kerana cuba memanjat pagar rumah orang tanpa sebab dan berjalan kaki di lebuhraya PLUS sekitar sudah masuk 40km menuju ke Kuala Lumpur.
Ibu bapanya buat keputusan drastik dan bawa beliau pulang dan itu tidak memberi hasil yang baik. S jadi semakin teruk dan selepas beberapa tahun akhirnya perlu memakan ubat untuk tenangkan dirinya.
Emak S duk pegang-pegang bahu saya. Ayahnya dah pun mengalir air mata. Dia beritahu seperkara yang saya duk teringat-ingat,
“Khairul, nak buat sesuatu, tak boleh berlebih-lebih. Makan kena sederhana, belanja kena sederhana, belajar atau apa sahaja semua kena sederhana. Dan kita akan dapat stress yang sederhana.
Kalau semua berlebih, stressnya juga berlebih. Waktu itu boleh jadi kita dah tak boleh nak terima.
Masalah S ialah dia berlebih sangat kejar pointer. Sampai dia rasa kalau markah penuh tu 101, dia akan cuba dapatkannya. Sedangkan dia boleh ja bertawakal selepas usaha, ingat Allah dan sebagainya.”
Akhirnya ibu S menangis. Saya diam sahaja. Kami bertukar nombor telefon dan saya mohon untuk turun ke Ketibaan.
Allah selalu beri saya cerita, dan banyaknya saya berkongsi di media sosial. Sepanjang guna Facebook dan Instagram ini, saya tahu ada kalanya saya berlebih.
Saya pohon maaf semuanya. Saya belajar sesuatu, saya dapat follower secara percuma ini adalah kerana saya berkongsi apa yang saya rasa.
Namun, saya kena sedar tak semua boleh dikongsi. Sungguhlah, berlebih dalam apa jua hal akan hancurkan diri sendiri.
Dan semoga kita dijauhkan. Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad.