Antara benda yang saya baru dapat semasa berada di kampung Svay Kleang, Kemboja beberapa tahun lalu ialah tentang bersyukur itu akan menambahkan rezeki kita semua.
Contoh mudahnya ialah:
1. Bangun tidur, perkataan pertama yang wajar keluar ialah alhamdulillah. Tanda kita masih ada masa untuk bertaubat dan memohon ampun dari Allah. Kita banyak dosa.
2. Kemudiannya kita terus ke tandas, buang air, mandi, gosok gigi dan membersihkan diri. Keluar sahaja dari situ, sebut lagi alhamdulillah. Tanda kita masih sihat dan masih boleh berbuat semua itu secara mandiri sedang hari ini ada ramai di sekeliling kita yang kena dibantu untuk berbuat begitu kerana sakit dan sebagainya.
3. Sudah bersih, bentang sejadah, solat. Perkataan pertama selepas solat ialah istighfar. Dan itu antara benda yang sangat bagus untuk diri, ianya berupa memohon kemaafan dari Allah.
4. Sudah semuanya, panjatkan doa. Dan kena bersyukur kepada Allah kerana masih boleh memohon darinya. Masih bernafas dan masih berpeluang mencari rezeki serta perbanyakkan usaha seharian. Sebut lagi alhamdulillah.
5. Bersiap pergi kerja. Semasa pakai baju, semasa sarung seluar. Sarapan serta bersalam mencium tangan suami atau suami menghulur tangan kepada isteri tanda mahu keluar rumah dan memeluk anak-anak, sebut juga Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu akhbar. Itu semua memuji-muji Tuhan dan tanda kita masih bersyukur.
Sama juga apabila pulang ke rumah, berjumpa kembali sofa, katil, orang rumah, suami, anak, dapur, bilik mandi, rumah, parking kereta, semuanya kena bersyukur. Semua.
Dan jangan sesekali lupa 1 bab iaitu bersyukur masih ada emak, ayah dan adik beradik. Itu semua nikmat dan anugerah yang tak boleh diganti-ganti. Bagaimana nak bersyukur, hantar “tanda” selalu. Kalau sibuk, hantar mesej, ada masa, telefon. Lagi sibuk, beli hadiah hantar selalu. Sekarang zaman ecommerce, beli di website shopping, terus hantar. Itu semua tanda kita bersyukur.
Kadang-kadang perkara sekecil ini kita tak buat, sedang kita sudah berusaha beriya-iya, kita pelik kenapa tidak berhasil penat lelah kita.
Rupanya ia tentang bagaimana kita bersyukur. Sungguh. Cubalah amalkan, dan kalian lihat apa yang kalian kerjakan itu berhasil bagaimana. Jika ia mencurah-curah atau datang secara kecil-kecil, maka tetaplah dalam hati sendiri, terus berkongsi, itu tanda kita bersyukur dan Allah akan beri lebih lagi.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Syukur ada kawan-kawan media sosial yang masih bersama saat senang dan susah saya.
(Visited 550 times, 1 visits today)