Biarlah Kena Marah Di Dunia, Yang Penting Belajar

Hujan rintik. Saya bermalas-malas keluar dari kilang. Menaiki siput gondang yang lebih dua bulan tidak dibelai dan dimandikan ini kasihan pula dibuatnya.

Saya terus menuju ke Bandar Nilai. Mahu berjumpa dengan pasangan doktor yang dari malam tadi berPM-PM mahu bersua muka dan berkongsi cerita.

Kami berjumpa di sebuah kedai makan. Berkenalan dan saling memuji satu sama lain.

Puan dan Tuan, suami isteri adalah bekas doktor. Pencen dah pun.

Kisahnya bermula dari awal Puan Doktor ini bertugas di sebuah hospital satu masa lalu. Beliau ditempatkan di banyak bahagian dan jabatan yang menguji kehandalan beliau.

Katanya, dulu-dulu siapa dapat jadi doktor perubatan ini sudah macam hero di kampung. Jiran seantero mukim akan datang dapatkan rujukan sekiranya ada anak-anak yang sakit.

Menariknya, kerja di hospital semasa muda menjadikan beliau kurang daya perasaan. Beliau kerap dimarahi oleh doktor senior sekiranya tidak merawat dengan betul, tetapi hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Yang beliau tahu ialah mengutuk doktor-doktor senior ini sesama kawan-kawan. Doktor ialah profesyen yang bukan semua orang boleh miliki.

Beliau berjumpa dengan suami di hospital yang sama. Berkahwin dan memperolehi seorang anak perempuan. Sudah jadi ibu, masa semakin terhad. Nak menyusu, pam susu, balik pula nak hadap anak, suami on call dan berbagai ujian di hospital menjadikan beliau semakin tidak boleh ditegur. Pemarah.

Pernah dua tiga kali pesakit yang boleh diselamatkan tetapi atas sebab cuai, lalai, silap sendiri, akhirnya meninggal dunia. Katanya, hidup mati itu ketentuan Tuhan. Biasa dan normal.

Sampailah satu hari, anak beliau pun sudah dewasa dan beliau mengahwinkan anaknya. Waktu itu, beliau sudah menjadi doktor senior yang menuju ke nombor pencen.

Bulan demi bulan berlalu, anak sendiri sudah berbadan dua dan semakin sarat.

Waktu ini air mata si suami sudah mengalir perlahan-lahan. Saya hanya diam dan teruskan membuat catatan.

Rupanya, Anak dan menantu kemalangan semasa mahu pulang ke rumah mereka. Puan doktor ini dan suami bergegas ke hospital. Menantu sudah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, anak pula di dalam dewan bedah.

Beliau dapat masuk dan melihat sendiri wajah anak yang penuh dengan darah.

“Selamatkan bayi! Selamatkan bayi!!”

Jerit seorang doktor, doktor pelatih lain yang seramai empat lima orang bergegas membuat itu ini.

Beliau jadi marah. Anaknya sendiri juga perlu diselamatkan. Bayinya dapat dikeluarkan. Tidak cukup bulan dan terus dibawa ke bilik lain. Sedang anak Puan doktor ini akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Beliau menangis. Saya juga ikut menangis.

“Khairul, nyawa memang tak boleh digantikan dengan apa pun,”

Saya angguk.

“Masa anak saya pergi, mata dia mengadap saya. Demi Allah hingga sekarang saya masih tak boleh lupa,”

“Saya pergi kepadanya, tutup matanya lembut-lembut dan cium dahinya yang masih panas,”

***

Selepas selesaikan pengkebumian anak dan menantunya, beliau berbincang dengan besan untuk meminta izin menjaga bayi itu. Besannya setuju.

Beliau menyambung cerita,

Katanya, anak beliau sepatutnya boleh diselamatkan jika penerimaan pada waktu itu laju dan terus membuat rawatan. Kebanyakan doktor pelatih hanya banyak memikirkan penat, jadi buat kerja banyak sambil lewa.

Beliau teringat zaman mudanya, begitu jugalah beliau. Sungguh, marah doktor senior kepada doktor muda itu sangat perlu, dan doktor muda perlu kental hadapinya dengan positif.

Mana-mana doktor, tak punya masa nak panggil masuk bilik dan marah-marah. Jika silap waktu itu, waktu itu jugalah perlu ditegur. Jika kena mood tidak baik, nasiblah kena maki hamun.

Hari ini, cucu beliau dijaga dengan baik. Marah selalu katanya, tak marah nanti tak jadi orang.

Itulah peneman. Itulah penyeri. Di akhir pertemuan tadi, beliau tunjukkan gambar kahwin anak tunggalnya. Subhanallah. Manis keduanya. Saya pula naik emosi.

Kami berpisah di situ. Naik sahaja motor sampai ke tol saya masih bermandi hujan air mata.

Antara ayat yang paling melekat ialah,

“Apa pun tanggungjawab, itu adalah tugas berat. Sebab itu yang tua dan sudah penuh beribu juta pengalaman ini akan marah dan bising kepada yang muda-muda. Saya harap sangat tiada lagi yang dapat pengalaman macam saya. Allah ajar saya cukup-cukup.”

“Saya ada seorang itu sahaja anak. Orang lain yang ada empat lima orang, meninggal seorang ada lagi anak-anak lain. Saya? Hilang semua! Semua anak saya dah tak ada,”

Ya Tuhan. Besarnya ujian mereka.

Kawan-kawan,

Jika mahu pegang karier yang besar, maka persediaaan awal perlu dibuat. Bukan sebab prestij nama kerjaya tersebut. Ia adalah tanggungjawab.

Khairul Hakimin. Muhammad,
Biarlah kena marah di dunia. Yang penting belajar.

(Visited 376 times, 1 visits today)