BUAT UNTUK DIRI DULU, BARU ORANG LAIN.

Ada beberapa pesanan guru dan mentor saya yang saya duk guna hari-hari supaya kehidupan penulisan saya bertambah baik.
Walau datang juga ujian, alhamdulillah, dapat tangani dengan sebanyak-banyaknya hemah.
1. Labur (invest) 1 jam sehari untuk baiki diri. Investment bermaksud
– boleh jadi kena keluarkan duit.
– boleh jadi kena kerah tenaga.
– boleh jadi penat dan tak larat.
Ia kerana pelaburan ini ada kaitan dengan buku, kelas, ilmu serta banyaknya pengetahuan yang baru. Ia mesti dilaburkan supaya kita tak berada di tempat yang sama.
Jadi saya cuba mula membaca 1 jam sehari walau sibuk dengan kerja kilang waktu itu. Saya juga berusaha cari story di dalam tren, komuter, tempat awam, cuba resipi, beli buku, tidur 2-3 jam sehari hanya kerana pelaburan ini.
Selepas 1 tahun setengah, ia memberi hasil. Alhamdulillah. Dan semua pelaburan ini dah jadi rutin harian.
2. Berusaha bantu orang setiap hari. Saya pernah ditanya oleh seorang mentor (Tan Sri S), selepas saya soal beliau murahnya rezeki beliau, saya minta apa doa yang beliau panjatkan setiap hari,
Tan Sri S cakap, “berapa ramai awak tolong setiap hari? Hari ini ada? Kita sibuk minta merayu-rayu dari Allah suruh Allah tolong kita, namun adakah kita ada tolong orang setiap hari?
Orang nak masuk lane, beri signal, kita beri, itu kita tolong dia.
Orang buat posting media sosial, nak derma, anak sakit dan sebagainya, kita nampak, kita transfer RM2, itu kita tolong dia.
Adik beradik susah, tak boleh itu tak boleh ini, kita minta nombor akaun dia, transfer RM50, itu kita tolong dia.
Nampak pengemis, nampak tabung, letak RM1, itu kita tolong juga.
Pergi masjid, surau, bawa duit kecil atau besar, masukkan dalam tabung, itu kita tolong. Semua itu kita tolong.
Nampak sampah, ambil dan kutip, buang. Itu semua menolong.
Sama juga jika balik kampung, ziarah sesiapa, konsep tolong ini kena guna hari-hari, emak-emak kita dah buat lama. Dia pergi rumah orang, orang sedia air, emak-emak akan kemas dan bawa semua cawan piring ke dapur. Itu mereka amalkan, dan itu yang memurahkan rezeki.
Ikutkan, kita tak senang mana, namun membantu sedikit atau banyak akan melapangkan rasa, buat orang selesa dan banyak berdoa untuk kita.”
3. Lihat diri sendiri dalam berbincang atau mendengar. Jika semasa bercakap kita rasa (atau kita yakin) kita punya hujah yang betul, namun kita boleh kawal dan kita berundur, maka kita sudah menang dalam perbahasan tersebut.
Ada ramai orang mahu melihat diri menang dalam bersembang. Namun tak ramai orang yang sanggup menerima kekalahan itu dan berusaha baiki diri.
Dalam setiap hal yang dibincang, perlu ada tolak ansur dan kasih sayang. Jika yang itu betul, maka kita rai. Kita kita salah, maka kita berundur.
Namun di pihak sana yakin mereka betul, kita juga rasa dan yakin kita betul, maka untuk kali itu jadilah orang yang berundur, itulah kemenangan yang sebenar.
***
3 benda ini tak ada dalam diri saya 10 tahun lepas. Sungguh. Saya tak reti banyak benda.
Sebab itu saya sering kena marah, sering juga disuruh buat itu buat ini, saya ikut sahaja semua itu.
Selepas buat 3 perkara di atas,
Hati rasa lega,
Saya tidak bersaing lagi dengan sesiapa,
Saya usaha dan yakin Allah akan beri apa yang saya perlu dan mahu.
Semua orang boleh guna 3 hal tersebut. Dalam dunia saya, saya pakai untuk kehidupan membangunkan #content saya.
Dan alhamdulillah, hari-hari ada orang tanya, orang nak jumpa, orang beri job itu dan orang raikan yang ini.
Semua itu Allah bantu. Alhamdulillah.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Buat untuk diri dulu, baru orang lain.
(Visited 842 times, 1 visits today)