Cedera Sedikit, Tak Apa

13 tahun lepas, saya masih lagi kerja kilang di Pantai Timur. Saya di bahagian Human Resource.
 
Saya antara yang terlibat dari awal pembukaan, susun atur, siapkan struktur renovasi sampailah ke sesi pengambilan pekerja.
 
Merasa kena jaga 520 orang kakitangan yang 80% daripadanya adalah wanita.
Momen yang paling sukar nak lupa ialah jika tandas tersumbat. Banyak masalah di tandas waktu itu kerana ada yang buang tuala wanita ke dalam lubang najis.
 
Dari 1 tandas rosak, sampailah ke semuanya rosak. Semua! Awal-awal dulu, sales belum ada. Nak panggil plumber pun bos bising. Jadi kami di HR kena marah sesaja kerana tak selesaikan masalah tandas.
Jadi, kami pun pergi beli baju hujan, getah, plastik hitam heavy duty, saya pakai dan pastikan semuanya diikat ketar-ketat, kasi seluk setiap satu tandas mengunakan tangan dan kami dapat beratus tuala wanita hari itu dikumpulkan dan dibuang. Muntah sesaja waktu korek.
 
Huhuhu.
 
Seminggu saya tak boleh makan. Pandang nasi kerabu, tak boleh. Roti canai lagilah tak boleh. Sampailah benda itu hilang perlahan-lahan dari dalam kepala.
 
Tadi saya ke sebuah hospital di sini bawa ‘Ain check up. Saya ke tandas, sekali ada 1 tandas rosak. Saya tanya yang jaga tandas tersebut, katanya tersumbat. Saya tersenyum mengingati memori buruk ini.
 
Kawan-kawan,
 
Memori busuk ini saya anggap ia sangat wangi. Semasa kami berjaya mengorek, seluk dan buang segala bahan yang disumbat ke situ, kami pandang wajah-wajah mereka yang gembira. Yang mana mereka ini bersyukur dapat guna tandas itu semula.
Selepas semua sesi itu selesai, mereka pandai sendiri membuang benda itu ke tong yang disediakan.
 
Mereka tahu, kalau tersumbat, azabnya nak keluarkan. Dan alhamdulillah ianya pengajaran paling besar untuk kami semua, jika sampah tidak dibuang ke tempat yang betul, boleh jadi ianya bawa mudarat kepada tempat yang lain.
 
Dan jika nak bersihkannya, boleh jadi ia memerlukan kerja keras yang tidak patut untuk dibuat.
 
Sama juga dengan hidup kita kawan-kawan, nak buang benda negatif dalam kepala, kena buang ke tempat yang betul.
 
Caranya ialah dengan banyak-banyak sibukkan kerja, tak boleh duduk sendirian, kena bangun, ambil buku atau capai kunci.
 
Pergilah ke tempat yang boleh perkasakan kepala. Jiwa akan ikut untuk hadir bersama dalam menghirup udara yang Allah masih beri ini.
 
Tidaklah sampai ia tersumbat, lalu kalian bawa ia ke medan yang sukarnya nak diubat. Lalu kalian sendiri tumbang dan sakitnya melarat.
 
Ia boleh sembuh. Namun semua itu tak perlu jika kita bijak tanganinya. Teruskan senyum dengan ujian, hanya dengan cabaran, halangan serta banyaknya bersilat akan buat kita kuat.
 
Cedera sikit, tak apa. Jika parah, mintalah bantuan. Allah ada kawan, keluarga ada, kawan ada.
 
Begitulah.
 
Khairul Hakimin Muhammad,
10 tahun 2 bulan sebagai mamat kilang, Ya Rabb, Alhamdulillah.
(Visited 334 times, 1 visits today)