Ciri-ciri emak ayah yang dapat anak kaki ejek orang lain:
1. Suka benar parking sesuka hati untuk hantar anak sekolah. Halang laluan, tutup jalan, asal boleh sahaja. Emosi anak terganggu tengok perangai emak ayah sendiri.
2. Dia sendiri lambat bangun, hantar anak pula lambat. Jadi lewatlah anak masuk sekolah. Emosi anak terganggu.
3. Ambil anak pun lambat, ada masa sampai terlupa sampai cikgu / pakcik jaga terpaksa telefon remind. Emosi anak terganggu.
4. Waktu ambil anak, tengok baju anak kotor, terus dicubitnya, ditarik telinga depan kawan-kawan. Emosi anak terganggu.
5. Waktu ambil report card, keputusan anak tak bagus mana, dimarahinya anak di hadapan cikgu. Emosi anak terganggu.
6. Sudah balik rumah, anak nak bermain, dihalangnya kerana risau balik lambat, suruh duduk rumah, tengok tv, main tab, kemudian paksa anak belajar belajar belajar, emosi anak terganggu.
7. Di rumah, emak ayah sibuk bersembang berdua, juga sibuk uruskan rumah tangga, tak pernah sempat duduk bersama tanya sekolah, tanya kawan tanya bagaimana keseronokan belajar. Emosi anak terganggu.
8. Emak ayah sibuk main telefon. Anak-anak bertanya pun tak berjawab sampai tak perasan anak duk bersandar kat bahu sendiri. Emosi anak terganggu.
9. Paksa anak makan apa yang emak ayah makan. Marah kalau begitu marah kalau begini, emosi anak terganggu.
10. Suka ejek anak sendiri dengan kata begitu begini. Konon untuk naikkan jati diri. Sedangkan anak-anak nak dipuji, kalau salah nak sangat diperbetulkan, namun jadi mangsa adik beradik kerana emak ayah sendiri. Emosi anak terganggu.
Lalu anak ini mula mengejek orang lain, nak perhatian, tak boleh tengok orang lain elok je pegang tangan emak ayah sendiri. Lalu mereka akan Usik sana, usik sini. Cikgu panggil kenapa begitu kenapa begini, lalu cikgu pula yang kena maki.
Emak kata,
“Dekat rumah saya dah didik dia jadi terbaik. Ini mesti kawan-kawan dia yang jadikan dia begini.”
Ayah pula cakap,
“Saya kenal dia, dia anak saya, mesti sekolah inilah yang ubah anak saya. Cikgu semua tak buat kerja, hantar sini suruh jadi baik, tapi akhirnya hancur! Elok tukar jelah sekolah.”
Kawan-kawan,
Kita emak ayah. Zaman berubah gais, kena terima anak kita nakal. Kena hadam anak kita kurang perhatian, kena telan anak kita banyak kekurangan.
Dan semua itu adalah dari kita.
Kita dapat didikan emak ayah kita cukup manisnya, cukup masam masinnya, cukup pahitnya. Serba serbi ada.
Pergi sekolah, salam siap cium. Emak bekal makan, abah hulur senyum. Emak berzikir setiap nafas, mengharap setiap doa untuk anak-anak seorang demi seorang.
Abah pula tak pernah lupa kita, sibuk macam mana pun akan tanya emak apa kita buat apa yang kita kerjakan.
Lalu emak ambil task itu untuk tahu serba serbi. Emak tak ada smart phone, tapi ada senduk kayu ada rotan kiri kanan.
Pandang emak dah takut, tengok abah dah gigil. Biar tak pandai belajar, emak abah okey je. Janji reti adab, faham tentang biadap dan tidak berani nak buat jahat atau buat sentap orang tua.
Kita pun jadi manusia. Lepas itu kononnya kita tak nak anak kita kena macam kita. Tak nak garang sangat. Nanti anak kita takut-takut. Kita buat sampai anak kita besar kepala.
Terus hari ini anak kita pergi ejek sana sini termasuk cikgu. Itu yang cakap depan. Belakang tak tahulah berbakul-bakul agaknya.
Anak kita adalah kita.
Kita coraknya ikut warna apa. Kita rasa warna terang buat dia disukai. Kita lupa terang-terang itu boleh jadi dimakan api, dikejar burung helang dan dijamah matahari.
Biar redup bawah pokok, banyak nasihat dan pesan kita buat jadi payung, lalu anak kita dapat kita bendung tak jadi jahat tak jadi murung.
Dia tahu yang warnanya tak cantik mana. Dia sedar diri dia serba serbi budak sahaja. Macam kita dulu, nakal-nakal kita tak usik sesiapa. Hanya kita sahaja.
Kita berlindung baik-baik atas apa yang kita buat. Dan hari ini kita jadi orang kerana rotan dan banyaknya libas-libas paip getah dan lempang kiri kanan.
Malam nanti emak cium, abah duduk hujung katil dan letak minyak semula. Mereka tahu, yang dimarah tadi untuk kita sedar kita faham, dunia ini kalau jahat, kena hukum. Namun masih sempat bertaubat.
Namun jika kita pegang ego, kita rugi hilang nasihat, hilang berkat dan hilangnya syafaat. Dan untuk itu, tak ada lain, nerakalah tempat kita gais.
Sempat lagi kita berubah. Pandang muka anak, nasihatlah, rotanlah, cubitlah. Kemudian terangkan kepada dia mana betul mana silap.
Patahkan ego dia, hancurkan jahat dia. Semoga dia baik dengan cikgu, hormat pada orang tua dan banyaknya masa untuk buat kebaikan kepada sesiapapun.
Ingat kawan,
Anak kita adalah kita. Warna dia dan warna kita tak ada banyak beza. Yang ada hanya apa yang kita lindung dan payung, supaya dia redup, supaya dia subur. Sesekali cahaya datang, dia menyorok, sesekali juga ribut dan hujan hadir, dia tak basah.
Namun dia hidup segar, sudah besar dia pula jadi rendang berbuah, buat bakti kepada orang lain pula yang mahu berteduh sama.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Payung dan lindung anak-anak kita dengan apa yang kita buat.