Doa Daripada Seorang Anak

Waktu beli barang dapur, duk cari sana sini saya perasan yang di depan saya ini antara yang pernah datang ke kelas, saya tegurlah. Dan dia terus hulur salam.
 
Saya duk tengok troli dia penuh sedang saya hanya pegang bakul sahaja. Duk tanya dia banyaknya barang dia beli. Dia garu-garu kepala. Katanya bukan 100% untuk dia. Oh. Tak acilah kalau tak cerita, saya tanya lagi untuk siapa.
 
Dia duk segan-segan. Dia cakap ada untuk diri dia, ada untuk jiran ada untuk emak ayahnya. Kisahnya dalam setahun lepas dia sangkut teruk bisnes. Dia dah terbiasa beli barang dapur sekaligus untuk sebulan.
 
Namun lepas bergaduh partner dan masing-masing bawa hala tuju, dia nak beli beras pun tak cukup duit.
 
Masalah paling besar yang dia perlu hadap ialah waktu nak ke pasaraya, dia akan bawa ke lima-lima anaknya. Itulah waktu paling best sekali apabila anak-anak dapat ambil apa sahaja yang mereka nak.
 
Jadinya, waktu dia terduduk, duit tak ada, dia bawa juga. Cuma sebelum pergi, dia pesan kepada semua yang seorang hanya boleh ambil 1 barang sahaja. Jadi semua anak-anaknya tak berapa nak happy.
 
Masuk sahaja ke dalam pasaraya tersebut, dia letak yang paling kecil (umur 2 tahun) ke dalam troli. Manakala yang lain berjalan sahaja.
 
Semua seperti pening nak ambil apa kerana kena ambil 1 sahaja sampailah anaknya yang berumur 5 tahun cakap,
 
“Ya Allah, kasihani abah saya. Luaskanlah rezekinya seperti mana Engkau banyakkan dan penuhkan rezeki dalam Econsave ni Ya Allah. Saya hanya dapat tengok, namun abah tak mampu beli. Ya Allah, tolonglah abah saya, kasihani dia, kasihani saya, saya nak beli, luaskan rezeki saya Ya Allah.”
 
Ala baler sampai je bahagian ini, kami berdua bergenang air mata di tengah lorong pasaraya tersebut.
 
Udahnya dah macam cerita Bersamamu. Kesat-kesat mata.
 
Kata encik ini,
 
“Saya perasan yang doa anak saya tu sangat spesifik. Dan saya ambil doa dia jadi doa saya.
 
Saya repair banyak benda. Terutama hubungan dengan emak ayah, dengan jiran, dengan keluarga dengan isteri dengan anak-anak. Kami duduk dekat-dekat namun saya antara yang selalu tak sempat nak tolong kalau emak minta. Mesti saya pass kepada adik beradik yang lain.
 
Macam-macam. Jadi masa sangkut berbulan-bulan, saya banyak di rumah. Saya dapat tengok semua kesusahan ini depan mata.
 
Isteri saya tak kerja. Dulu 7.00 pagi saya dah keluar tengok 2-3 kedai. Balik anak semua dah tidur. Wife masih duk tunggu saya, sedia air panas dan tanya saya macam-macam. Semua tu saya tak pernah perasan.
 
2 benda saya buat.
 
1, saya ubah doa kepada lebih spesifik. Saya minta apa yang saya nak, saya nak rezeki banyak, kena cakap banyak mana. Kena pastikan beritahu.
 

2, saya ubah perangai saya. Ramai orang tak perasan bab ini. Hanya duk tengok orang sebab rasa diri

hebat. Padahal tak.
Macam encik Khairul cakap, kita hanya boleh kawal diri kita, orang lain, kita tak boleh. Jadi kita ubah diri kita sahaja untuk jadi lebih baik.
 
2 Bulan lepas, sales saya 2.3 juta encik Khairul. Saya bawa semua keluarga ke PD. Tak pernah saya buat begitu. Buat BBQ, makan ramai-ramai, saya belanja semua.
 
Sekarang setiap minggu saya beli barang dapur untuk rumah emak. Biar emak dan adik-adik masak banyak suruh yang lain datang makan. Rumah mak pun makin meriah.
 
Dan ada jiran yang susah, kami berpakat dekat surau buat “dana jiran”. Kami bagi beras, gula, susu dan adalah sikit-sikit barangan lain.
 
Balik-balik, kita kena berubah encik Khairul. Kan?”
 
Saya pula jadi termenung. Banyak juga yang saya belajar dari apa yang kami sembang ini.
 
Setiap orang akan ada kunci yang Allah beri. Dalam cerita abang yang saya jumpa ini, dia jumpa kunci itu dari doa anaknya sendiri.
 
Hanya momen beberapa saat, boleh ubah diri dia kepada orang yang lebih baik.
 
Ada orang, momen begini dia ketawakan sahaja. Nampak tak logik. Ada orang inilah yang dia damba-dambakan.
 
Sungguhlah, rezeki Allah itu seluas langit. Kita sahaja yang salah minta, salah mohon, salah perangai dan silap sana sini.
 
Kemudian dah tersangkut, kita masih menyalahkan banyak benda, sedangkan yang sangkut itu kita, dan kita yang kena ubah diri kita.
 
Begitulah. Semoga sama-sama kita dapat manfaat.
 
Khairul Hakimin Muhammad,
Momen 3 tahun lepas, masih segar dalam ingatan.
(Visited 980 times, 1 visits today)