Doa Kedua Ibu Bapa Adalah Kejayaan

Apabila minta emak abah bawa ke bandar Temerloh atau nak sangat pergi bercuti ke mana-mana, Pantai Teluk Cempedak ke, Pantai Batu Hitam ke, emak abah akan cakap,

“Tak ada duit. Sabarlah nanti ada duit sikit kita pergi.”

Kami anak cikgu, cuti sekolah akan duduk rumah sahaja. Paling tinggi abah akan bawa ke bilik Guru Besar beliau. Di situ mainlah apa sahaja. Ambil kunci bilik sukan, main ping pong ke, badminton ke, atau berlari sahaja di kaki lima sekolah. Itulah percutian kami.

Hari ini sudah lebih 40 negara saya lawati. Dan semua itu bersama doa dan harapan emak dan abah untuk saya terus terbang tinggi.

Tadi sebelum nak check in, saya jumpa pasangan dari Indonesia, mereka duduk di sebelah saya sahaja. Bercuti, mereka ingat saya juga dari Jakarta.

Saya cakap saya dari Kuala Lumpur lalu kami serentak kata “kita serumpunnnn.” Dan kami ketawa.

Beliau tanya saya ke mana, dan saya jawab mahu pulang ke Malaysia. Beliau juga sama, ke Indonesia.

Lalu mereka kata “untung benar anak muda, sudah kembara ke benua ini. Ibu ayah kamu tak dibawa?”

Saya menggeleng. Lalu beliau sambung, “itu hutang kita sama ibu dan ayah kita. Waktu kita kecil, kita mahu ke sana ke mari, ibu cakap tak cukup wang. Hari ini kita keluar negara sendirian, kita nggak bawa mereka.

Ibu bapa mana mahu minta. Sifat mereka lihat sahaja. Dan tangan mereka itu diangkat supaya Allah lihat doa-doa itu. Supaya anak seperti kamu ini selamat dunia akhirat, selamat sampai pulang ke rumahnya.”

Gulp.

Kami bersembang panjang. Beliau suka benar tanya emak ayah saya. Kerja apa, buat apa dan sebagainya. Jadi suka pula bersembang. Seperti saudara mara pula. Beliau bangun mahu masuk, saya pun mahu ke multifaith room untuk tunaikan solat sebelum berangkat. Semasa bersalam, beliau peluk saya dan cakap “semoga kamu selamat nak, aku sama ibumu ini (menunjukkan kepada isterinya) tak punya zuriat. Kami ada anak-anak seperti kamu, kala berjumpa, nasihat sahaja. Semoga kamu juga mendoakan kami. Ya kan.

Doa anak soleh itu kan makbul untuk ibu bapanya. Boleh ya doakan kami?”

Ya Rabb. Tak terkata dibuatnya. Kami berpisah di situ. Tunaikan solat dan terus ke gate.

Sampai sekarang saya duk terngiang-ngiang lagi ayat tersebut.

Sekejap lagi saya akan menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur. Singgah transit di Dubai. Dan saya juga memohon kita sama-sama berdoa kebaikan untuk kita semua.

Ya kawan-kawan, semua orang ada ceritanya. Kita yang kena melihat dari hati. Bukan mata yang menjadi hakim.

Dan apabila semuanya tulus, Allah menyayangi. Benar, kasih sayang itu menjadikan kita yang saling tidak kenal ini memberi maksud sebuah kata iaitu pengalaman.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,

(Visited 736 times, 1 visits today)