Dapat juga bersembang tentang hal kematian yang menghidupkan.
Almarhum Ustaz Ku Yaacob Ku Hasim, 68, sebelum itu sempat membaca beberapa baris ayat al-Quran sebelum rebah di Masjid Al-Bukhary, Kedah beberapa tahun lalu.
Selepas menyebut “Bertakwalah pada Allah” dan menyebut beberapa baris ayat seterusnya semasa membaca khutbah, Allahyarham terus tumbang begitu sahaja.
Kebetulan ada yang merakam dan ianya tular di mana-mana.
Saya suka sekali ada kawan kami bersembang tentang bagaimana pula manusia biasa yang bukan imam, bukan bilal, bukan tok siak atau apa sahaja gelaran kepada AJK masjid, namun nak dapat kematian seperti itu, yang baik, yang banyak doanya, yang sentiasa diminta-minta oleh semua orang.
Kawan kami cakap, “kita orang biasa, banyak dosa. Ingat balik masa kita kecil kita suka menyanyi lagu nasyid Iktiraf, yang ayatnya Wahai Tuhan, Aku tak layak ke syurgaMu, namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu.
Jujurnya, kita semua pendosa, namun nak berakhir dengan baik, taubatlah hari-hari. Istighfar hari-hari. Buat baik hari-hari dan sebelum nak buat apa-apa fikirlah ia baik atau buruk.
Kita semua boleh jadi orang baik walau kita tak alim. Kita setakat solat 5 waktu, mengaji kejap buat kejap tak, puasa pun hanya pada bulan ramadan, bangun malam entah-entah setahun dua tiga kali sahaja.
Namun kalau rajin istighfar, buat baik dengan semua orang, rajinnya membantu orang tua, emak ayah, keluarga, serta sering selawat dan istighfar, boleh jadi kita juga dapat kematian yang begitu.
Paling seronok ialah dapat elak dari siksa kubur, fitnah serta kejahatan syaitan sebelum kita menghembus nafas akhir. Itu yang mustahak.”
Kami semua angguk sahaja. Ada betulnya. Namun kot bagaimana pun, kena berusaha bertaubat sesungguhnya.
Kena rajin dan push juga untuk bangun malam, banyak-banyak zikir dan meminta kepada Allah yang dosa-dosa kita ini dihapuskan.
Kita kena ada perasaan yang kita ini tak mulia, tak baik mana, jadi dengan semua itu kita masih rajin meminta-minta nak syurga, nak kematian yang baik, nak elak dari siksaan kubur.
Bahaya mengaku baik, bahaya juga mengaku mulia, boleh jadi itu juga sebuah dosa. Kena ingat, “orang akan jadi jahat apabila dia rasa diri dia mulia.”
Ayat itu sangat berat. Kalau kita rasa kita baik, kita mula menjauhkan diri dari taubat, rasa lebih dari orang lain, rasa orang lain lebih banyak dosanya. Rasa dah cukup dan yakin sangat dapat tiket syurga, itu semua bahaya, sedangkan perasaan itu tak perlu ada pun dalam diri.
Kawan-kawan,
Kita orang biasa walau ada banyak jawatan tau tak, berharta atau tak, ada pangkat atau tak. Kot macam mana pun, Tuhan kata kita hamba. Boleh jadi kita “hidup” dalam kubur lebih lama dari kita hidup semasa hidup. Bayanglah kesan dari apa yang kita buat semasa boleh bernafas dibawa ke dalam ruang sempit itu untuk sekian lama. Kalau baik, alhamdulillah. Kalau tak? Ya Rabb, nauzubillah.
Jadi fikir baik-baik sebelum kita nak buat apa-apa, waima dalam hati, mesti yang baik-baik sahaja.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Kematian memang memberi jiwa kepada yang hidup.
(Visited 698 times, 1 visits today)