
“abah nak makan apa?”
“dapat telur itik masak lemak pun dah ok dah.”
Saya terus capai dompet dan beritahu emak nak keluar ke Pasar Mentakab. Masuk sahaja ke dalam kereta, pegang stereng terus sahaja berdoa safar. Kemudiannya menyambung doa “Ya Allah, beri aku 1 cerita hari ini untuk aku tulis dan kongsi kepada semua.”
Saya pun matikan enjin, mengundur kereta dan menuju terus ke Bandar Mentakab. Letak kereta, matikan dan terus keluar. Saya tempah ayam beberapa ekor, minta dipotong kemudian berlalu ke bahagian tengah. 
Pilih ikan kegemaran emak, biasanya emak suka benar dengan tenggiri dan bawal. Saya terus ke bahagian belakang, ada dua tiga baris makcik-makcik tua yang sebaya nenek kita semua duduk mengadap sayuran kampung mereka.
Berjual seikat seringgit, ada juga yang selonggok seringit. Semuanya murah-murah. Saya bertanya ada tak telur itik? Lalu makcik menunjukkan kawan di hujung sana. Saya pun berjalan ke situ. Dan terus memilih 15 biji telur itik. Lalu makcik itu cakap “masak lemak ke?”
Saya angguk. Terus dihulur daun kunyit, kunyit hidup, cili padi, belimbing buluh dan serai. Semuanya murah-murah ya Tuhan.
Saya membeli juga dari makcik sana, makcik sini. Ada pisang, ada jantung, ada lengkuas, ada asam keping, bunga kantan kesukaan emak mentua, daun kesum serta tempoyak. Semua ada. Saya beli belaka, boleh buat stok di Bangi.
Semasa ke makcik yang awalnya saya bertanya tadi tentang telur itik, beliau bertanya saya ini dari mana, kejap ada kejap tak ada. Saya jawab, “balik kampung makcik. Sesekali. Sekarang sibuk sikit balik pun jarang.”
Beliau tanya kerja apa dan sebagainya. Yang saya duk teringat sampai ke sini ialah beliau nasihat, “bulan itu jauh, namun masih ada malam-malam. Kami jadi mak-mak ni, macam pungguklah. Menengok bulan dari jauh. Tahu dia bersinar, tahu dia bercahaya, namun nak pegang tak boleh, nak sentuh nak cium pipi dia tak boleh.
Jadi, kena balik, kesian ke orang tua macam kami ni. Merindu heh jangan cakaplah. Rajin-rajinlah balik. Boleh beli lengkuas makcik ni jugak.” (beliau letak tangannya di dada dan menunduk terus menahan sebak).
Saya angguk. Ucap terima kasih dan berlalu pergi.
Saya balik ke rumah, letak semua barang di singki kemudiannya meneruskan sesi memasak untuk emak abah sampailah siap empat lima lauk. Kemudian saya jerit ajak semua makan, anak saudara, adik serta yang lain akan ikut bangun.
Masing-masing menyuap ke mulut sendiri. Saya perhati sahaja momen ini. Ini antara memori yang saya bawa ke mana-mana.
Semalam semasa di dalam kelas Robert Mckee, saya terkejut beliau menyebut ayat ini “people love God, but people don’t have hope. We see moon, but we just see, we don’t think that moon created by god, create you, create your brain how to think, how to feel how to pray, how to thank how to accept story to share, to accept incident, to accept conflict, no we don’t have hope. We just know God is there, like moon, far.”
Saya terkejut dengar ini. Kelas Mckee ini saya sudah hadiri masuk kali ke-3. Dan tahun inilah saya beritahu kepada semua kawan-kawan yang inilah guru menulis story telling saya selama ini.
Saya suka ayat Mckee tentang kita tahu kita ada Allah. Namun kita tak berharap pun kepada Allah. Kita hanya tahu harapan kita kepada usaha yang kita lakukan sahaja. Moleknya kita terhadap sesuatu kerja itu berlandaskan peluh dan penat. Namun kita lupa yang menjayakannya tetap Allah.
Makcik di pasar nasihatkan saya tentang wujudnya Allah. Saya tahu kasih sayang dalam nasihat itu adalah tentang dirinya. Beliau bercakap tentang kerinduan kepada seseorang, namun beliau luahkan itu dalam pesanan kepada saya.
Beliau berharap Allah membantu menyembuhkan kerinduan itu, lalu beliau berusaha dalam meluah kata kepada anak muda yang berdamping dengannya sesaat dua. Itu pun bukan yang beliau kenal.
Sama juga dengan nasihat McKee. Kita bercerita kepada orang apa sahaja yang kita nak luah kena ada rasa berTuhan. Supaya kita tahu mana yang sesuai mana tidak. Kemudian barulah kita tahu yang di situ ada Tuhan yang akan bantu segalanya.
Jujurnya, saya bersyukur bertemu dengan ramainya guru. Doa yang saya amal di awal perenggan tulisan ini, adalah yang saya dapat dari Bapak Habiburrahman semasa bertemu di Jakarta beberapa tahun lalu.
Saya bertanya kepada bapak soalan ini,
“Bagaimana bapak menulis laju terus, isinya seperti bapak itulah Fahri. Seperti dirasa dan membacanya itu kita tak henti-henti.”
Lalu bapak menjawab,
“Kita ini kecil sahaja di hadapan Allah. Apa sahaja kita mahu lakukan, doa sahaja. Minta. Allah boleh apa sahaja yang kita mahu. Kita telefon ibu, ibu bilang mahu makan ayam penyet, maka kita jauh, lalu kita berdoa Ya Allah ibuku mahu makan ayam penyet namun aku jauh Ya Allah.
Ha begitu, nanti adalah sampai, bagaimana caranya itu, Allah uruskan. Dia Allah, Dia akan bantu, Allah kan sayang sama ibu kita kan?
Sama juga dengan saya. Apabila saya mahu sesuatu, saya berdoa. Ya Allah, beri aku ilham hari ini. Tulisan aku masih belum siap. Ya Allah beri aku satu cerita hari ini. Aku mahu bercakap di hadapan ramai orang ini ya Allah. Aku mahu menulis ini Ya Allah, bantu aku Ya Allah!
Minta sahaja! Itukan Tuhan kita, minta!”
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,