Tadi sempat melawat keluarga kawan saya di sebuah perumahan. Lari ke sana ke mari. Beliau baru sahaja dermakan sebahagian dari hatinya untuk anak saudaranya sendiri beberapa bulan lepas.
Dan itu antara sebab saya nak sangat berjumpa dengannya. Semasa beliau muat naik di Instagram yang beliau di hospital, saya terkejut. Orang yang diam tak mahu cerita, whatsapp macam balas tak balas ini sukarnya nak tahu hal dirinya sendiri.
Orangnya memang jenis senyap. Belum berkahwin, duduk dengan emak ayah. Kalau di media sosial, hanya gambar dengan emak atau ayahnya, atau juga dengan anak-anak saudara atau dengan kucingnya.
Itupun kalau kita komen, 609 tahun lagi barulah beliau reply.
Tengah hari tadi, beliau meninggal dunia. Saya tak tahu nak kata apa. Puas juga nak mesej siapa, nak tanya siapa. Lalu ada kawan yang maklumkan di wall sekian-sekian. Saya bekejar juga nak jumpa keluarganya.
Pagi tadi, saya baru ja bersembang dengan kawan-kawan rapat hal kematian. Tentang orang berbakti kepada keluarga. Ya Rabb, kita ini tak tahu apa jasanya.
Saya berjumpa dengan ayah kawan saya tadi, bersalam, berpeluk dan mengucap takziah. Beliau bertanya saya dari mana, saya pun cerita sekian-sekian.
Kata ayahnya, arwah memang tak ramai kawan. Dia takut sangat orang tanya itu tanya ini. Jadi dia suka balik ja kerja, dia akan duduk rumah, ajak pergi surau, makan sama-sama semua.
Saya tanya apa sakitnya arwah, lalu si ayah cakap, dia hanya duk sakit-sakit kepala sejak beberapa hari lepas. Sudah ambil ubat, dah pergi klinik semua, dapat mc dan dia banyak berehat.
Hari ini tiba-tiba dapat call dia rebah di pejabat. Bawa ke hospital, tak sempat juga, meninggal dunia. Doktor pun tak kata sebab apa. Duk tanya banyak kali doktor tak cakap. Hanya beritahu fail sana sini sahaja. Mungkin jantung mungkin juga hal lain.
Ayahnya menangis beberapa kali. Sebelum saya balik, saya duduk sekejapan. Ayahnya bangun dan bersalam dengan orang yang masih datang ziarah.
Ada yang sebut, “syurga dah dia ni. Baik sangat. Meninggal pun tak susahkan orang. Senang ja semua.” Lalu semua terdiam dan menangis kembali.
Saya pun bersalam dan keluar dari situ. Sambung mesyuarat dan hilang sekejap suasana muram tersebut. Waktu nak balik ke rumah, ianya muncul kembali.
Saya duk tengok media sosial beliau, beliau ada tulis beberapa kali:
“Hidup ini antara betul dan tidak.”
“Hidup ini antara hidup dan mati.”
“Hidup ini antara tarik dan hembus nafas.”
Dan yang paling berkesan dalam jiwa saya ialah,
“Hidup ini bukan untuk diri sendiri. Ianya adalah untuk orang sekeliling, segalanya. Untuk dia, untuk kau, untuk kamu, untuk anda. Dan di situlah akan berjumpa kunci ikhlas. Kerana apabila kita hidup untuk mereka, kita akan sendiri hidup dengan cita-cita, Allah hadirkan kita di sisi sesiapapun, untuk berbakti, bukan sendiri. Lalu semasa kita mati selepas hidup nanti, segala apa yang pernah kita beri akan jadi doa, jadi harap dan jadi ingatan.”
Dan hari ini dia pergi begitu sahaja. Tinggallah saya yang menangguh mahu berjumpa. Dulunya nak sangat menulis hal inspirasi kisah beliau mendermakan organ untuk anak saudara, hari ini saya terpaksa tulis kisahnya yang dah tak ada di dunia ini.
Damailah kau wahai kawan, orang baik, disayang-sayang Tuhan. Dan kami yang banyak dosa ini belajar darinya.
Ya Rabb, ampunkan dosa kami semua. Jauhkan dari fitnah kubur, jauhkan juga dari siksa api neraka. Sesungguhnya dosa kami melaut, menggunung dan terlalu banyak, hanya Engkau yang maha pengampun ya Allah. Ampunkanlah Ya Allah.
Amin.
Khairul Hakimin Muhammad,
Kena sentiasa buat baik.