Saya keluar dari masjid dan berjalan pulang ke pejabat. Melalui beberapa buah kenderaan yang bersusun di hadapan dua hospital swasta yang gah di Bangi ini. Sedang asyik melangkah laju untuk sampai awal, ada seorang pakcik tegur.
Minta saya bukakan pintu keretanya, beliau beri kunci untuk saya tekan. Saya pun tekan sahajalah. Dia kata, bukakan bonet belakang dia tak reti. Saya pun tekan juga.
Kereta Volkswagen Polo Sedan, kuncinya memang kena tekan lama untuk buka boot belakang tersebut. Elok terbuka, saya pun hulur kunci kepada pakcik tersebut, pam! Kunci itu dirampas oleh seorang perempuan.
“don’t trust anyonelah abah!” dia jerit ke pakcik itu.
Saya terus cakap, “dia tak reti buka, saya tolonglah.”
“u siapa?” dia marah lagi.
“dah dah. Sorry, abah dah cuba tekan banyak kali tak boleh buka. Abah mintalah tolong”
“dahlah! Bosan betul! Minta tolong sikit pun payah!”
Ikut hati saya, nak ja saya hempas kepala perempuan itu ke dalam bonet yang terbuka tersebut. Namun ayahnya ada di situ. Tak pasal kena saman nanti. Perempuan itu ambil barang, masih mengomel sendiri dan tutup bonet tersebut dengan kasar. Saya pun blah jelah menyampah tengok.
Masuk sahaja pejabat, memang tak syok. Masa kelas pun emosi masih tak stabil. Duk teringatkan kasihannyalah bapa-bapa dapat anak begitu.
Malam itu, ada sesi kelas lewat malam. Nak pulang ke rumah dalam 10.30 malam saya berhenti di sebuah stesen minyak beli barang sikit. Elok nampak ATM kosong, saya pun pergi nak keluarkan duit.
Saya ternampak yang perempuan yang pernah marah ayah dia dan saya itu sedang minum dengan ayahnya dan emaknya. Wajah mereka ceria sahaja.
Saya buat-buat jelah tak nampak, malas nak panjang. Saya pergi ambil barang, bayar dan menuju ke luar. Elok dah berjalan menuju ke kereta, perempuan pemarah itu tegur.
“encik! Encik khairul kan? Encik yang saya marah jumaat lepas kan? Sori sori, saya kelam kabut anak saya warded. Saya tak patut marah Encik Khairul. Saya perasan bila dah rasional, rasa macam kenal ja.”
Saya pun jawab, “sebenarnya saya ok ja. Yang saya kecil hati puan marah ayah puan.” Dia tersentak. Ayahnya datang kepada kami, rupanya kami parking sebelah-sebelah. Kami bersalaman. Dia peluk lengan ayahnya dan cakap “sorry abah, tak sengaja marah-marah itu hari,”
Wakaka. Depan-depan dia terus minta maaf. Ayahnya elok sahaja peluk kembali tangannya dan kami bersalam. Terus masing-masing pulang ke destinasi. Saya tak nampak pula anak beliau yang dikata masuk wad tersebut.
Pagi ini, saya duk terfikir kenapalah Allah sentiasa beri saya cerita. Dan kemudian saya dapat kongsi kepada kawan-kawan semua. Dalam hal yang ini, saya sendiri kena simpulkan 2-3 saat sesi marah-marah tak menggambarkan keseluruhan cerita.
Iya, saya tak suka. Namun ianya bukan gambaran penuh kepada apa yang berlaku.
Semua orang buat silap, dan bukan semua orang jahatnya itu sampai mati. Ada yang sempat memohon maaf, berubah dan bertaubat. Dan ingat kawan-kawan, inilah sosial media hari ini.
Kita boleh benci orang hanya dengan 1 posting. Kita juga boleh suka orang hanya dengan 1-2 posting dia muat naik. Sedangkan kita saling tidak kenal keseluruhan hidupnya bagaimana.
Gambaran sesuatu kejadian yang berlaku beberapa saat adalah hanya gambaran. Bukannya kenyataan penuh untuk kita beri hukuman. Melainkan ianya jenayah, maka ia perlu diambil perhatian dan melaporkan kepada penguasa.
Kawan-kawan,
Hidup kita sementara, sangka buruk tak akan kemana-mana. Ia bawa kemusnahan emosi, merosak hati dan menjurus kepada sakitnya diri untuk berfikir tentang itu dalam waktu yang lama. Baik-baik sahaja, dan jika ia tidak baik di mata kita, tak pula kita boleh bantu, maka doakan kebaikan untuknya.
Tuhan tak beri sesuatu dengan sia-sia, semua yang kita nampak, dengar dan lihat, adalah apa yang kita kena belajar dan fikirkan, kemudian buat.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Sama ja banyak dosa, semoga diampunkan.