Ibu Kita Mulia, Membolehkan Kita Melakukan Kebaikan.

Saya pernah sampai di Kampung Svay Khleang. Dan banjir dari sungai ke-7 terpanjang di Asia, Sungai Mekong, menyambut kedatangan kami. Ianya bermula dari Tibet kemudiannya menyusuri China, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Laos dan Thailand.
Perjalanannya indah. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Pehn, kami menaiki tuktuk ke kedai makan, kemudian menanti van yang hanya ada satu kali sahaja perjalanan sehari ke kampung yang kami ingin lawati ini.
Perjalanan itu pula mengambil masa 4 ke 5 jam. Dan yang paling saya takuti ialah semasa menaiki tongkang menyeberang sungai yang bercampur air bah ini, derasnya laju, menderu dan berpusing-pusing.
Kemudian kami sampai di sekolah yang di bahagian hadapan lamannya sudah pun dinaiki air. Prof Dr Zain menyambut kedatangan kami. Beliau membawa kami di pinggir sungai yang sudah melaut. Katanya lebih 2km air itu membina jarak di antara tebing sebelah sini dan di sebelah sana. Ya Rabb.
Kata Dr Yamin, “Banjir ini hanya dengar kata Allah. Allah kata berhenti, berhentilah dia.” Kami senyum mendengar dan terus melangkah di dalam air berjalan di sekitar kampung.
Selesai semua, masuk mandi dan solat maghrib berjemaah. Dato Wan mengimami kami dan kami berkenalan bersama dengan kawan-kawan dari Universiti Ponogoro, Indonesia yang sama juga berbuat aktiviti di sekolah ini.
Seterusnya kami menanti kelas malam di sini. Sedang asyik bersembang, datanglah wajah-wajah yang akan menduduki kelasnya. Ia adalah ibu-ibu yang sudah berumur. Lebih mengagumkan hati saya ialah mereka masih mahu hadir dengan terpaksa membelah air banjir dari rumah-rumah mereka ke sekolah ini.
Seperti kata Prof Dr Zain, “orang perempuan ini jika dia berusaha, kalah kita kaum lelaki. Mereka tekad dan banyaknya sabar.”
Dalam keadaan daif, seperti Malaysia 70-80 tahun lalu suasananya, kampung ini sungguh memerlukan bantuan yang berpanjangan.

Dan saya yakin apabila melihat usaha wanita yang sangat gigih belajar akan menjadikan kampung ini sebuah taman yang indah suatu hari nanti. Jika tidak kerana pembangunan, sudah tentu ia akan melahirkan generasi yang hebat dan berdaya saing.

 
Saya teringat perjuangan Permaisuri kesayangan kita semua, Duli Yang Maha Mulia Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, baginda berusaha benar untuk mendapatkan zuriat sehingga terpaksa melakukan IVF sehingga berkali-kali dan mengikuti rawatan dengan sangat banyaknya sesi.
Sedangkan segala sesi dan rawatan tersebut adalah amat menyakitkan. Ia bukannya boleh dibuat dengan gembira dan bahagia, namun ia adalah proses yang perit bercampur derita.
Biasanya wanita yang mengikuti sesi ini akan menggigil, menahan sakit serta perlunya berbaring dalam tempoh lama.
Sabarnya mereka inilah yang membuahkan hasil yang melumayankan bahagia dan membuah rasa cinta sesama keluarga.
Wanita di kampung ini juga ada usaha yang sama. Derita tentang daif dan kesusahan ini mereka sudah tanggung sekian lama.
Selepas Khmer Rouge dari 1975 hingga 1979, lebih 2,000,000 manusia mati diseksa dengan sangat kejam, kemudiannya mereka ini hidup dengan serba kesusahan kerana kebanyakan mereka tiada sumber yang bagus untuk dibangunkan.
Jadilah mereka petani yang makan ikan sungai pada setiap hari. Pendapatan yang tidak seberapa dan menanti yang bagus-bagus dari kerajaan.
Dan dalam setahun ini, bermula kelas yang dibuat pada sebelah malam di sekolah yang asalnya ia adalah sebuah rumah lama.
Siangnya kelas anak-anak, malamnya pula untuk ibu-ibu.

Dan sesungguhnya, kita nantikan generasi selepas ini akan membuah kesenangan, seperti Huma Hatun (Ibu kepada Sultan Muhammad Al-Fateh) yang mendepankan pelajaran dan ketinggian ilmu kepada anaknya, dan menjadikan insan hebat itu sebagai pembuka kepada Kota Konstatinople.

 
Kawan-kawan,
Ibu kita mulia, menjadikan kita ini boleh berbuat banyaknya kebaikan hari ini. Malaysia terbina dengan sangat maju serta membangun dengan tersusun adalah hasil dari wanita-wanita yang sering memberi air tangan kepada suami dan anak-anak.
Lebih dari itu, mereka inilah yang mendepani kita semua dengan disiplin yang cukup tinggi hingga kita takut benar untuk melawannya.
Dan jadilah kita seperti hari ini.
Sungguh. Semua itu terbina dengan suara emak, tanpar dan tempeleng. Emak dapat semua itu dari kelas-kelas orang lama yang dibuat oleh para kiyai dan lebai pada zamannya.
Tanyalah mereka, emak akan jawab “dulu mak pun pergi kelas. Ustaz ajar malam-malam jemput semua belajar mengaji, kau apa tau.”
Dan hari ini, lihatlah kemajuan itu menurun kepada kita.
Doakan kampung ini mendapat nikmat yang sama. Kita bantu sama-sama okey!
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad.
(Visited 314 times, 1 visits today)