Kisahnya kami berjumpa juga selepas berkali-kali gagal untuk bertemu. Memang saya sendiri rasa nak bertemu apabila beliau sudah ceritakan sedikit tentang hidupnya. Saya pergi bersama kawan dan beliau datang bersama anak kecilnya.
Beliau seorang ibu tunggal yang bekerjaya. Tak susah pun hidupnya. Cumanya beliau hanya nak berkongsi kisah bagaimana sebuah perancangan yang dibuat telah hampir menghancurkan diri beliau dan anak-anaknya.
Peristiwa itu berlaku sekitar 17 tahun lalu. Yang mana beliau berkenalan dengan sekeluarga yang sangat baik budinya. Oleh kerana perkenalan itu bermula di tempat kerja, dan beliau berumur sekitar 30 an waktu itu, maka adalah unsur-unsur nak menjodohkan beliau dengan anak kepada keluarga yang beliau jumpa.
Beliau berbincang dengan keluarga, akhirnya bersetuju begitu sahaja. Berkahwin dan hiduplah beliau melayari bahtera perkahwinan.
Semasa minggu pertama, suaminya sering sahaja menerima panggilan. Awal pagi, sekali. Sekitar 10-11 pagi, sekali. Tengah hari, sekali. Petang, malam juga ada. Pada awalnya beliau tidak ada perasaan apa-apa, sekadar memberi tekaan yang suaminya itu ada ramai yang sayang.
Sampailah pada suatu hari, sekitar 3-4 bulan berkahwin, suaminya pulang dalam keadaan yang pelik. Memandang beliau dengan penuh kemarahan. Tidak bercakap dan masuk ke bilik air dengan botol ubat.
Malam itu beliau cuba siasat, bertanya, tak berjaya. Tak dapat jawapannya. Esoknya, suaminya jadi lagi begitu, dan beliau cuba menenangkan dan akhirnya beliau dipukul dengan kuat di bahagian muka.
Bibirnya pecah dan kepalanya terhantuk ke dinding. Beliau mendapatkan rawatan di klinik dengan alasan terjatuh. Dan berita baiknya, beliau rupanya sedang hamil. Syukurlah tidak ada apa-apa yang jadi kepada anak dalam kandungannya.
Si isteri ini semakin gusar. Semakin rasa nak tahu apa yang dimakan oleh suami sampailah pada suatu hari, beliau berjaya dapatkan botol ubat tersebut. Kemudian ditulis nama ubat dan klinik yang mengeluarkannya.
Rupanya, itu ubat pesakit kemurungan. Siasat punya siasat, bukan sahaja suaminya itu kemurungan, malah pernah ditangkap kerana menyakiti orang dan disahkan kurang siuman. Punyalah hancur hati beliau.
Keluarga di sebelahnya marah, mengamuk dan rasa ditipu oleh keluarga lelaki. Dan berlakulah pertengkaran yang dasyat. Bergaduh sampai berbaling kayu di hadapan rumah. Si suami pula memujuk-mujuk isterinya dan berjanji akan sentiasa makan ubat supaya sentiasa dalam keadaan tenang.
Beliau terima. Itulah suami yang beliau dinikahkan oleh ayahnya sendiri.
Sepanjang berkahwin, sering sahaja suaminya terlepas makan ubat. Dibuang kerja sebanyak 2 kali kerana perlakuan pelik dan beliau tak pernah berhenti berubat supaya suaminya kembali normal.
Hari ini, beliau punya 3 orang anak. dan suaminya sudah pun pergi mengadap Tuhan tahun lepas. Pergi meninggalkan beliau dan anak-anak di dalam tidur dan dikatakan jantungnya berhenti begitu sahaja.
Puan ini berjumpa saya hanya kerana nak berpesan kepada semua yang mengikut saya. Katanya, walau umur sudah lewat, bab berkahwin bab jodoh, siasatlah sebaik-baiknya. Iya, cinta itu selalu buta, namun boleh jadi ia sebuah ikatan yang sangat bagus untuk mendapatkan cahaya.
Kisahnya ini jadi pengajaran buat keluarganya. Katanya, suaminya itu memang sebaik-baik manusia. Namun kemurungan yang dialami itu tidak dirawat dari awal. Rupanya, memang beliau makan ubat tersebut dari zaman sekolah lagi dan ia memang sekadar memberi tenang sahaja. Tidak merawat langsung dari sudut kesihatannya.
Sepanjang perkahwinan, beliau berusaha sedaya upaya untuk ubah cara pemakanan, ubah cara pemakaian, ubah rumah sampai ke tahap membeli lampu di rumah, membeli warna baju dan semestinya sentiasa menjaga rapi kemahuan suaminya. Ia kerana ramainya orang di sana tidak mengetahui yang manusia murung ini mempunyai masalah dari sudut itu.
Mereka yang kemurungan ini, sering disalah anggap kerana begitu begini. Malah, mereka nampak normal, namun di lubuk hati yang jauh itu, terdapat segumpal perasaan yang melawan dengan semuanya. Jadilah berfikir yang bukan-bukan dan semuanya nampak negative sentiasa. Semua.
Anak bising, mengamuk.
Tv kuat sedikit, mengamuk.
Anak bergaduh, dia akan pukul sekuat hati.
Malah pernah isterinya ditumbuk hanya kerana tersalah membasuh baju hingga terkoyak.
Namun, itulah suami yang dia ada.
Ada 2 pengajaran yang beliau minta saya tulis.
Pertama, soal jodoh, siasat sebaiknya.
Kedua, jika itu sudah jodoh kalian atau takdirnya kalian dapat anak begitu. Hadaplah sebaiknya juga. Tak boleh undur tak boleh juga tinggalkan. Memang ya, ia sebuah kejahatan sebuah keluarga yang mahu lepas tangan hanya kerana tak sanggup nak jaganya lagi.
Namun apabila baton sudah ditangan yang lain, hadaplah sebaiknya. Beliau pernah diboikot keluarga sendiri hanya kerana tidak mahu menuntut cerai. Dibiarkan dengan anak-anak begitu sahaja, pernah terpaksa mengambil cuti semata mahu bertenang dan beliau juga pernah dimasukkan ke wad kerana stress melampau.
Namun, semua itu dicuba sedaya upaya untuk lawan dalam bentuk kasih sayang yang sebaik-baiknya. Kena berstrategi, kena bersusun. Kena lawan dengan ilmu. Kena lawan dengan kuasa Tuhan, kena lawan dengan semua bentuk kebaikan.
Akhirnya, rezekinya mencurah-curah hanya kerana taat dan setia kepada suami yang serba serbi kurang. Dia tahu, dengan bahasa kasar orang sekeliling, orang cakap dia ada suami yang gila. Namun, itulah suami yang dia ada.
Perjuangan beliau dah pun selesai. Walau pedih apabila suaminya sudah tidak bangun dari tidur, Hari ini, beliau gembira menjadi orang besar di sebuah sekolah. Hidup pun dah bersama dengan ibu bapa. Cumanya, nasihat beliau kepada saya,
“Tuan Khairul, apa sahaja yang Tuhan beri dalam bentuk ujian, tak boleh pandang beriya kepada kejahatan yang datang bersama. Pandanglah kebaikannya. Dan ambillah itu sebagai ujian untuk ditempuh perlahan-lahan.
Bertenang, cari ilmu, cari kawan, dan tak boleh sendirian.
Orang yang masih hidup, masih boleh mengadu kepada Tuhan, masih boleh berharap kepada kebaikan. Saya lalui kisah ini dengan beberapa fasa. Pertama, saya sendirian, kedua, ada saat keluarga bersama. Dan akhirnya keluarga kami bersatu semuanya tanpa ada sengketa. Hubungan saya dengan mentua sudah baik. Hubungan saya dengan sekeluarga semuanya sudah bagus.
Dan saya belajar tentang itu, iaitu setiap kelemahan, kejahatan dan kesilapan, lawannya adalah hemah, santun dan maaf.
Doakan suami saya senangnya berjalan di sana. Diampuni dosanya, juga semoga Allah menjaganya. Dialah suami terbaik saya. Sampai bila-bila.”
Saya diamkan diri sepanjang beliau bercerita. Iya, ada air mata yang tumpah. Saya lihat wajah seorang guru ini sebaik-baiknya. Bagaimanalah beliau tempuh semua itu dengan penuh sabar dan cukup tersusun etikanya.
Iya kawan,
Setiap ujian sesuai untuk hambaNya. Tuhan takkan uji orang itu sekiranya dia tidak sesuai atau tidak mampu mendepaninya. Ada orang, dia akan lari. Ada orang, dia akan hadap. Di situ sahaja titik tolaknya. Sekiranya kita ini masih hidup berTuhan, maka kita pilihlah mahu yang mana. Ada yang ke syurga, ada juga pilihan ke neraka.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad
Semoga kita diuji dengan ujian yang elok-elok.