Ingat! di mata Allah kita semua sama.

Saya sampai ja di majlis tersebut, terus dibawa ke meja yang disediakan. Duduk sekali dengan yang menjemput saya. Saya tiba-tiba jadi tetamu kerana duk mengajar anak cucunya bermain media sosial menggunakan apa ilmu yang saya ada. Segan dan malu pun ada sebenarnya.
 
Ia adalah majlis hari lahir buat suaminya. Meja bulat dan ada berpuluh lagi meja di dalam dewan tersebut.
Selepas ucapan, potong kek dan artis mula menyanyi, barulah kami dijemput makan. Pramusaji membuka dom makanan. Semasa menceduk nasi ke pinggan demi pinggan, salah seorang tetamu kami menegur pramusaji tersebut supaya jangan jatuh-jatuhkan nasi bertaburan, letak kena biar lawa dan tersusun.
Berkerut juga dahi saya macam mana nak ceduk nasi bersusun. Hahaha.
 
Kemudian beliau meminta pramusaji mencedukkan lauk sedangkan Puan Sri dan Tan Sri yang menjemput pun mengambil lauk sendiri.
 
Sedang elok semua dah makan, dia melambai kepada pramusaji dan meminta nak tambah lauk sekian-sekian, pramusaji melayan sahaja. Dan adalah acar terjatuh di atas meja tak terkena pinggannya, terus
“I perhati je you dari tadi. Shaking macam tak tahu buat kerja. Budak baru ke apa? Boleh you panggil manager you datang sini? Senang i nak complain.”
 
Budak itu memandang Puan Sri. Dan Puan Sri duk lambai-lambai kata tak apa, “small matter small matter.”
Sekali yang puan tadi yang banyak cerita itu duk cakap, “nooo.. this is benda yang kita kena complain Puan Sri. I tak boleh tahan benda macam ni. I lapar, nak makan, nak celebrate dengan you birthday husband you. Takkan benda ni you kata kecil.”
 
Puan Sri tetap kata benda kecil sahaja.
Habis semua makan, ada sesi beri hadiah. Dan tetamu dilayan dengan minum kopi serta adalah kuih-kuih melayu.
Kopi dituang satu ke satu cawan. Tak ada apapun yang berlaku. Semua okey sahaja. Namun Puan yang tadi itu meminta air masak. Dan Pramusaji itu kata “baik, sekejap ya Puan.”
Dan sekali lagi drama berlaku, puan itu memarahi budak tersebut dan duk cakap kenapa berani jawab “sekejap sekejap.” Kena terus ja buat kalau disuruh.
 
Terus sahaja Puan Sri memandang puan tersebut dan kata,
“actually itu cucu i. Dewan ni mak dia punya, ikut hati i, i boleh buat di hotel, tapi nak bantu bisnes anak beranak. Dan anak i suruh dia jaga table ni. Di memang tak ada experience, namun i suka dia ni suka belajar. Now dia belajar banyak benda hari ini.
 
1st, kawan nenek dia jahat. 2nd, nenek dia tak back up dia sebab jaga hati kawan dia. 3rd, nenek dia pun lepas ni tak jemput dah kawan-kawan nenek yang diva, banyak cerita dan perasan orang kaya.”
Puan Sri pun bangun ke meja sebelah layan tetamu sana, tetamu sini. Puan tadi duk pandang ja kopi dia. Suami dia pun duk main telefon.
 
Tan Sri pun ikut bangun, pergi mana entah. Dan saya terkulat-kulat tengok drama tersebut.
Selang beberapa minit, mc umumkan yang Tan Sri dan Puan Sri dah berdiri di pintu dewan nak menjemput semua tetamu pulang. Kami pun berbaris bersalam dan balik ke rumah.
 
Saya belajar sesuatu dekat sini. Dalam hidup, tak boleh merendahkan orang dan meletakkan kita tinggi walau kita sedang berada di tempat yang tinggi.
 
Kawasan itu tinggi,
Bukit bukau,
Bangunan, kondo,
Namun kita apabila dah berada di atasnya. Kena jadi orang biasa sahaja. Supaya kita tak merendahkan orang yang berada di bawah. Kita akan rasa kita sama.
Hal kecil, tak perlu dibesarkan demi untuk jaga ketinggian kita. Dan itulah yang Buya Hamka duk pesan banyak kali,
 
“Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, dan akan kembali ke tanah. Lalu kenapa masih bersifat langit?”
Sungguh, kan? Tanah itu kita. Dan kita yang kawal semuanya mahu jadi kaya yang baik atau orang berharta yang berbudi bahasa.
 
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tak hidup dek puji,
Tak mati dek keji. Huhu.
 
P/s: Catatan ini ditulis semasa COVID-19 belum ada. Sekitar 3-4 tahun lepas.
(Visited 635 times, 1 visits today)