Ingat! Hidup Ini Kadang Kita Di atas, Kadang Kita Di bawah.

Waktu saya gagal di sebuah kolej dulu (tahun 1999), emak nasihat cari kerja sebelum masuk ke kolej atau universiti lain. Saya pun cari di pekan Mentakab dan berjaya dapat masuk di McDonalds.
Sebelum ini lokasinya di dalam TheStore. Bahagian tepi kanan ruang masuknya. Kerjalah di situ sekitar gaji RM3 sejam. Seronok sangat dapat kerja dan ada duit sendiri.
Namun emak pesan simpan duitnya mana tahu dapat masuk belajar semula nak guna untuk daftar.
Dalam happy kerja di situ, ada beberapa kali saya duk terkena dengan kawan-kawan yang berjaya masuk awal ke Universiti dan dah belajar beberapa semester.
Mereka datang makan dan melepak di McD tersebut. Seperti biasa masa nak pesan, mereka perli tanya, “akhirnya kau kerja sini je, takpe takpe, aku habis belajar nanti kau kerja dengan aku, aku jadi bos kau.” Kemudian mereka ketawa ramai-ramai. Haha.
Saya senyum sahaja. Mana boleh lawan, bos sentiasa pantau. Nak kerja seronok dengan kawan yang sekepala waktu itu bukan senang, jadi saya hargai momen baik buruk di sana.
Selang beberapa bulan, dapat masuk KUSZA. Ya, saya antara yang lebih tua berbanding orang lain. Kahkah. Habis situ, masuk KUTPM (sekarang MSU).

Jujurnya semasa di mana-mana saya belajar pun, saya berusaha cari duit sendiri. Dan waktu itu adalah masa terbaik melihat bagaimana kita dilayan oleh orang sekeliling.

Biasanya, pengusaha bisnes akan melayan kita dengan sangat baik. Contohnya semasa buat ijazah, saya bekerja part time sebagai pemotong ayam dan pramusaji di sebuah syarikat katering.
Mereka ini anak beranak melayan kami dengan sangat baik. Kongsi tentang bisnes dan sebagainya itu tak pernah sedikit pun kedekut.
Namun di dalam kelas, pulang balik kampung terserempak dengan yang sebaya, akan jadi berbeza.
Kadang-kadang bengkek, bengang dan geram, namun ketap gigi sahaja, duk fikir yang masa depan jauh lebih besar dari mulut orang.
Lebih lagi, kita bukan orang senang nak buktikan apa-apa kepada sesiapa. Hanya untuk bantu keluarga dan berusaha ubah kehidupan menjadi lebih baik, itu sudah cukup alhamdulillah.
Tadi, saya pergi sebuah stesen minyak nak keluarkan duit. Di situ adalah jual makanan. Saya beratur juga nak membeli.
Di hadapan saya, 3 orang budak perempuan. Mereka duk ketawakan adik yang jaga kaunter ambil order. Apabila sampai giliran saya, mereka bertiga masih berdiri di bahagian tepi menanti makanan, saya pula buat pesanan.
Saya tanya, kenapa muka sedih? Dia tak cakap apa-apa, geleng sahaja. Muka dah nak menangis. Sekali salah seoranf yang bertiga itu cakap, “leklah, kami gurau je kot. Aduh takkan cakap sikit pun dah nak sentap.”
Saya tanya cakap apa? Mereka pun jawab yang sekadar bergurau cakap “kerjalah situ sampai mati je punnn.”

Saya terkejut. Saya pun cakap ke adik yang masih duk buat pesanan saya, “dont worrylah pasal cakap-cakap orang, kau hebat kerja sini cari duit sendiri, bagus, tak ramai orang sanggup kerja hari ini, yang ramai minta free, nak itu nak ini minta sana sini. Hari ini kau kerja untuk duit kau, entah-entah depa ni membeli dari duit PTPTN.” Mereka bertiga dapat pesanan dan beredar dari situ. Saya pun dapat dan terus menuju ke kereta.

Budak-budak itu di motorsikal, dan saya terus tekan alarm dari jauh. Hahahahaha tetiba jadi diva nak tunjuk kereta. Mereka pandang saya, saya pandang mereka dengan senyum.
Dalam hati saya cakap “kau merendahkan orang lagi depan aku, aku rendahkan kau sampai kau belajar yang kau itu tak tinggi mana pun.”
Kawan-kawan,
Kena ajar, kena didik, kena tanam dalam kepala anak-anak untuk berhenti buli orang. Kalau di sekolah, universiti pun dah bijak bab merendahkan orang, bagaimanalah mereka ini akan hidup dalam masyarakat kita semua.
Jujurnya mereka ini lihat apa yang ibu bapa mereka buat kepada orang lain. Dari situ mereka belajar.
Ibu tak boleh merendahkan ayah di hadapan anak-anak. Ayah tak boleh merendahkan ibu di hadapan anak-anak, walau apa kekurangan, jangan! Mereka sangat cepat belajar.
Dan, ibu bapa juga tak boleh merendahkan anak-anak mereka sendiri di hadapan anak yang lain, atau sesiapapun. Pleaselah.
Umur saya 38 tahun, 20 tahun lepas saya dibuli kawan-kawan sendiri yang sudah merasakan mereka berjaya apabila berada di Universiti. Sedang saya masih merangkak cari duit untuk masuk ke mana-mana menara gading.
Hari ini saya duk lihat perkara yang hampir sama berlaku dalam hidup saya. Cuma saya berusaha back up dan bantu adik tadi.
Saya tak tahu dia buat part time atau memang kerja di situ. Boleh jadi salah satu. Namun sebagai manusia, kita boleh sahaja meraikan anak yang bekerja, anak yang bersekolah.
Yang kerja mencari sepinggan nasi untuk dia berkongsi sekeluarga. Yang belajar pula boleh sahaja menjadi sahabat yang baik memberi dorongan dan bantuan untuk mereka. Saling percaya yang zaman itu atau waktu itu adalah usaha masing-masing. Itu sahaja yang membezakannya.
Buli tak pernah beri kesan baik pada waktu dihina, diperli dan dicerca. Walau dalam bentuk gurauan, ia tetap tak baik.
Dan saya cakap terang, berhati-hati dengan orang yang diam waktu dia dibuli, boleh jadi selepas 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun, kau akan datang temuduga atau mahu dapat tender itu ini dari pejabatnya.
Orang ini bangkit dalam damai dan ketenangan.
Mereka sakit waktu dihina, namun membalas segalanya dengan kejayaan tanpa bertepi dan entah-entah Allah balas balik kepada kalian yang membuli dengan cara mempertemukan kalian dengannya bersama penuh aib dan memalukan.
Ingat kawan,
Hari ini kalian malukan orang. Boleh jadi, satu hari Allah pusing balik kepada kalian.
Waktu itu, bukannya orang lain yang tegur, Allah tegur terus, dan hadaplah ujian itu seorang diri.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Sama-sama kena sepakat bantu mangsa buli dan hentikan semua ini.
(Visited 682 times, 1 visits today)