Masa lepas SPM dulu, abang jual nasi lemak depan rumah Cikgu Ton, Taman Rimba, Mentakab.
Masa tu dapat jual 10 bungkus sehari pun mak dah senyum. Bukan nak kaya pun. Mak nak abang belajar hidup sahaja.
Ikutkan, mak susah bebenor nak siapkan nasi lemak tu. Jam empat pagi beliau dah bangun siapkan nasi, sambal, ikan bilis bagai. Abang bangun subuh, semua dah ready. Lepas tu berangkutlah untuk menjual.
Kau tahu, itu semua harapan emak. Masa tu, entah-entah emak doa: “Ya Tuhan, gembirakan anak aku seperti mana kau gembirakan aku dengan anak-anak yang ramai,”
Mungkin itu sahaja yang emak doa. Dan abang memang cukup seronok menjual. Setiap kali balik cerita kat mak ada sahaja baki nasi, emak akan kata “tak apalah, boleh kita makan tengah hari,” Dan kami pun ketawa.
Kau tahu kawan, emak kita berusaha hari-hari menggembirakan hati semua anak-anak. Bersungguh berusaha. Lebih-lebih lagi bila kita pun mula tua.
Bila kita balik, boleh pula dah siapkan air oren, masak kari bagai. Nak bagitau kau orang, mak masak ni untuk kau orang. Mak pergi pasar jalan kaki ni untuk kau orang. Mak korek duit beli ikan besar beli ayam segar semua untuk kau orang. Punyalah masak banyak-banyak biar kau orang makan sampai dia sendiri tak makan. Haih..
Bila kau dah besar, ada geser sikit-sikit adik beradik, janganlah kau nak kecil-kecil hati. Jangan. Itu semua dah kira biasa. Masa kecil, kita bergaduh dan boleh berbaik, dah tua pun harapnya pun sama begitu.
Emak kita tak akan putus harap dan tak mungkin putus doa untuk anak-anak gembira. Dan kita pun sebagai anak, pastikan emak gembira dengan kita yang bahagia.
Hidup tak lama kawan, rugi besar jika emak kerap menangis sebab kita.
Hati emak ada satu sahaja, tapi dia sanggup beri pada semua anak-anak yang beza-beza perangai, beda-beda dan berasingan kesukaan. Itulah emak kita, kawan.
Tuhan beri kita hati yang boleh buat kita jatuh cinta. Yang pada waktu kita bayi dulu, emaklah yang paling kita mahu dakap kuat-kuat, yang mahu kita dicium erat-erat dan mahu kita sentiasa depan mata dan ada dekat.
Janganlah bila jauh, buat emak menangis rindu. Buat emak letih lesu. Buat emak sedih dan pilu, hanya kerana sikit-sikit salah begitu begini, kau lupa kau ada emak yang sama dengan adik-beradik kau yang lain.
Khairul Hakimin Muhammad
Emak Rindu Mathanga Erissery