Kami duduk berdua di sofa, ‘Ain masih memegang telefon dan menonton Ryan Toys Review. Sebuah rancangan Youtube tentang seorang kanak-kanak lelaki yang suka benar buat ulasan tentang banyaknya permainan.
Sedang asyik memandang beliau, ‘Ain bangun dan memegang pipi saya dan kata “abah, kalau abah dah tua nanti, abah buat apa? Kerja lagi?”
Saya jawab “taklah, abah jaga mama, mesti mama dah takda gigi, abahlah kena masak bubur untuk mama.”
Beliau senyum dan kembali menonton telefonnya.
Malamnya, nak jadi cerita, saya duk bermimpi menjadi seorang pesakit yang menghidap penyakit kronik. Saya lihat kesakitan saya sendiri.
Yang mana ia merubah segala-gala warna dalam kehidupan saya.
‘Ain menjauhi, dia jadi takut melihat kesengsaraannsaya, isteri pula sibuknya dengan kerja. Lalu semasa saya menghembuskan nafas terakhir, yang ada hanya mesin-mesin di sisi saya.
Saya kemudiannya dimandikan oleh para petugas hospital, dan dibawa terus ke sebuah surau kecil di sisi tanah perkuburan.
Yang solatkan saya hanya 2 orang, penggali kubur dan juga seorang tua. Tak tahu siapa dia. Wajahnya manis, rambutnya lurus, pipinya langsung tak ada cacat cela. Sungguh sopan dan sangat-sangat bercahaya.
Keluarga saya tak ada seorang pun yang datang. Isteri dan anak juga lewat. Mereka sampai sewaktu jenazah saya sudah mahu dimasukkan ke dalam liang lahad.
Kemudian ayah saya berlari, katanya “tunggu! Tunggu!, itu anak saya. Biar saya yang turun ke bawah.”
Lalu abah dihalang oleh penggali kubur yang sedang membawa saya masuk ke liang lahad tersebut. Katanya dah nak siap dah. Takkan nak bawa naik semula.
Saat mahu dihambur kembali tanah-tanah masuk ke dalamnya, saya melihat keluarga saya berdiri. Tanpa seorang pun yang menangis.
Lalu saya ikut mereka itu pulang.
Isteri saya terus masuk ke tempat kerja, ‘Ain pula kembali ke biliknya.
Saya duduk di kerusi, tempat beliau suka belajar. Melihat dia duduk di atas katil mengadap wajah saya yang dipotret di sebuah bingkai. Beliau pegang gambar itu.
Lalu ‘Ain menangis. Memeluknya erat.
“Ain minta maaf abah, ‘Ain tak sempat jaga abah. ‘Ain rindu abah.”
Saya menangis di kerusi itu. Lalu saya hilang perlahan-lahan. Meninggalkan semuanya dan pergi entah kemana. Segala tangis saya juga terhenti di situ.
Malam itu saya terbangun terus ke tandas, mengambil wuduk dan terus solat sunat taubat 2 rakaat. Saya ketakutan.
Kemudian naik ke katil mencium dahi anak, dan isteri. Saya terus duduk di meja menulis. Merenung besarnya mimpi itu untuk saya.
Beberapa bulan lalu, saya duduk bersarapan dengan cikgu menulis saya. Beliau hilang pekerjaan dan bercakap tentang dunia politik masa kini.
Saya pula jadi seorang yang menasihatinya, saya bilang, “kawan, Allah itu boleh balikkan segala benda dalam sekelip mata. Jika hari ini kau miskin, esok kau boleh kaya dengan kuasa Allah. Allah ada semua itu. Manusia tiada.”
Lalu kami berpisah di situ. Tup tup beliau ditawarkan menjadi seorang orang penting hari ini. Beliau terima dengan hati terbuka.
Saya melawatinya di pejabat. Melihat kesibukan dirinya. Pernah suatu ketika, saya melihat beliau duduk di mejanya. Kemudian dipanggil bos untuk hadir mesyuarat, saya memerhati beliau memakai blazer. Dimasukkan tangan kanan dahulu, kemudian tangan kiri. Tup, lengkap, kawan aku kembali segak seperti dahulu. Rasa mahu memeluknya, namun saya bangun dan berlalu pulang. Biarlah rasa puas itu dalam doa untuknya.
Sudah ada kerja, ada peluang untuk menembusi banyaknya pengalaman yang didamba ramainya manusia.
Hari ini, kali ke-2 saya di Glencoe. Sebuah tempat yang saya teringin benar nak pergi selepas banyaknya filem dibikin di kawasan ini.
Tahun lepas, saya duduk terjelepuk. Terhina kerana bakat sendiri dan dipergunakan hingga ke perahan terakhir.
Darah itu tak lagi menitis. Ia kering bersama warna kulit yang memerit hingga akhirnya mereput mahu mati.
Saya dahagakan air yang perlu memberi nyawa kepada badan, dan pentingnya sedikit makanan untuk saya bangkit melawan.
Lalu, ada seorang ini memberi pesan. Katanya,
“Hei, Allah boleh beri untuk kau hari ini, Allah juga boleh beri untuk esok. Hanya sabar dan tenang sahaja untuk meneruskan perlawanan. Ia sama seperti kelaparan, sakitnya ketika itu hilang apabila kita mula menyuap. Walau belum ia turun ke perut, kita tahu ia sedang menyelamat.”
Hari ini, Scotland menjadi penyelamat sekali lagi.
Keindahan bumi ini dari Edinburgh hinggalah ke Lands End memang memberi makna.
Tuhan bermain dengan warna. Saya lihat banyaknya kehidupan selepas bersepah kematian di tanah ini.
Seperti sejarah Clan McDonnal yang 33 orang mati dibunuh tentera semasa zamannya, hari ini tempat itu meriah dengan kehadiran ramainya orang untuk menyaksikan The 3 Sisters, 3 gunung batu yang bersusun sejajar.
Ia lengkap dengan keindahan langit biru, kemudiannya gunung itu dari atasnya menghijau, turun ke bawah menjadi kuning. Disambut dengan sebatang sungai yang bersisirkan laluan untuk orang hiking, oh Ya Allah, lengkapnya lukisan ini.
Belum lagi di Glencoe Village, Isle of Sky, Lost Village, banyaknya Castle, Loch Ness, Loch Lomond dan banyak lagi kawasan.
Subhanallah, ia sangat-sangat cantik.
Bumi Scotland dihujani berbagai peluru dan tombak. Dari zaman viking hingga ke tentera, mereka gah berdiri tanpa dijajah. Peperangan mereka memang bermandikan darah, namun mereka menang dari 1 battle ke 1 battle. Dan hari ini, ia masih mengekalkan segala bentuk keindahan dunia pelancongan itu dengan sangat terjaga.
Tiada lebuhraya untuk dibangunkan. Ia tidak dibenarkan kerana bimbang mengganggu ekosistem.
Tidak dibenarkan memancing di mana-mana sungai dan tasik. Juga kerana ekosistem.
Tebangan pokok, memburu serta apa sahaja bentuk merosakkan tumbuhan dan binatang, semuanya tidak boleh.
Ianya dijaga dengan sangat rapi oleh penguasa di sini turun temurun sampai ke tahap bentuk binaan juga dikelaskan kepada beberapa bahagian. Ia tidak boleh sewenang diubah, direnovate atau apa, hanya untuk kekalkan sejarah dan kisahnya.
Dan, jika kalian hadir ke sini. Lihatlah inilah Scotland yang pernah ramainya terbunuh untuk mengekalkan segala yang ada hari ini, kini hidup dengan sebaiknya.
Kawan-kawan,
Allah suka mengusik kita.
Ada orang, perlukan perubahan untuk hidup.
Ada pula, yang perlu kekal begitu untuk teguh. Namun, 2-2nya ada kelebihan yang sama, iaitu selepas kita mati, kita perlu hidup untuk orang lain ambil manfaatnya. Ia disebut sebagai pahala berterusan.
Selepas kita putus nyawa, iya kita sudah tidak ada lagi kuasa atau kudrat untuk usahakan segala yang belum tertunai, namun, boleh jadi ianya disambung oleh mereka yang mahu ianya terus mekar dan segar kepada generasi lain.
Itulah namanya warisan.
Bagaimana kita mati, jadi pengajaran. Namun selepas kita mati itu, adalah keistimewaan untuk terus mendapat doa yang baik, atau dicaci hina sampai bila-bila.
Itu kita pilih.
Seperti Scotland, bumi tandus ini hidup setiap 4 musim, ramainya manusia hadir hari ini mengenal Tuhan, dan kemudian mencambah rasa iman, dan memutik rasa cinta pada alam dan mahu membawanya ke negara masing-masing.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Catatan di Glasgow, Scotland (2018).