Jangan Mengeluh

“Letak kuah je bang,”

Abang yang menjual nasi itu terpinga-pinga, “takkan kuah je? Dua-dua nasi?”

“Ha ah. Kuah ja. Bebudak tak makan lauk pedas ni.” Abang yang memesan menjawab.

“Ada tu ayam goreng.” Abang pekedai menambah.

“Eh takpa, takpa. Kuah ja kuah ja.”

Lalu beliau bayar RM2.00. 2 pinggan nasi yang diletak kuah masak lemak itu dibayar dan beliau terus berlalu. Hilang dari pandangan kami. Saya minta nasi saya, lauk serta sayur. Dan kemudian, bayar juga dan terus ke meja.

Abang tadi duduk dekat sahaja dengan kami. Makan 4 orang, 2 anak lelaki dan isterinya. Menguis nasi berkongsi. Ah tak boleh jadi, baru nak bangun belikan lauk, elok ada seorang kakak manis hulur beberapa ketul ayam.

Lalu anaknya sambut dan kata, “ayaaaah, ada ayaaammm!”

Si ayah dan emaknya beriya ucap terima kasih. Entah kemanalah mereka nak pergi agaknya.

Jujurnya semasa dari Taiping, kami tak sempat makan. Memang ya lapar. Sebabkan nak kejar anak kucing yang tersangkut di enjin dan perlu diambil dari bengkel sebelum jam 6.00 petang, kami bergegas pulang.

Kemudian berhenti di RnR Tapah untuk makan dan solat. Semasa nak sampai, saya duk kata dalam hati, kenapalah boleh sampai lapar begini.

Duit ada, kenderaan ada, berhenti sahajalah untuk makan. Mengeluh-ngeluh beriya juga.

Lalu Allah tunjuk depan mata, rupanya ada lagi yang susah. Entah kemanalah mereka nak pergi saya tak tahu. Namun tengok gaya macam nak balik kampung. Kan cuti sekolah.

Boleh jadi duit cukup-cukup sahaja, anak lapar berhentilah di situ membeli nasi.

Dan mereka makan dengan cukup gembira. Saya dan Hilmi habiskan semua makanan. Berlalu di meja tersebut yang masih dipenuhi suasana bersuka ria sekeluarga. Manis-manis belaka wajah mereka, mengusik bersenda bagai.

Tengok dengan mata biasa, tak nampak apa-apa. Namun cahaya di wajah isteri dan anak-anak, ada banyaknya bahagia.

Ada orang, rezekinya hanya RM2, namun gembiranya itu tak bertepi.

Ada juga orang, banyaknya segala-galanya, namun resah gelisah bertempek-tempek di hati lalu menjadi suram muram dan mula bertukar kejam kepada hati sendiri, dengan keluh dan merungut-rungut.

Kawan-kawan,

Kita susah, ada lagi lebih susah.
Kita beriya nak gembirakan keluarga dengan duit, harta dan segala keindahan kemudahan, namun disebalik semua itu, wajah senyum anak, gembiranya isteri dengan kecukupan rezeki adalah kebahagiaan sebenar.

Benarlah kata pepatah, “Mencari rezeki di luar jangan sampai anak di rumah menangis rindu sendu, bersedih bercinta sampai berdarah luka hati, jangan sampai mereka mati berkali-kali kerana hanya pandai memeluk diri sendiri.”

Buanglah keluh. Jauhkanlah merungut. Rezeki sudah terbentang, peluklah sampai rasa degupnya. Biar banyak-banyak bersyukur.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Ternampak-nampak wajah anak-anak tersebut.

(Visited 21 times, 1 visits today)