Keberkatan Dari Ibu Bapa

“Kami dah biasa macam ni Khairul. Memang satu keluarga besar yang rapat sangat-sangat. Ya adalah masam muka apa benda tu semua, tapi takkan lama. Paling lama 1 hari, esok dah baik semula. Sebab kami memang rapat.”
 
Saya dengar sahaja kakak ini bercerita. Kagum. Beliau bercakap tentang hebatnya ahli keluarga mereka ini hampir semua berniaga dan membuat kerja amal.
 
Adik beradik emak dalam 10 orang. Semuanya berniaga. Anak-anak berniaga, anak saudara juga berniaga.
 

Mereka ada duduk dekat, ada duduk jauh. Sejak ada Whatsapp, mereka buat group dan jadikan medan itu ruang yang lebih hebat untuk berkeluarga.

Lebih dari itu untuk berniaga. Yang buat saya ternganga ialah kakak ini cerita tentang jika ada sahaja yang keluarkan produk baru, mereka akan jemput semua ahli keluarga datang ke rumah atau pejabat. Untuk buat sesi penerangan, beritahu ada produk baru.
 
Rasa, sentuh, tengok. Beri komen atau beli terus.
 
“Dia macam orang nak dapat anak, buat baby shower, namun ini business shower. Jadi memang seronok. Dia jadi perjumpaan keluarga tapi cerita pasal produk masing-masing.
 
Dari jual nasi lemak, sampailah ke produk mahal macam kosmetik, tudung semua. Kami akan berkumpul ramai-ramai.
Kejap minggu ini rumah makcik ni. Anak dia keluarkan produk. Buatlah makan-makan, doa selamat semua. Cecah jugalah kadang-kadang 100 orang. Dah macam kenduri.
 
Kemudian ada pula minggu lagi 1 dekat kampung pulak. Baliklah semua ke kampung ada yang buka restoran. Macam itulah kami. Seronok. Jadi semua keluarga berkumpul dan kenal. Best sangat.”
 
Ternganga saya dibuatnya. Di mana-mana saya pergi, orang selalu merungut yang keluarga tak support apa yang mereka buat. Ada yang kata tak larat kena perli dengan adik beradik, mak ayah suruh kerja kerajaan sahaja.
 
Kawan pun tak membantu, tak habis suruh give up dan cakap buang masa. Rupa-rupanya wujud dalam dunia ini keluarga yang memberi sepenuh sokongan kepada setiap usaha yang dilakukan.
 
Positifnya mereka ini sampai ia beroleh kejayaan, dan semua itu diraih bersama. Seronok betul!
 
Saya teringat cakap Ustaz Hosnee dalam kuliah sewaktu dahulu, “nak tengok keberkatan dalam satu-satu hal, tengok dia berkembang. Tengok bahagia, tengok keseronokan dan kecantikan proses itu. Rasa seronok tengok bermula dari kecil, semakin membesar, itulah keberkatan.”
 
Boleh jadi inilah amalan keluarga mereka turun temurun. Dari atok nenek dan kemudian mereka lakukan semua ini sampai sekarang.
 
Kita juga boleh kawan-kawan, kalau keluarga kita tak mula, maka kita kena mulakan. Berani beritahu ada produk. Jemput semua ahli keluarga datang, rasa dan minta doa. Supaya semua proses kita ini mereka nampak. Mereka tahu susahnya kita berusaha.
 
Dari berfikir yang tak baik, boleh jadi akhirnya mereka mendoakan kejayaan. Kadang-kadang ia boleh jadi sebab kita yang takut sana takut sini, kalau kita yang berjaya ke depan, maka Allah juga akan bantu kita.
 
Sungguhlah, kot macam mana pun keberkatan itu datang dari ibu bapa, keluarga, isteri (atau suami), adik beradik dan seluruh ahli yang lain.
 
Doa mereka ini adalah penguat kepada kejayaan kita hari ini. Jadi akar, jadi tunjang. Walau orang tak nampak, namun itulah yang memegang kita jadi kuat, jadi hebat dan mampu meneruskan usaha sampai ke pucuk yang mencecah awan.
 
Seronoknya ada business shower. Doakan kita semua boleh lakukannya. Menjemput keluarga, membawa mereka melihat dan mendalami apa yang kita buat adalah keberkatan. Sama-sama kita jom. Besarnya pembelajaran saya dalam hal ini. Alhamdulillah syukur sangat.
 
Patutlah mereka antara keluarga yang keluarkan produk dan kini menjadi lambang kemegahan dalam negara. Tak sangka semuanya ahli keluarga. Berkait dan ada pertalian belaka.
 
Kena hadam, kena ikut, belajar dan berbuat. Insya-Allah!
 
Begitulah.
 
Khairul Hakimin Muhammad,
Kagumnya.
(Visited 445 times, 1 visits today)