Apabila ditanya tentang inspirasi yang menjadikan kita ini siapa, saya suka sekali ingat bagaimana kami menghantar bantuan ke Thailand beberapa tahun dulu semasa masih bekerja.
Kami naik 1 kereta berjalan dari Bangkok ke Ayutthaya kemudian beralih ke kawasan Rayong dan Pattaya. Pergi ke sekolah demi sekolah (sekolah agama), kemudian menjelajahi perkampungan muslim pun satu demi satu.
Mereka ini tinggal di negara yang bukan Islam, tidak ada praktis dari sudut nasional dan ada antara kawasan yang menjadikan agama Islam ini sebagai salah satu ancaman.
Jadi, kesusahan memang membelenggu kehidupan mereka. Kita di Malaysia, boleh marah maki hamun jika 1 dalam 300 hari kita hidup setahun tiba-tiba keluar air warna teh di pili paip. Di sana, air minum, air mandi atau air bercuci datang dari kolam atau paya atau sungai terdekat.
Jika berhampiran bandar, adalah lengkap semua fasiliti itu. Di kampung, tidak.
Saya melihat banyaknya usaha untuk mereka hidup, dan semua itu menjadikan mereka ini kreatif ya amat.
Tanak pulut, makan dengan mangga, durian, santan, nangka, pisang, kelapa, ikan masin dan sambal.
Kuih-kuih penuh dan berbagai, ada sahaja ideanya. Dan semua itu menjadikan mereka terus hidup di sana.
Jika masak ayam, ada beribu cara. Ikan dan daging pun sama. Ada eletrik, tak ada eletrik, dapur kayu atau gas, semua ada cara yang tersendiri. Sedap tetap nombor 1.
Bayangkanlah mereka boleh keringkan durian, jadikan ia kerepek yang menjadi kegemaran dunia hari ini. Di Malaysia, durian lebih terkenal dengan makan begitu sahaja, jika ada produk, ia terjurus kepada tempoyak dan serawa sahaja.
Seperkara lagi, mereka ini hidup dalam komuniti yang sangat saling membantu. Sampai ke tahap siap beli ambulan, bina klinik muslim di komuniti mereka.
Ibarat keluarga besar yang sentiasa menyokong. Ia sebuah kekuatan yang saya respek sangat-sangat.
Hari ini, di Bangkok, bandar yang popular dengan industri pelacuran dan maksiat, dihiasi dengan lebih 200 surau dan masjid.
Walau masih minoriti, makanan muslim dan hotel muslim sudah banyak merata tempat. Dah tak susah seperti dulu.
Kawan-kawan, seperti Jack Ma berucap di Universiti Hong Kong tempoh hari,
“Jika kita mahu hidup dan berjaya di zaman ini, kekuatan kita adalah kreativiti.
Duit tak akan berikan kita kekayaan, namun jadikanlah duit itu sebagai alat untuk membantu yang lain. Itulah kekayaan.”
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad