Cerita tentang isteri rajin sediakan bekal, kemudian sindir orang lain suka berbelanja makan, itu buli.
Cerita tentang Siti Nurhaliza bagus dari segi pemakaian kemudian membandingkan pemakaian Yuna sekian-sekian, itu buli.
Cerita betapa powernya kita membaca buku-buku sedap kemudian menghina orang lain baca novel cintan cintun, itu buli.
Tulis tentang hebatnya anak sendiri patuh solat, rajin mengaji kemudian bantai anak jiran konon selalu pulang lewat dah sebagainya, itu buli.
Tulis tentang bagusnya beli rumah masa muda kemudian cerita yang emak ayah kita paksa beli kereta sampai kita terpaksa berhutang kemudian pakat mengumpat emak ayah sendiri di ruang komen, itu buli.
Kadang-kadang, dalam nak menyampaikan kebaikan, kita rajin ja nak beri contoh keburukan.
Sebetulnya, tak perlu pun. Fokus sahaja cerita kebaikan dan beri contoh baik. Tukar ayat seperti:
Antara kelebihan bawa bekal ialah:
Seronoknya lihat Siti Nurhaliza memberi contoh berpakaian, ini yang beliau buat:
Antara buku-buku yang wajar dibaca dan boleh beri impak kepada pemikiran kita ialah:
Saya bersyukur anak-anak saya rajin solat, suka mengaji, jujurnya pada peringkat awal dulu inilah yang saya buat:
Untuk beli rumah semasa umur muda dan elak dari membeli kereta, cuba buat ini:
Semua ayat-ayat tersebut tak akan mengusik atau mencederakan mana-mana emosi.
Ingat kawan, tulisan yang rasis (membandingkan sesuatu) tak bagus di media sosial. Ia boleh bawa gaduh dan merosakkan profile kita sendiri.
Nak tulis kebaikan, fokus kebaikan. Dan yang baik juga akan kembali kepada kita.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tolonglah tak bandingkan saya dengan Fattah Amin.