Ada satu hari, saya ke kedai gunting rambut. Sampai sahaja ‘turn’ saya, saya pun naik ke kerusi hitam legam yang mengadap cermin besar. Baiya terus sahaja menyarungkan kain lebar berwarna biru tua dengan membetulkan kolar baju saya.
Saya memberi arahan, ‘side-burn’ tidak perlu dipotong, hanya nipiskan sahaja. Rambut perlu pendek dan kemas. Janggut kasi trim sedikit sahaja, biar panjang, tetapi kemas. Baiya angguk faham.
Elok sahaja baru nak bermula, ada seorang remaja berbangsa India masuk dan duduk. Terus bau tengik di hidung kami semua. Baiya marah-marah kepada remaja tadi dalam Bahasa mereka. Saya diam sahaja. Walau muka kami ada iras-iras nak boleh cakap macam depa, saya tetap kool tak paham satu patah pun.
Baiya meletakkan gunting. Biarkan saya duduk mengadap cermin yang memaparkan wajah paling kacak di Bangi itu seorang diri. Dia berjalan ke tempat duduk budak tadi, ada dua orang lelaki yang menanti giliran juga bangun. Masing-masing memegang hidung. Kemudian, Baiya menyeluk poket, saya berdebar, manalah tahu mahu keluarkan pistol ke apa. Oh, Dia keluarkan telefon dan menelefon seseorang.
Drama berlangsung lagi dalam Bahasa mereka lebih kurang 5-10 minit. Saya pula masih tak jemu-jemu memandang cermin. Tiba-tiba datang seorang wanita dan seorang lelaki, juga berbangsa India dan terus lepuk kepala budak tadi. Mereka memukulnya berkali-kali. Udah abang pun bangun dengan kain biru masih di badan. Macam pesakit hospital bahagia pun ada masa tengok ke cermin sekali lagi. Pun sempat.
Saya pun cakap kuat-kuat, “jangan pukulll!!! Sabar!! Sabarrr!!” Ya Tuhan, memang bau sungguh tengik. Terus wanita tu duduk dan memegang dada.
“Ini budak, adik saya bang, dia kaki minum. Kita sudah pindah dari ****** sekarang duduk Bangi. Bangi ni orang Melayu, sini tak ada jual arak punya. Sekolah pun pindah biar dia tak payah suka minum lagi. Tapi ni sudah dua hari hilang, lari rumah tak tau siapa! Saya marah mak saya semua risau!!”
Budak tadi menangis teresak-esak. Saya pun sekadar pesan untuk mereka selesaikan hal ini dirumah, di public sebegini nanti mereka juga yang malu. Mereka pun keluar dan aktiviti bergosip sambil memotong rambut pun bermula.
Baiya bercerita yang mereka ini baru pindah lebih kurang enam bulan. Ayah kepada budak ini juga suka minum dan meninggal dunia akibat aktivitinya itu. Dalam ramai-ramai anak, ada seorang yang mengikuti jejak ayahnya. Mula minum dari darjah enam. Dan ketagihannya menjadi-jadi sekarang. Bila dia tidak berduit, dia pun mula mencuri duit adik-beradik. Kadang-kadang buat arak sendiri. Janji dapat mabuk.
Saya diam sahaja mendengar cerita Baiya. Baiya tu pesan kepada saya beberapa kali, kata beliau tak semua bangsa mereka ini suka minum. Malah dia juga antara yang tidak pernah menyentuh minuman itu. Dia minta saya tidak salah anggap dengan ceritanya.
Sedang elok bersembang, wanita tadi kembali masuk dan memberikan kami seorang satu tin minuman 100 plus dan meminta maaf dari kami semua atas perbuatan adiknya. Kami pun kata tak apa. Tup tup dia menangis. Baiya menenangkannya dalam Bahasa mereka, dan untuk sekian kali abang duduk memandang nasib diri kena pandang wajah sendiri sekali lagi!
Tiba-tiba Baiya memanggil orang lain untuk duduk di kerusi sebelah saya. Saya pun pandang wajah Baiya dalam-dalam dan kami bertentang mata, dah kenapa dia ni. Dan dia terus tersedar, “sori bang sori, haha saya juga sudah mabuk. Adik duduk balik kerusi sana, saya settlekan abang ini dulu ya, ayo ayo,” dia lepuk dahi dia sendiri sambil datang kembali ke arah saya.
Kawan-kawan,
Bagaimana hati seorang kakak yang sanggup datang kembali dan beri kami minuman serta meminta maaf atas perbuatan adiknya itu punya adik yang suka mabuk-mabuk? Semua Tuhan beri mereka ujian begitu dan kita yang memandang juga turut terkesan dengan bagaimana kakaknya itu bersabar dengan karenah yang sebegitu. Jika itu ujian kita, kita sanggup?
Mereka sanggup berpindah untuk kebaikan adik. Sanggup beri perhatian menjaga adik. Dan sentiasa penuh dengan kerisauan dan gelisah untuk kehidupan keluarga mereka yang lebih baik. Saya yakin, dengan kesungguhan keluarga mereka ini, pasti ada berita baik yang akan muncul suatu hari nanti.
Saya masih ingat kisah semasa kami tinggal di Felda dulu. Ada salah seorang anak jiran meninggal dunia akibat najis dadah. Semasa beliau hidup, sering kali kedengaran kisah-kisah yang tidak baik. Asal ada kecurian, merekalah yang dituduh itu ini. Asal ada kehilangan barang masjid, juga jiran mereka tuduh macam-macam. Sampai satu hari, beliau meninggal dunia.
Saat keluarga mahu menguruskan jenazah, orang yang datang cukup ramai. Jenazahnya cukup baik. Dari mandi hingga ke tanah perkuburan semuanya selancarnya. Rupanya beliau ini sangat suka membantu melipat sejadah (selepas solat jumaat) dan membersihkan masjid semasa hidupnya. Orang masjid kenal benar dengan beliau. Malah beliau ini juga sangat banyak membantu membaik pulih tandas serta binaan masjid yang rosak tanpa upah.
Semua cerita gossip dan sosek-sosek jiran adalah cerita andaian. Umpat-umpat sesama jiran adalah kerana beliau merupakan penagih dadah. Jika mereka ini sudah bertaubat, mahu ke pangkal jalan, mahu berubah. Maka kita sebagai masyarakat yang terdekat, perlu bantu dan dorong mereka dengan sebaiknya. Untuk memulakan sokongan, berilah senyuman jika terserempak.
Begitulah hidup. Tak dapat tolong, diam sahajalah. Cukup untuk doakan segala kebaikan kepada mereka. Ujian kita berbeza-beza, tak perlu pandang dengan pandangan tidak molek. Pandang perbuatannya yang tidak elok itu, tidak ikut dan tidak berbuat perkara yang sama.
Kita manusia kawan, boleh bezakan.
Khairul Hakimin. Muhammad
Mabuk cinta pernahlah. Hihihi.