
Itu hari saya tegur seorang kanak-kanak yang ligat benar duk bermain tepi jalan. Risau juga ada banyak kereta yang nak ambil anak masing-masing. Namun anak itu mengangkat jari tengah kepada saya.
Terkejut juga. Saya teruskan sahaja memimpin anak balik ke rumah. Biarkan sahajalah.
Saya ceritakan kepada orang rumah, takkanlah budak sekolah rendah sekitar darjah 1-2 itu sudah pandai menggunakan jari tengah apabila kena tegur. Menakutkan juga reaksi anak-anak begitu.
Esoknya, dia masih bermain di tempat sama, dan belum saya nak tegur, ayahnya terus lepuk kepalanya dari belakang dan terus menarik telinganya sampai ke kereta. Saya dan anak melihat sahaja perkara tersebut. Budak itu tidak menangis, malah ikut sahaja dengan muka merah ya amat.
Selang beberapa hari, kami lupakan sahaja kisah itu. Kadang-kadang nampak pun buat-buat tak nampak. Tak mahu masuk dalam kepala.
Namun, nak jadi cerita, budak ini bermain tolak menolak, lalu saya tegur sekali lagi, just beritahu hati-hati, dan sekali lagi dia angkat jari tengah kepada saya. Cumanya kali ini betul-betul serentak dengan ayahnya yang datang nak ambilnya.
Lalu ayahnya memukulnya berkali-kali. Saya duk cakap, “dia tak faham kalau marah ja, kena explain.”
Ayahnya balas “kita tahulah nak ajar anak kita.”
Saya diam jelah. Dalam hati jawab sendiri “kalau tahu, tak adalah anak tu boleh angkat jari tengah ke kita.”
Balik ke rumah, memang ya rasa bengkek dengan perangai begitu. Susahnya kita nak buka pintu hati kita menerima apa sahaja yang orang nak nasihat.
Benar, itu anak kita, namun anak kita duk buat hal dengan orang lain. Yang itu kita tak peduli, yang kita peduli, biar kita sendiri yang ajar konon-konon. Duk pertahanlah ego masing-masing sampai nanti anak sendiri tak terdidik. Hilang adab dan sahsiah dalam arus sombong emak ayah sendiri.
Anak-anak ini takkan faham kalau kita sekadar pukul dan marah-marah. Kita kena terangkan apa yang salah, apa yang betul, kenapa tak boleh buat begitu dan begini, tak explain, takkan faham, takkan!
Hei, kami tak nak ajar anak kalian. Kalau kami ajar, entah-entah anak kalian nak kami jadi ibu bapa kepada mereka, terus lupakan kalian. Cewah. Haha kemain diva.
Begini kawan-kawan,
Sebagai orang luar, memang tak boleh nak buat apa. Namun apabila ia terjadi di hadapan mata, kita perhati anak kita. Didik anak kita supaya tak buat begitu. Jadikan ia seperti cermin. Anak kita juga boleh jadi begitu kalau kita tak perhati dan teliti.
Sungguh, kita tak boleh kawal anak orang lain. Kita hanya boleh nasihat, pesan dan beri iktibar kepada anak sendiri sahaja. Itu kita boleh control.
Namun, nak mencuba-cuba baiki kesilapan anak orang lain, silakan, sekurang-kurangnya, kita juga berusaha. Nasihatlah baik-baik dan tidaklah guna emosi yang boleh menyumbat anak tersebut ke lubang yang dikejam-kejam oleh ayahnya sendiri.
Ada emak ayah, kita tegur anak dia buat silap, dia belasahnya kata anak dia memalukan dia. Padahal, dia boleh ja explain apa yang anak dia silap dan salah. Itu juga satu hal kalau bab kena pukul. Kasihan dibuatnya.
Ingat kawan-kawan,
Dalam keadaan kita marah, jika kita boleh explain dan terangkan, maka kita menang. Dan kemenangan kita itu adalah keuntungan kepada hubungan bersama anak-anak untuk sekian lama nanti-nanti.
Kalau kita dahulukan pukul, mulakan dengan herdik, marah serta memaki anak sendiri, tengoklah apabila kita sudah tua, bagaimana mereka layan kita nanti pula.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Marah itu mudah, sabar itu indah.