Hidup ini memang perlu melawan. Cuma, perlu kena pada tempatnya. Saya sendiri belajar dari emak bagaimana emak ini seorang diri melawan arus tinggal sebumbung dengan orang melayu totok. Emak berbangsa India. Dari kecil lagi macam-macam adat yang emak tunjukkan kepada kami dan ianya memang bertentangan dengan apa yang abah buat. Emak melawan dalam kelembutan yang emak ada.
Contohnya, emak pantang benar anak-anak letakkan selipar di hadapan pintu. Jika sesiapa buat, mahu kena lepuk dengan senduk kayu atau kena kemas dengan cepat bila emak lakukan jeritan singa ala Yuen Qiu dalam The Kungfu Hustle.
Kau bayanglah bagaimana seorang wanita berumur 15 tahun berkahwin dengan seorang pemuda berumur 24 tahun, berpindah keluar dari rumah, bertukar agama dan tinggal bersama keluarga besar yang berketurunan bangsawan.
Beliau seorang diri, tidak fasih bertutur dalam Bahasa melayu dan kekok dengan adat-adat melayu yang lebih banyak itu ini tidak boleh. Hari ini, emak kemana-mana pun dengan kain batik, baju kurung, tudung bawal siap keronsang lima seringgit dan senyuman paling manis di dunia.
Emak melawan dengan perlahan-lahan. Begini,
1. Emak pastikan semua adat yang beliau ada, dipegang erat dan memastikan anak-anak masih punya nilai dua bangsa yang mereka ada. Melayu dan India. Sama-sama serba cukup. Jika hari raya kena pakai baju melayu dan baju kurung, emak pula akan melawan dengan menyediakan biriyani India, Kari Kambing siap set lengkap. Lemang dan ketupat sangat limit dan sedikit berbanding nasi biriyani yang berkilo-kilo.
2. Emak pastikan anak-anak mendapat pendidikan yang paling wajar. Dari kecil lagi, emak akan memastikan anak-anak belajar dan menghormati ilmu untuk berjaya. Emak sendiri belajar dan membaca surat khabar sampai tetidur dibuatnya. Ini memang biasa, konon-konon pakai spek, beliakkan mata dan bentangkan surat khabar penuh macam spy 007, rupa-rupanya emak tidur. Kahkahkah. Hari ini, tujuh-tujuh anak emak masuk university, dan ada yang cemerlang berbintang-bintang. Dah boleh dapat anugerah Ibu Mithali. Haha.
3. Emak master dalam menggunakan Bahasa. Dari manusia yang tidak petah bercakap dalam Bahasa melayu, akhirnya emak sekarang bercakap dalam loghat Pahang. Popalih weh. Emak menguasai Bahasa melayu hinggakan ada jiran-jiran yang tahu emak ini ada darah India dari hidungnya sahaja. Dengan penguasaan Bahasa, emak dapat kawan dan dapat duduk serta tinggal dalam masyarakat melayu dengan baik. Bukan itu sahaja kawan, emak juga ahli kelab-kelab taperware, katalog-katalog pinggan serta barang dapur. Nak order?
4. Emak menguasai semua jenis masakan melayu dengan baik. Kau sebut sahaja masakan apa, emak boleh masak dengan sesedap masakan emak kau sendiri. Jika kau mahu makan masak lemak, asam pedas serta asam tempoyak ikan patin, kau boleh datang ke rumah emak dan rasai sendiri bagaimana beliau sediakan itu ini dengan cukup teliti. Emak banyak belajar dari keluarga sebelah abah, Arwah Mak Lang, Arwah Mak Tehteh dan ramai lagi.
5. Emak juga memastikan belajar itu sesuatu yang penting seumur hidup. Dengan umur 62 tahun, emak masih lagi pergi ke kelas Mengaji di Masjid Abu Bakar, Temerloh bersama dengan kawan-kawan muallafnya yang lain. Nak diikutkan, emak masuk islam sudah lebih 40 tahun, dan emak masih lagi belajar mendalami ilmu. Hanya ilmu sahaja boleh digunakan untuk melawan dengan hemah.
Kawan-kawan,
Kadang-kadang kau nak melawan, kau tak perlu tunjuk kau kuat. Kau hanya perlu jadi kawan dan bersedia dengan ilmu dan pengalaman yang kau ada dan yang kau lalui. Kau nampak seakan dia menurut dan ikut, sebenarnya dia sedang melawan dengan setiap saraf dan pembuluh darah yang dia ada. Dan itulah yang menjadi kekuatan sesuatu perkara itu menang dengan cukup lengkap bersiasah.
Masa kita kecil, emak kita suruh kita berlawan dengan tidur. Kena bangun untuk solat subuh. Tidaklah emak kita hulurkan parang jika tak bangun emak sunatkan kau berkali-kali, tidak. Emak suruh kita lawan, bangun, ambil wudhuk dan solat. Lawan untuk solat. Kau faham ke tak ini? Bukan main susah abang cerita, kalau tak faham angkat tangan dan lambai. Abang akan ulang sekali lagi.
Ha, ada satu kisah bagaimana Rasulullah (selawat) memberi makan seorang wanita Yahudi yang hampir setiap kali Rasulullah (selawat) memberi beliau makan, beliau akan menghina Rasulullah (selawat). Rasulullah (selawat) melawan sifat undur diri dan kekal terus menerus memberi makan hinggalah baginda sendiri wafat. Akhirnya Yahudi itu menyesal setelah mengetahui insan yang sentiasa memberi makan kepadanya itu adalah Rasulullah (selawat) sendiri.
Kadang-kadang, sabar itu sendiri adalah sifat yang melawan. Cuma ia perlu dalam pendekatan yang lebih lembut, lebih hemat dan lebih bermanfaat.
Bertempur dan berperang tidak menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik. Melawan dengan strategi akan menjadikan kita boleh berkawan, duduk semeja dan akhirnya sehidup semati bersama. Orang mungkin akan kata kau pengecut, kau lembut dan kau begitu begini, Cuma bila kau dah berjaya menawan, kau tengoklah manusia-manusia yang pernah kata itu ini kepada kau satu masa lalu masih lagi berada pada paras sama, sedang kau sudah di puncak bahagia.
Jujurnya semasa kami kecil, kami memang banyak melihat emak menangis sendiri. Memasak menangis, membasuh menangis, sidai baju menangis, apatah lagi menonton Hindustan lagilah menangis teresak-esak. Cuma kawan, emak langsung tidak pernah nak cerita kisah-kisah menangisnya untuk kami jadi panglima dan pergi berperang. Emak kool bila anak-anak tanya, fokus dalam mendidik anak-anak dan menjaga suami.
Emak mungkin bukan contoh terbaik dikalangan kalian. Cuma, kisah emak ini saya suka sekali angkat kerana sabarnya berhadapan dengan berbagai tohmahan semasa mula berkahwin hinggalah anak-anak sendiri juga mahu berkahwin. Dituduh itu ini, dihantarnya mesej rasis begitu begini, emak tetap kool dan menawan hati semua orang dengan kelembutan yang emak ada.
Emak memang hebat melawan. Dan perlawanan emak ini menjuarakan emak dalam masa yang amat panjang. Betul, biar menang lama-lama dari naik ke puncak dan jatuh mendadak.
Kawan,
Emak juga manusia biasa. Buat juga kesilapan seperti orang lain. Dan seperti biasa, membaiki kesilapan itu perkara yang baik. Hari ini, emak masih tidak masuk melayu. Emak masuk Islam, kawan.
Khairul Hakimin. Muhammad,
Penulis Emak Rindu Mathanga Erissery.