Semasa di dalam penerbangan sekitar Tahun 2018, saya menonton Wonder, lakonan Julia Robert, Owen Wilson dan pelakon kanak-kanak, Jacob Tremblay.
Awalnya, saya agak terkejut melihat poster filem ini kerana ianya adalah sebuah novel bestseller dari tulisan penulis kelahiran Colombia, R.J. Palacio.
Novel ini antara yang mengajar saya tentang persahabatan dan kekeluargaan. Ia cukup indah dengan banyaknya quote yang ditulis oleh penulis dan menyebabkan saya sendiri terikut-ikut.
Oh ya, Filem ini berkisar tentang anak mereka, Auggie dilahirkan dengan wajah cacat yang disebut sebagai mandibulofacial dysostosis sedangkan mereka ini adalah keluarga yang tidak mempunyai gen atau kerosakan dari sudut keturunan.
Julia Robert sangat mengagumkan. Menjadi ibu yang menerima kekurangan Auggie dan dalam waktu yang sama perlu menyusun kehidupannya untuk menyiapkan tesis terakhir juga perlu melihat anak daranya yang semakin remaja, Via.
Pada awalnya, Auggie ditanya tentang kemasukan beliau ke sekolah memandangkan umurnya sudah 5 tahun. Auggie ketakutan dan sangat bimbang orang akan mengejek kerana wajahnya yang buruk. Seperti biasa, Auggie akan memakai helmet angkasawannya itu supaya beliau dapat menyorok wajahnya kepada orang lain.
Hero dalam cerita ini terlalu banyak. Dan ia cukup dekat dengan agama kita.
Pengetua sekolah, Mr. Tushman sangat baik hati. Menerima kekurangan Auggie sampai Auggie tak perasan yang beliau ada kekurangan itu. Hari pertama sekolah, Auggie diperkenalkan dengan 3 orang kawan baru.
Yang mana mereka ini perlu membawa Auggie ke beberapa tempat di sekolah untuk beliau biasakan, contohnya seperti kantin, kelas dan sebagainya. dari 3 orang ini, salah seorangnya mula memberikan soalan kepada Auggie tentang wajahnya. Dan ia mula memberi impak tidak selesa kepada beliau.
Auggie mula dibuli. Semakin hari, semakin kuat ujian yang beliau terima termasuk dari rakan baiknya. Dan ia menjadi semakin buruk apabila segala stress itu dibawa ke rumah.
Ibu bapa Auggie sangat mengambil perhatian terhadapnya. Menyebabkan kakaknya, Via selalu mengundurkan diri.
Namun, ada beberapa plot yang sangat berjaya membuat air mata kita semua boleh jatuh tanpa kita rasa. Ia seolah ada setitik manik kecil yang turun ke pipi kemudian panas sendiri. Lalu kita terperasan, dan mengesatnya perlahan-lahan.
Setiap kali Auggie tantrum oleh sebab beliau dibuli, ibu dan ayahnya akan cuba memujuk dengan berbagai cara. Termasuklah ibunya tertidur sekali bersama Auggie. Dan semuanya akan beralah sahaja.
Kisah ini berjaya mengubah persepsi saya terhadap sebuah kesakitan. Yang mana biasanya kita kena hadap sakit itu sebagai perkara rendah, perkara lemah dan perkara yang akan buat kita lebih kecil dari biasa.
Namun ‘Wonder’ tidak. Via tidak sama sekali menyebelahi hatinya untuk menjadi manusia jahat untuk membenci adiknya sampai beliau sendiri tersisih dari sudut perhatian ibu bapanya. Tetap beralah dan tetap mengasihi adiknya seperti biasa.
Saya suka sekali apabila plot kematian Daisy, anjing kesayangan keluarga ini, Via dengan tegas mengatakan “Auggie! This world is not about you only!”
Auggie tersentak. Dan dia tahu, dia juga perlu berfikir tentang orang lain. Hati orang lain.
Auggie akan hidup dengan wajah begitu sepanjang hayatnya, dan apabila dia terus memikirkan tentang itu, dia tak akan hidup. Dia akan mati berkali-kali.
Namun jika dia terus hidup menerima kenyataan dan fokus kepada kelebihan yang ada padanya, dia hidup dan terbang bebas seperti manusia lain yang punya cita-cita besar.
Kisah keluarga, kawan serta kesombongan manusia di dalam filem ini sangat bagus sekali. Kita boleh lihat kehancuran wajah dan peribadi anak-anak kita yang suka sekali mengejek, membuli dan menidakkan sesuatu hanya kerana paras rupa.
Untuk umur 5-6 tahun, kita terajar dan dipukul banyak kali dalam naskhah ini.
Kisah buli bermula dari ibu bapa, kemudian akan turun kepada anak-anak yang melihat dan akhirnya ia jatuh kepada sebuah perlakuan yang kita sendiri sukarnya nak bendung.
Auggie mengingatkan saya kepada diri saya sendiri. Hari ini, kita ada wajah cantik, namun tidak punya akhlak yang baik. Kitalah yang buruk. Kita sibuk mencalit berbagai warna di wajah kita untuk orang lain lihat kemudian memuji-muji, rupanya di setiap wajah lawa itu perlu ada hati yang baik juga. Jika ianya bergabung, maka gembiralah seisi dunia.
Namun kawan, jika kita kekurangan wajah yang cantik itu, kita masih ada hati yang boleh dibaiki-baiki. Berdarah bagaimana pun sebuah benda kecil yang ada dalam badan kita itu, tetap kita boleh tampal-tampal dan mengharap ia sihat dan terus memberi kebaikan.
Dan kawan, patutlah ia perlu dijaga baik-baik. Ia berbentuk seketul yang sentiasa bernyawa untuk segala bahagian tubuh kita, minda kita, mulut kita, serta pemikiran kita. Baik di situ, baiklah semua.
Ia untuk kita bawa ke negeri yang kita sebut sebagai syurga.
Ya, patutlah semua orang suruh kita visualkan syurga. Kita tidak pernah nampak ia dalam bentuk yang bagaimana. Kita hanya boleh bayang. Kerana cinta juga begitu. Kita boleh sebut itu cinta, namun kita tidak tahu bagaimana bentuknya yang sebenar.
Yang kita tahu, sesiapa yang bercinta dengan segala bentuk kebaikan, hadiahnya adalah syurga. Sebuah istimewa yang tidak ada tolok bandingannya, sekali merasa, selamanya kita di situ.
Setiap orang perlu memilih untuk berbuat baik, seperti kata Summer (kawan Auggie) apabila ditanya gurunya untuk memilih buat baik atau tidak, jawab Summer: “When given the choice between being right and being kind, choose kind.”
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
(Visited 507 times, 1 visits today)