Nasihat Buat Kawan

Kau tahu kawan,

Jika 10 tahun lalu kau selalu sahaja dikatakan sebagai manusia tak berguna, bodoh, lembab, tidak boleh pakai serta dungu. Kau perlu faham saat itu bukan ujian, itu Tuhan sedang mengangkat darjat kau menjadi lebih baik.

Hari ini, kau sudah berjawatan. Ada pangkat, nama, sedikit harta, sedikit pengaruh dan sedikit penghormatan dari rakan, kawan, kenalan juga saudara mara. Maka, yang inilah kau perlu ingat namanya ialah ujian.

Saat ini, kau tak perlu balas kepada mereka yang berkata begitu kepada kau sedekad lalu. Cukup kau memuliakan diri dengan berbuat baik, beri pertolongan, sokongan dan dorongan kepada mereka yang pernah berkata kesat dengan kau dahulu.

Kawan,

Jika berbalas-balas saat kau sudah berjaya, menandakan aras kau sama sahaja dengan mereka. Tidak jika kau hanya diam dan senyum, memberi hormat dan menganggap segala apa yang pernah terjadi dulu sebagai pengajaran dan pengalaman terbaik kau pernah hadapi.

Kau faham yang senyum kau sekarang adalah sama tinggi nilainya dengan saat kau pernah menangis di tandas kosong satu masa lalu kerana kau sering dimarahi, dimaki hamun dan difitnah dengan berbagai rupa.

Ya, hanya kau yang faham.

Dan kawan, Tuhan juga menilai hati kau saat kau diangkat darjat satu masa lalu dan saat kau diberi ujian hari ini.

(Visited 592 times, 1 visits today)