“O Tuhan, Terima kasih!”

Aku baru sahaja selesai personal coaching dengan seorang jejaka dari Kuala Lumpur. Datang bersama ibunya berdua.

Selepas ibunya memperkenalkan diri, beritahu serba sedikit kisahnya, beliau tinggalkan kami berdua.

Si anak ini, tak habis belajar di universiti. Sakit. Diistihar oleh doktor sebagai seorang yang punya masalah kemurungan tahap 2.

Ibunya mahu pulihkan, bukan mahu alihkan masalah itu kepada perkara lain. Kesnya bermula di Facebook yang mana anaknya ini berjumpa posting tunangnya bercuti di luar negara bersama lelaki lain. Kemudiannya, beliau menanti tunangnya itu pulang di KLIA, dan pertunangan itu diputuskan oleh wanita tersebut oleh kerana telah jatuh cinta kepada lelaki lain.

Dan jejaka ini tidak boleh menerima hakikat tersebut. Jadi tak berapa betul sekejap. Aku duk terpinga juga kerana real gila ibunya bayar aku sebab ini untuk aku baiki balik Facebook anak beliau.

Selepas beberapa sesi terapi, bawa ke Makkah dan Madinah, berjalan ke serata dunia, ibunya terjumpa posting masak-masak aku. Dan ibunya kata, anaknya ini memang suka memasak.

Jadi beliau pun tunjuklah Facebook aku kepada anaknya. Anaknya suka dan cuba resipi aku berkali-kali.

Akhirnya, anaknya semakin ceria. Hari ini aku rasa berbaloinyalah aku kongsi benda aku suka di media sosial.

Siapa tahu perkongsian bodoh-bodoh yang mereka duk ngata belakang tentang aku rupanya pernah menyelamatkan nyawa seorang jejaka yang nyaris bunuh diri kerana cinta.

Sesi tadi berlangsung dengan sedikit air mata yang tumpah. Aku beritahu dia, kau ditolak kerana cinta kau itu mungkin tidak punya kekuatan dari Tuhan, kau hanya menyayangi wanita itu kerana dia sangat cantik dan sangat menyanjungi kau.

Percayalah, akan kau temui cahaya itu semula apabila kau berjumpa dengan orangnya. Akan ada punya untuk kau. Percaya dengan Tuhan.

Dia angguk. Dia janji nak repair dirinya juga Facebooknya supaya nampak professional sebagai ahli perniagaan. Aku terus rasa lega ya amat. Sudah lama aku menolak untuk dengar cerita begini. Tak larat nak hadap emosi yang melekat seminggu dua dalam kepala.

Aku cakap ke emaknya tadi,

“Datin, Far*** ok sahaja. Dia ajak saya masak di rumah nanti. Nanti kita set masa ya.”

Beliau senyum. Saat anaknya masuk ke dalam kereta, emaknya datang kepada aku dengan air mata berlinang dan cakap “Terima kasih sangat-sangat, inilah seorang anak I, I harap sangat dia kembali sihat. Terima kasih ya.”

Aku angguk dan jawab “amin amin.”

Saat keretanya berlalu, aku mengetap bibir.

“O Tuhan, Terima kasih!”

Khairul Hakimin Muhammad,
Syukurnya!

(Visited 261 times, 1 visits today)