Zaman dulu-dulu, darjah satu belum boleh membaca itu merupakan perkara normal. Guru-gurulah yang akan berhempas pulas buat lagu, buat sebutan sampai dah macam bertarung bising dari satu kelas ke satu kelas. Yang penting sebelum peperiksaan akhir nanti semua anak murid dah boleh membaca.
Dari kenal A kepada B, kemudian C dan hinggalah ke Z. Bila dah kenal semua huruf-huruf tersebut kemainlah ambil surat khabar dan mengeja kuat-kuat dalam rumah, adik beradik yang dah besar pun pandang macam nak lempang je, menjengkelkan. Bising kemain.
Emak abah seronok. Akhirnya anak-anak boleh membaca. Itu sudah melepasi satu tahap pembesaran anak-anak.
Cikgu ajar, S A Y A adalah saya. Kita pula dah tua ini eja sy. Itu hanya satu contoh kawan. Ada banyak lagi.
Kau tahu kawan, setiap satu perkataan yang kau eja dengan betul itu beri pahala kepada guru-guru kau. Sungguh. Kau lupa bagaimana mereka berusaha suruh kau sebut A! A! A! Siap hempas-hempas pembaris besar kuning di papan hitam.
Kemudian B! B! B! Dan sampai habis.
Kawan, tiada istilah ‘short form’ jika ejaan itu merosakkan bahasa kita sendiri. Eja dengan betul. Kita bukan sahaja dapat beri pahala pada cikgu, malah kita juga dapat beri kefahaman terbaik kepada pembaca.
Elakkan salah faham, mengejalah dengan betul.
Khairul Hakimin. Muhammad,
Lambat membaca dan lambat menulis satu masa lalu.