Rendang Daging Senang

Abang harap kau masih cekal berjaga tidak tidur petang begini. Esok dah nak puasa, jadi eloklah kau bersihkan peti ais dari macam-macam benda yang dah lama bebenor tak berusik itu.

Abang baru siapkan rendang daging. Emak abah abang pun ada di rumah ini, jadi eloklah masak meriah sedikit dari biasa.

Rendang ini agak pedas dari biasa, cuma ianya amat-amat mudah. Kau yang belum pernah masak, jika ikut betul-betul pasti boleh buat insya-Allah.

Ok jom.

Rendang Daging Senang.

Bahan-bahannya ialah:

 ~ 2kg daging lembu / boleh juga tukar kepada 2kg ayam. 
~ 5 inci halia muda**
~ 1 inci lengkuas**
~ 3 inci kunyit hidup**
~ 3-5 biji cili merah**
~ Segenggam cili padi **
~ 2 biji bawang besar**
~ 5 ulas bawang putih**
~ 3 sudu besar cili kisar
~ 2 helai daun kunyit
~ 3 batang serai
~ 1 cawan santan pekat
~ 2 sudu besar kerisik
~ 3 batang kayu manis
~ 3 kuntum bunga lawang
~ 3 biji buah pelaga
~ 1/4 gula kabong atau 1/4 cawan gula melaka
~ Garam secukup rasa.

Cara-caranya kau tengok gambar ya.

 

Kau basuh bersih semua ini.

 

Kemudian, semua yang bertanda ** itu kau kisar dengan 1/2 cawan minyak masak. Akan jadi macam inilah.

 

Letak sedikit minyak. Panaskan kuali.

 

Masukkan bahan kisar tadi, tumis sampai naik bau ke jiran sebelah.

 

Kemudian campak tepat ke kuali kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.

 

Sudah mula macam nak pecah minyak, masukkan cili kisar.

 

Ha pastikan pecah minyak macam ini. Kau kena masak betul-betul pesnya ini. Biasanya jika orang tak tahan perut, mereka tak tahan bab lengkuas itu. Kena pastikan pecah minyak ya.

 

Masukkan daging yang telah dihiris dan dibasuh bersih.

 

Nanti daging akan keluarkan airnya. Kau kacau rata lebih kurang 20 minit macam itu ia akan mula mengering.

 

Kemudian masukkan serai yang telah diketuk menggunakan lesung batu. Kau jangan cuba guna belakang kuali.

 

Masukkan santan dan kacau rata.

 

Bila ia sudah mula memekat, dah boleh masukkan daun kunyit yang telah dikoyak-koyak bersama dengan kerisik.

 

Ha. Inilah gula kabong. The secret weapon nak kasi ia berlemak manis. Kau hancurkan sikit ya.

 

Dah nampak elok pecah minyak itu, bolehlah masukkan gula kabong dan garam. Kacau rata dan rasa. Jika tak cukup garamnya, kau tambahlah.

 

Rasa dulu dagingnya sudah empuk ke belum. Jika dah empuk bolehlah tutup api, jika belum kau perlahankan api dan teruskan masak daam 10-15 minit lagi.

 

Siap. Dah boleh makan dengan nasi panas-panas malam nanti. Kemudian, pergi terawih! Seronoknya!

Selamat mencuba kawan-kawan!

Khairul Hakimin Muhammad

 

(Visited 311 times, 1 visits today)