Resepi Biskut Mazola

Ha, untuk menepati janji abang pada jumaat lepas, inilah resepi biskut mazola yang senang amat. Guna 4 bahan sahaja selain dari bahan nak bagi cantik itu (kuning telur). Kalau kau nak duit lebih, biskut ini kau juallah kat mana-mana, biasanya laku kerana peminat kacang itu ramai sekali.

Biasanya soalan yang abang terima ialah, “saya alergik kacang, boleh ganti dengan jem?” Agak-agaklah nak ganti dengan jem dik oi. Kenapa tak tanya ganti dengan sekaya terus. Kalau kau alergik, kau kena tanya doktor. Abang tak tahu hal itu. Nak suruh ganti dengan apa, kau kena cuba. Dah nama biskut mazola, memang guna kacang. Kalau nama dia Maziah ke, Mariah ke, Maryamah ke kau tanya orang itu sendiri. Abang tak tahu.

Dah, pergi buat sekarang.

Biskut Mazola.

Bahan-bahannya ialah:

 – 1 cawan kacang tanah yang telah dikisar kasar atau kau beli je kat Giant, Econsave atau kedai bakeri, dah siap jual yang siap bakar sekilo RM13.90.

 – 1 cawan gula halus

 – 1 cawan tepung gandum

 – 1/2 cawan minyak masak atau minyak mazola. Minyak mazola ini mahal, kau tukar je ke minyak masak, jadi juga. Kahkahkah.

Kau nampak tak sukatan dia macam itu? Maksudnya kalau kau nak buat bebanyak sekali pun boleh. Contoh, kau guna penjodoh bilangan besen. Jadi sukatannya ialah 1-1-1 besen dan 1/2 besen. Faham?

Cara-cara kau tengok gambar. #resepiKHM

Buh je semua bahan dalam satu bekas lawa dan bersih. Dan ambil gambar kahkahkah.

Gaul rata. Kalau adunan kau lembik, kau tambah sikit sikit kacang dengan tepung dalam 1 sudu besar gitu. Kalau keras, kau tambah sikit minyak. Gitulah.

Macam ini dah dikira lawa. Dah tak melekat kat bekas.

Ha lupa, untuk sapu kat atas, kau pecahkan telur dan ambil yang kuning sahaja. Ikut kaulah nak guna gred apa. Janji telur ayam.

Gaul guna garfu dan letak 1 sudu kecil susu segar, kasi dia lebih lawa dan berkilat.

Ha macam ini.

Ambil sejemput adunan, kau bulatkan macam ini. Kalau kau nak torak pun ok juga. Guna acuan jadi lawa juga, tapi abang tak kuasa. Kau kalau nak jual, guna acuan bulat kecil.

Dah siapa pula pergi bakor abang punya berus ini? Geram pula petang-petang yang hening ni.

Sapu ajelah atas biskut yang tersusun itu. Tak apa letak dekat-dekat kerana ia tak mengembang apatah lagi mengambang. Lepas susun elok-elok, kau sapu telur kuning itu atas biskut. Saph perlahan-lahan. Kau tu bukan boleh kira, karang pecah habis biskutnya, terbayang muka laki kau sokmo kan.

Guna oven lawa. Tak usah dah tunjuk oven masa kau dapat hadiah kahwin dulu. Suhu 190-200, 15 minit. Api atas bawah.

Siap. Tunggu sejuk sikit baru makan. Sabar itu separuh dari iman.

Ini gambar dekat. Gambar ini diambil dari iphone 6, okeh.

Selamat mencuba dan semoga memudahkan kalian berniaga! Biasanya harga 1 balang 50pcs ialah RM15. Abang tak jual tahun ini kecuali kepada saudara dan teman rapat sahaja!

Selamat mencuba ya!

(Visited 14,542 times, 1 visits today)