Roti Kerca Inspirasi oleh DSCT

Itu hari aku duk tengok Instagram Dato Sri Siti Nurhaliza (DSCT) masak masakan ini masa Bonda Hetty Koes Endang bertandang ke rumahnya.

Nampak sedap weh. Aku pun baru sahaja tahu nama masakan tersebut iaitu roti kerca (atau roti keca). Entah dari mana aku tak tahu. Mungkin inilah masakan yang buat suara DSCT sedap agaknya. Haha.

Ingatkan macam rumit, rupanya tak. Boleh jadi aku simpan frozen buat sarapan. Kikiki. Rasanya ada seperti kuah spageti kerana guna tomato puri yang agak banyak, namun ada rempah kari. Itu aku punya kesukaan. Dan ya, kuahnya aku boleh hirup begitu sahaja. Ok jom.

 

Roti Kerca.

Bahan-bahan kuah:

 ~ 1 keping daging cincang,

 ~ 1 biji kentang, potong dadu kecil,

 ~ 1 tin kecil tomato puri,

 ~ 3 sudu besar rempah kari daging,

 ~ 1 biji bawang besar India,

 ~ 2 ulas bawang putih,

 ~ 1/2 inci halia,

 ~ 1 batang kayu manis,

 ~ 2 kuntum bunga lawang,

 ~ 2 biji buah pelaga,

 ~ 1 kotak kecil santan,

 ~ 2-3 cawan air.

 ~ Secubit garam.

 

Cara-caranya kau tengok dalam gambar ya.

 

#ResipiKhairulHakiminMuhammad eh. Inspirasi oleh DSCT.

Tumbuk bawang besar, bawang putih dan halia menggunakan lesung batu sampai lumat.

 

Letakkan sedikit minyak di kuali yang tak berapa nak semenggah, pasangkan api.

 

Masukkan bawang dan semua rempah kayu manis, bunga lawang serta buah pelaga. Kasi tumis sampai bawang kelayuan seperti muka kau balik kerja. Hahaha mula dah mula dah. Baru nak serius.

 

Campurkan sedikit air dengan rempah, gaul rata kemudian masukkan ke dalam kuali tadi. Kau masukkan dekat kuali lain, memang kena tamparlah kau. Geram ja aku. Itu hari ada ke patut dia masak kurma, rempah dia masak asing. Ya Tuhan.

 

Masukkan santan dan air. Kacau rata ya. Kalau masih pekat, tambah lagi ya.

 

Sudah mendidih, masukkan daging cincang dengan kentang sekali. Jenama apa pun boleh.

 

Gaul rata, pastikan masak ya.

 

Dah mendidih elok, masukkan tomato puri. Kacau lagi.

 

Dah mendidih beriya, masukkan garam.

 

Haaa, kalau rasa dia dah ok. Tutuplah api.

 

Sekarang, kita buat rotinya pula. Masukkan 2 cawan tepung gandum, 2 biji telur, secubit garam dan 3 cawan air dalam pengisar. Kisar sampai betul-betul sebati.

 

Yaaa beginilah. Kalau laki kau selalu marah-marah, kau kasi dia minum ini. Hahaha mesti diam sebab terus kenyang. Kan tepung kan?

 

Panaskan kuali mahal tanpa lekat. Letak dalan sesenduk, dadarkan ia macam buat lempeng. Namun buat nipis-nipis ya.

 

Kemudian, kau gulung dia.

 

Dan gunting begini. Letak dalam mangkuk lawa.

 

Tuang kuah tadi.

 

Tambah bawang goreng dan daun sup.

 

Ya Tuhan! Sedapnya ya ampun! Terima kasih DSCT beri inspirasi! Kami sekeluarga suka!

Khairul Hakimin Muhammad

(Visited 59 times, 1 visits today)