Sebarkan Kebaikan, Rezeki Datang Mencurah-curah!

Ramai yang tanya saya, bagaimanalah nak manfaatkan sosial media ini supaya apa yang kita tulis, beri kesan kepada masyarakat, bukan sekadar di lapangan Facebook ini sahaja.
Dari tahun 2015 ini yang saya buat dan demi Tuhan yang maha pemurah, Allah luaskan semula dan buka pintu-pintu lain untuk saya.
 
1. Saya suka beli dari jalanan. Ambil gambar, sebelum makan, ambil gambar lagi dan lagi. Dan sekiranya sedap dan berpuas hati, saya akan tulis di media sosial. Lengkap dengan lokasi dan harga.
 
Ia memudahkan orang yang baca, boleh beli terus selepas itu. Pekedai / penjual akan dapat iklan percuma dari pelanggan seperti kita dan kita memudahkan urusan dia.
 
2. Saya suka bersembang dengan orang lain. Syaratnya saya hanya tanya 2-3 soalan sahaja, dan biarkan si dia bercerita. Saya ambil yang positif sahaja dan akan tanya dia boleh tak saya kongsikan di sosial media.
Biasanya cerita baik yang kita kongsikan, akan dapat kesan yang baik juga.
 
3. Setiap kali mengembara (travel), saya putuskan hanya bercerita benda baik. Sekiranya ada hal yang perlu berjaga-jaga dan berhati-hati, maka saya akan tulis dalam bentuk dos and donts.
 
Bercerita keburukan budaya, manusia, fasiliti serta hal-hal tidak baik akan merosakkan nilai penulisan itu sendiri.
 
4. Sekiranya berhadapan dengan makanan yang tidak elok, rosak, basi, pekerja sombong dan sebagainya. Elak dari menulis di sosial media. Uruskan di alam realiti.
 
Ia jauh lebih baik.
 
5. Elakkan bertempur dengan sesiapa dalam memberi pendapat di ruang komen. Posting mesti lawannya posting.
 
6. Iklan dan promosi bisnes kawan-kawan. Merekalah tunjang hidup kita walau jarang nak bertegur sapa. Kawan ini, doanya makbul dalam diam-diam.
 
7. Banyak-banyak membuat posting yang buat orang gembira, nasihat dan pesanan dari memberi gelisah dan benci-benci. Ianya memberi kebahagiaan kepada orang lain.
 
Ini sahaja yang saya ulang dan ulang. Saya tegas dalam hal begini. Cikgu saya pesan banyak kali, apabila kalian membuka jalan untuk memudahkan orang lain, pastinya Tuhan juga memudahkan kalian.
 
Hari ini di tahun 2021 dan syukur alhamdulillah, Tuhan mudah-mudahkan urusan kita semua. Dan lihatlah hadiah dari Tuhan selepas ini datang dengan sebanyak-banyaknya.
 
Sebarkan kebaikan, keberkatan akan datang bersama rezeki mencurah-curah kepada kalian.
 
Cubalah.
 
Khairul Hakimin Muhammad,
Semoga bermanfaat.
(Visited 1,426 times, 1 visits today)