Saya dihubungi oleh lelaki ini melalui PM suatu masa lalu. Kami berpakat berjumpa dan minum-minum di sebuah kedai makan. Lepak-lepak mendengar cerita dan beliau amat mahu saya kongsikannya kepada semua kawan-kawan.
Antara kisah yang saya ‘simpan’ baik-baik di dalam ‘bank’ penulisan saya. Yang saya mahu ianya berakhir dengan sebaiknya barulah saya akan muat naik kisah ini. Bulan demi bulan berlalu, akhirnya saya dapat dengar kisah ini punya pengakhiran yang baik.
***
“Ko cerita ni pada semua follower ko. Aku ni jahat sangat dulu,” Saya menghirup sirap limau perlahan-lahan
Kisahnya berputar kepada berbelas tahun lalu. Beliau berkahwin dengan seorang anak gadis kampungnya juga. Asalnya hanya bekerja ladang. Ladang sawit. Pada satu masa dulu, ladang mereka mahu dikombah dan dimulakan projek tanam semula. Oleh yang demikian, beliau tidak punya kerja. Mulalah kerja di kedai makan, malam-malam sambung di gerai beger.
Pada suatu malam, ada seorang rakannya menawarkan untuk mengambil secubit ‘bahan’ untuk beliau terus kuat bekerja siang malam. Dari jumlah yang kecil akhirnya beliau menjadi ketagih. Waktu itu anaknya sudah masuk dua orang.
Saat tidak dapat bekalan, beliau mula mencuri duit isteri. Hinggalah berlaku pergaduhan dan mula memukul isteri. Saat sarat anak ke-tiga, beliau memukul isterinya dengan kuat, dan terjatuh. Tangan isterinya patah, darah berselerak di ruang tamu rumah lalu isterinya segera dibawa ke hospital. Di situ beliau ditangkap dan disumbat ke dalam penjara dan kemudiannya mendapat pemulihan.
Tujuh tahun hidup di dalam penjara, sehari pun isterinya tidak pernah datang melawat. Dan, kehidupan di dalam penjara menjadikan beliau sudah pun hilang ketagihan dan kembali kepada agama. Beliau pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga dan ibu bapa. Ibunya menunjukkan surat yang diterima oleh peguam yang sudah sekian lama disimpan tanpa pengetahuan lelaki ini.
Kandungan surat itu menunjukkan yang beliau tidak boleh menziarahi anak-anaknya. Tidak boleh berada dalam jarak 200 meter, tidak boleh, itu ini semua tidak boleh. Beliau terduduk.
Hari makin hari, beliau tetap mahu melihat keletah anak-anaknya. Pasti semuanya sudah besar dan semakin pandai bercakap dan bermain. Atas pertolongan ibu bapa dan ibu bapa mertuanya, beliau dapat berjumpa dengan bekas isterinya (tidak diceritakan bagaimana beliau bercerai).
Mereka berjumpa di laman masjid di kampung. Keluarga juga turut hadir. Duduk berdua di pangkin luar masjid dan isterinya bercerita dengan tenang apa yang telah berlaku kepada anak-anak sepanjang 2-3 tahun beliau memukulnya.
Anak beliau yang paling sulong telah melihat segala apa yang berlaku di dalam rumah seawal umur tiga tahun. Mula dari isteri kena tampar sekali, hinggalah yang paling akhir berpatah tangan dan berdarah satu ruang tamu. Oleh yang demikian, anak yang paling sulong ini mengalami emosi ketakutan yang berlebihan.
Beliau langsung tidak boleh mendengar bunyi pintu yang ditutup kuat. Jika terhempas dek angin, anaknya akan berlari menjerit-jerit menangis dan duduk di dalam satu sudut almari. Bergelap. Setiap kali itu, memakan masa lebih 20 minit untuk dipujuk. Anaknya akan terketar-ketar dan mencakar-cakar lantai almari hingga pernah tercabut kuku.
Anaknya juga tidak boleh mendengar arahan. Rebelnya terlalu kuat. Jika ibunya melayan anak-anak lain dengan kasih sayang, membelai dan mencium untuk tidur, si sulong ini akan memandang dan menangis sendiri. Lalu juga ibunya terpaksa memeluk dan mujuk beriya-iya dan menyatakan ibunya sayang kakak sulong seperti sayangnya kepada adik-adik yang lain.
Bekas isterinya merayu-rayu untuk beliau tidak mendekati anak-anaknya, dan beliau terpaksa akur. Saat beliau bercerita tentang ini, air mata beliau mengalir perlahan-lahan. Punya tiga orang anak perempuan, tetapi ke-tiga-tiganya tidak dapat beliau bersua.
Pada suatu hari, beliau diajak oleh keluarga untuk ikut berjalan-jalan di sekitar sebuah bandar. Beliau hanya berjalan seorang diri, kemudian beliau membeli surat khabar dan duduk di kerusi yang ada di sekitar.
Selang beberapa minit, datang seorang budak perempuan mendekatinya.
“Ayah.. ini ayah kan?”
Beliau meletakkan surat khabar di sisi, kelihatan bekas isterinya berlari mendapatkan anaknya. Dan beliau berdiri tanpa berbuat apa-apa. Bekas isterinya terus menarik anak perempuannya dan berlaku pergelutan dengan anaknya sendiri.
Anaknya menjerit-jerit, “ibu!! Itu ayaaah!! Itu ayah ibuuu!!! Itu ayaaah!! Tolonglah ibu!! Itu ayaaah!!”
Oleh kerana ramai yang memandang, Ibunya melepaskan dan anak tadi memeluk ayahnya. Mereka akhirnya membuat keputusan untuk pergi minum-minum bersama. Anaknya bertanya kepada ayahnya,
“Ayah, macammana dengan penjara? Ayah dah jadi orang baik ke lepas keluar penjara? Ira rindu ayah.. dulu sebelum tidur, ayah selalu kata kat telinga Ira, Allah sayang orang yang berbuat baik. Kalau Ira nakal, dan janji tak buat nakal dah, Allah akan sayang Ira semula. Ayah dah baik ke ayah?”
Begitu besarnya pemaaf dari seorang anak syurga. Yang tak punya dosa mudah sahaja memaafkan kesilapan dan kesalahan sebesar itu.
Mereka mengambil masa sebaiknya di meja makan tersebut. Saya juga yang mendengar bahagian ini pun mengalir juga air mata.
Rupa-rupanya anak beliau memendam kasih ayah bertahun-tahun. Mahu tahu kehidupan ayah di penjara, mahu tahu adakah ayah sudah baik, adakah ayah sudah bertaubat. Adakah ayah mahu kembali memeluknya seperti beliau masih kecil dulu.
Kawan-kawan,
Baru-baru ini, beliau hubungi saya sekali lagi. Katanya bekas isterinya sudah pun berkahwin lain dan sedang mengecapi bahagia. Rupanya selama beliau di penjara, isterinya masih tidak mahu berkahwin lain. Mahu menumpukan perhatian kepada anak-anak. Selepas perjumpaan mereka yang diatur Tuhan di bandar tersebut, akhirnya bekas isteri beliau berkenan untuk berkahwin kali ke-dua.
Menariknya, beliau juga baru berkahwin. Beliau ucapkan terima kasih kepada saya kerana mendengar kisah beliau, walau ada antara sanak saudaranya sendiri hanya tahu cakap “padan muka” kepada beliau, ada juga yang sudi mendengar dan mengambil kisah beliau untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain.
Beliau sudah dapat jadual untuk sama-sama menjaga anak. Paling penting, beliau tidak lagi terlibat dengan najis dadah dan kini tinggal bersama isteri di tempat yang kawan-kawannya tidak lagi mencarinya.
Saya minta dia sampaikan salam saya kepada Ira, dan saya doakan Ira terus menjadi anak yang kuat pada hari-hari mendatang.
Kawan-kawan yang baik,
Saya ambil kisah ini untuk kita semua belajar. Agak susah untuk saya cerita tentang penagih. Ia nampak kotor dan jijik di mata kita semua rata-rata. Cuma kawan-kawan, jika ada yang mahu berubah dan sudah pun berubah, kita juga perlu berubah melihat mereka.
Jika perlu kita bantu, kita bantulah. Ini ujian untuk mereka. Kita belum lagi.
Semua orang ada kisah sedih. Kisah derita dan kisah perit. Tuhan memang sengaja memberi setiap dari kita ujian-ujian yang berbeza-beza, sesuai dengan kita. Dan melihatkan kita boleh hadapi atau tidak, atau gugur awal, atau putus asa awal, atau terus berharap, berdoa dan berusaha untuk perbaiki walau memakan masa berpuluh tahun.
Tuhan mendengar dan melihat. Selangkah kita rapat kepadaNya, 1,000 langkah Tuhan mendekati kita.
Juga kawan,
Identiti lelaki ini saya rahsiakan. Juga bandar dan tempatnya juga saya terpaksa rahsiakan atas permintaan beliau sendiri.
Ambil iktibar. Semoga jadi pengajaran buat kita. Tak semestinya yang jahat, akan jahat selamanya.
Khairul Hakimin. Muhammad,
Kemaskini 11hb April, 2016.