Oleh kerana ghairah sangat nak mencari story, beberapa tahun lalu saya kerap menyelinap masuk ke mesyuarat PIBG sekolah di sekitar Bandar Baru Bangi. Hanya sekadar nak dengar bagaimana ibu bapa ini berbincang tentang hal sekolah anak-anak.
Waktu itu saya belum dikenali. Duduk sebelah orang sana sini tak ada yang kenal. Dalam banyak-banyak mesyuarat yang saya pergi, ada sebuah yang saya ingat bagaimana seorang guru ini kawal majlis supaya semuanya menang.
Kisahnya seorang lelaki bangun, katanya anak beliau di sekian-sekian. Dan beliau memperkenalkan diri sebagai professor sekian-sekian. Prof ini memberi idea bagaimana wang yang diambil dari ibu bapa ini boleh digunakan sebagai medium pembangunan anak-anak disamping membuat aktiviti lawatan, ilmiah dah sebagainya.
Saya antara yang suka dengan hujah Prof ini, katanya semasa belajar di Universiti luar negara, kaedah pembelajaran di dalam kelas memang memenatkan. Jadi, setiap kali guru mahu mengutip wang untuk aktiviti pelajar, eloklah dibuat dengan tersusun dan berstrategi, supaya perkara itu boleh digunakan lagi dan lagi.
Contohnya membeli atau membina kayu-kayan untuk dibuat big-puzzle, membeli batu-bata atau kiub untuk dijadikan sebagai lego besar, atau menggunakan beberapa sudut padang sebagai taman ‘mind-games’ untuk anak-anak.
Sekolah perlu ada semua aktiviti ini, bukan sekadar dalam kelas, kemudian buat Pendidikan Jasmani. Ianya mesti lebih terjurus ke arah pembangunan otak anak-anak. ia perlu dilaras dengan aktiviti tangan, kaki dan juga kepala.
Sedang Prof itu bercakap, bangun seorang ibu.
“Maaf, maaf. Saya Prof Dr ******, Saya bukan tak setuju, tapi semua ini merepek. Ingat cikgu-cikgu ada masa ke nak fikir tentang semua ini? Mereka pun banyak kerja, sorryla Prof, saya bukan nak potong, tapi kita tak ada masa dengan cadangan begini, lambat habis lambatlah kita semua balik.”
Gulp.
Prof itu meminta maaf, dan terus duduk sahaja
Bangun pula seorang ibu lain,
“Sepatutnya beri Prof tadi habis cakap dulu, itukan idea, buat tak buat itu cerita lain. Saya dengar, saya teruja, rasa nak buat di rumah.”
Ibu yang mula-mula tadi bangun semula dan bantah lagi dengan keras. Kahkahkah. Gila.
Kemudian, datanglah seorang guru dan kemudian mengambil microphone.
“Bertenang semua ibu bapa yang penyayang. Yang baik, yang hebat dan yang cerdik pandai. Hari ini kita ada masa 1 hari nak dengar, nak sembang dan nak bincang tentang anak-anak kita semua. apalah sangat dengan 1 hari untuk hari ini berbanding kalian sudah ada 364 hari dengan keluarga, dengan pejabat, dengan duit dan dengan percutian kalian.
Kita sudah beri borang dari awal, sudah semuanya letak nama. Jadi kita salinglah menghormati antara satu sama lain.
Mesyuarat sehari ini untuk masa depan anak-anak yang akan hidup lagi 30-100 tahun lagi. Kita mungkin tak sampai waktu itu.”
Wah, sukanya saya dapat dengar ayat-ayat ini. Guru tadi menyerahkan kembali microphone tersebut kepada Prof tadi. Prof itu bangun kembali dan bercerita semula semuanya.
Kawan-kawan yang baik,
Saya rakam suara mereka ini untuk saya dengar semula. Jika semua ini divideo dan dimasukkan ke dalam media sosial, ibu garang tadi pastinya akan dapat malu, manakala Prof itu pula diangkat-angkat setinggi Gunung Kinabalu.
Itulah media sosial.
Saya melihat kejadian ini untuk saya belajar. Saya pernah jadi ibu garang tersebut dalam beberapa mesyuarat. Malas nak dengar, malas nak sembang, saya nak kerja saya segera dilunas dan mahu pulang ke rumah.
Akibatnya, saya menyesal sendiri.
Hari ini, saya bakal jadi orang yang akan bangun untuk sembang pengalaman dan perkara yang saya tahu. Jadi mungkin Tuhan hantar kepada saya orang yang akan bangkang depan-depan wajah saya.
Dan waktu itu saya kena putuskan mahu teruskan atau mahu merajuk terus memeluk diri sendiri yang sudah buruk, tua dan tidak diperlukan lagi.
Elok Tuhan hantarkan guru yang manis tersebut. Manis itu diluah dengan lembutnya Bahasa yang beliau gunakan. Lalu semua jadi diam dan tersipu sendiri.
Hari semalam, kita mungkin jadi orang paling hebat untuk dunia. Dan apabila kita sudah tidak berdaya, boleh jadi suara kita juga tenggelam dalam umur yang semakin menua. Namun kawan, tidaklah kita memandang yang bantah, bangkang itu serupa dengan benci dan hina.
Mereka ini sekadar bangkang. Cuma yang kita perlu bezakan antara kita dengan mereka ialah adanya adab dan kita mendepani sopan dan santun.
Dua benda ini jarang kita belajar di sekolah. Semua itu mesti bermula dari rumah. Jika adab dengan orang yang bercakap, kita tidak ajar dari kecil.
Tidaklah kalian berharap sesudah menjadi ibu kepada anak-anak yang bijak, kalian akan rasa benda itu penting. Dan secara tak sedar, kalian masih berbuat begitu kepada orang yang lebih tua di hadapan semua orang.
Kalian memalukan diri sendiri dengan umur kalian waktu itu. Pada masa itu, tidaklah kalian berharap segala jawatan yang kalian ada itu orang akan pandang tinggi. Tak payah.
Jadi, guru manis tadi menyudahkan semuanya. Kata-kata sopan beliau mengatasi adab buruk. Dan ia sebuah kemenangan dalam hal-hal bangkang, bantah dan bahas.
Ingat kawan,
Di media sosial atau di mana sahaja, bangkang, bantah dan bahas kena lalui dengan sehemah mungkin. Itu akan jadi sebuah kewajaran untuk kalian dipandang tinggi oleh manusia, juga disayangi oleh Tuhan yang maha segala-galanya.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Semanis cikgu. Muah.