Saya duduk sendiri. Tak buka tv, tidak juga mendengar apa-apa. Hanya melihat gambar-gambar lama keluarga.
Gambar emak dan abah.
Abang-abang,
Kakak-kakak.
Adik-adik,
Anak-anak saudara.
Kemudian saya berlama-lama bersama dengan gambar-gambar isteri dan anak kesayangan Nurul ‘Ain. Berpusing-pusing kepada gambar yang sama. Dari isteri saya hamil, kemudian lahir si kecil ini, ke sekolah, kemudian hingga ke momen-momen hari ini. Saya skrol perlahan dan membawa kepada banyaknya titisan air mata.
Sepanjang wabak ini berlangsung, saya memilih untuk bersama dengan Kementerian yang satu ini untuk kekal “berjasa” dengan sedikit kemahiran yang ada.
Pergi ke sana ke mari, mengikut sahaja untuk belajar bagaimana mereka semua mengawal selia hal ini kemudiannya saya memberi idea dan pandangan bagaimana ia boleh dibawa kepada orang awam.
Ia membawa saya ke dimensi sedih takut yang memilih untuk sentiasa berfikir apalah nasib orang-orang yang ada di sekeliling saya ini.
Emak abah di Mentakab, mentua hanya berbeza Lorong sahaja, anak dan isteri yang saya pegang kemas tangan-tangan mereka.
Minggu lalu, saya membaca kenyataan sebuah berita luar negara yang mana boleh jadi wabak ini akan mengejar jiwa manusia sehingga ke 70% populasi dunia. Jika nak dikira di Malaysia yang ada 32 juta orang ini, 70% bersamaan dengan 22.4 juta orang. Jika 5% kematian ia bersamaan dengan 1.1 juta orang.
Ya Rabb ujian apa ini.
Hari ini, bom jangka itu belum lagi meletup. Masing-masing masih beranggapan ianya hanya terkena kepada kluster tabligh, kenduri dan mana-mana kontak yang sama dengan itu. Namun tak ramai yang berfikir lebih jauh dan itu yang menyebabkan ramai masih berkeliaran di luar.
Saya tahu, semua orang yang memimpin negara tak mahu kita semua panik. Namun, dalam kedegilan yang ada sekarang, kita tak mampu lagi nak berdiam dan melihat sahaja kelakuan tanpa memahami keadaan yang meruncing sekarang.
Mereka ini tidak berfikir sama seperti mereka yang memahami.
Kesatuan pemahaman ini masih tak sampai ke semua pelusuk. Maka PKPD dijalankan dengan seketatnya. Sejarah ini terjadi di musim sejati 2020 yang dinanti dengan penuh kecanggihan teknologi.
Allah marah bukan sekadar tak dapat ke masjid. Dia sedang mendidik kita dengan mencampak kerinduan kita kepada keluarga, namun kita tak dapat nak bersalam pun. Abadinya kita itu dengan risau, bimbang, malah selalu dalam hati masing-masing takutnya berjangkit.
Kelmarin, saya solat berjemaah bersama Pak Mentua, lalu seperti biasa selesai sahaja kami pasti akan menghulur tangan, namun kali ini kami hanya meletakkan tangan di dada masing-masing.
Sedang kalian kerap kata, “bersalam itu akan gugurnya dosa”, apalah yang Allah sedang uji sampai kami tak dapat nak rasa kedut lembut tangan ibu ayah sendiri Ya Rabb.
Sampaikan insan Tuhan yang sekecil si ‘Ain ini kerap bertanya, boleh. ‘Ain salam abah? Boleh ke ‘Ain peluk. O Ya Allah, sudahlah. Cukuplah menguji kami ini, kami tekad berbaik semula dengan sesiapa dan yakin kekuasaanMu jauh dari ini.
Saya takkan lupa perkongsian salah seorang keluarga yang ahlinya akhirnya tumpas di tangan Covid-19. Mereka lihat dia dibawa menaiki ambulan. Dan itulah pandangan terakhir.
Awalnya masih boleh bercakap melalui telefon hinggalah tiada khabar. Hari-hari bertanya kepada hospital, kadang berjawab kadang tak. Akhirnya tiba saat dapat berita yang keluarganya sudah tiada dan akan ditanam di sekian-sekian tempat.
Lalu masing-masing pergilah ke kuburan selepas 1 hari ditanam. Terpinga-pinga inilah kali pertama menghadiri perkebumian, namun tidak ada kecintaan terhadap si mati dalam menguruskannya. Langsung tiada. Tahu-tahu hanya tanah sahaja merah-merah. Tiada jenazah sampai, tiada orang ramai, tiada menurunkan jenazah, tiada kambus balik, tiada talkin, semua tiada! Semuanya dah selesai!
Lalu bunga ditabur dan menangislah semuanya. Berteriak dan menghancurkan suasana.
Awan yang makin biru katanya,
Cuaca makin bersih katanya,
Angin makin sejuk katanya,
Udara makin suci, makin semua yang baik-baik, namun kenapa ada yang mati Ya Allah.
O Ya Allah, hingga hari ini saya masih menangis sendiri di malam hari. Melihat-lihat adakah yang di sisi saya masih bernyawa, adakah yang di kampung masih boleh menghantar berita atau yang dekat ini masih lagi bertanya khabar.
Lembah yang kita harung ini suatu tempat yang kita tak nampak. Kita suluh-suluh pun ia tak kunjung cahayanya. Kita hanya perlu berdiam sendiri di rumah sendiri. Melukis sejarah sendiri untuk membina generasi mendatang.
Semuanya tentang isi rumah sendiri.
Solatnya, berbaiknya, segala rindu dan kasih sayang sesama kita hanya di dalam rumah sahaja.
Kemudian selepas beberapa purnama, si kuman halus hilang di muka bumi ini hilang, barulah kita dapat menikmati terbukanya pintu dan pagar. Lalu kita mahu berlari memeluk mereka yang masih ada.
Itu jika mereka masih ada. Sebelum itu, selagi semuanya belum selesai, kita masih berjalan, pergi ke sana ke mari dan melepaskan rantaian itu kepada yang lain, menguatkan tularannya, percayalah, boleh jadi dari 10 orang 1 rumah, yang tinggal hanya kenangan kita, gambar-gambar dan memori sahaja. Semua boleh terkorban begitu sahaja. Ya kawan-kawan, semua.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Kekallah dalam rumah, untuk terus hidup, terus memeluk semua di sisi yang yang dirindu-rindui.