Ada sesuatu yang menjentik hati saya tentang banyaknya website-website atau blog viral yang mengambil artikel orang lain kemudian dimuat naik serta akhirnya menjadikan artikel tersebut disukai dan dikongsi ramainya orang.
Antaranya ialah The Vocket, Kofnikel, Oh Bulan!, Denai Hati, Mingguan Wanita, Majalah Keluarga, Pen Merah, Siakap Keli dan banyak lagi. Ada antara kawan-kawan saya yang okey ada yang tidak.
Namun sejak saya menulis dan semakin banyak artikel yang dikongsi, saya tegas dalam prinsip saya hari ini. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya, namun ini yang saya buat untuk saya jaga kredibiliti penulisan saya.
1. Sekiranya artikel saya itu diambil dengan izin, tanpa pampasan atau wang token, saya ok. Ianya adalah sebuah penghargaan yang sangat baik. Biasanya mereka ini akan beri kredit dengan betul di bahagian atas atau bawah artikel tersebut. Audien yang membaca akan dapat tahu siapa yang menulisnya.
2. Sekiranya artikel saya itu diambil tanpa meminta izin namun masih diberi kredit, maka saya akan PM atau mesej atau direct email kepada mereka. Saya hanya maklumkan ayat ini:
“Salam Tuan / Puan yang budiman, terima kasih kerana mengambil artikel saya. Namun alangkah baiknya sekiranya diminta izin terlebih dahulu dan saya akan hargainya sangat-sangat.”
Ia adalah tentang membina hubungan baik dengan mereka. Sekiranya saya bantai di wall, mengajak pengikut untuk membenci mereka, saya rugi, artikel saya rugi, dan perkongsian saya juga rugi.
3. Sekiranya artikel saya itu diambil dengan izin, namun tidak ada kreditnya. Maka saya akan PM, mesej serta email begini:
“Salam tuan / puan yang budiman, kemungkinan artikel kalian tertinggal nama / link saya untuk ditag sebagai kredit. Mohon semak ya.”
Ia adalah salah satu bentuk hubungan baik juga.
4. Sekiranya artikel saya itu diambil tanpa izin juga ditulis dengan kredit kepada orang lain, maka saya tetap akan PM, mesej serta email untuk membetulkan kesilapan yang mereka buat.
Dulu-dulu, saya akan marah. Saya akan ajak semua pengikut saya pergi hangin sama dengan website / blog tersebut. Tak kisahlah nombor 1 ke nombor 4 ke, saya akan meroyan tak tentu pasal. Follower pun naik hanginlah sekali.
Namun, saya rugi. Dan itu adalah perkara yang saya fikir saya kena buat secara professional. Seorang penulis, perlu ada kredibiliti. Isu copy paste ini adalah isu besar buat penulis seperti kami.
Namun, saya masih kuat untuk berpegang kepada sifat dan sikap kita untuk melawan semua ini dengan hemah dan sahsiah. Awal dulu, saya berhadapan dengan mereka yang copy paste status saya, lalu mereka itu viral, dan saya tidak. Saya berkecil hati.
Sudahlah mereka copy paste, mereka buat macam status sendiri. lebih lagi ada antara mereka ini nama-nama besar dalam industry masing-masing. Termasuk ada artis, pengacara serta ikon dan selebriti media social dan orang besar dunia bisnes serta ustaz-ustazah.
Kemarahan saya itu akhirnya menjadikan saya ini musuh mereka. Sedangkan saya boleh sahaja PM dan tanya mengapa itu terjadi dan kenapa perkara begitu boleh dibuat tanpa mereka segan silu. Apabila saya mula matang, dan PM mereka, rupanya ok sahaja mereka turunkan semua posting tersebut.
Dan akhirnya, bermula era website dan blog viral yang mengambil artikel saya. Saya masih ingat saya marah-marah. Dan jujurnya, mereka bermusuh dengan saya hingga hari ini.
Kawan-kawan,
Bab duit, bab pampasan, bab token, saya tak fikir sangat. Saya menulis dengan percuma di media sosial. Dan itulah risiko yang saya perlu ambil. Segala apa yang kita lontarkan di media social, ada harga yang perlu dibayar. Namun tak semua datang dalam bentuk duit.
Sekiranya mereka kongsikan artikel kita dengan izin dan kredit, maka kita akan dapat follower, dan dari situ, kita bina nama dan kredibiliti.
Kita kongsi benda baik. Dan itulah yang kita nak.
Dan sekiranya mereka tak berbuat begitu (tak minta izin dan tak beri kredti atau beri kredit kepada orang lain) maka kita ini yang bijak, pandai, emosi kita yang terkawal dan sentiasa rasional, kita tanyalah dan tak perlu berperang bagai.
Kita memerlukan satu sama lain. Kita boleh sembang kata mereka (website dan blog viral) ini buat duit dengan artikel kita. Jujurnya tidak, mereka hanya ambil dan dapatkan crowd, mereka kumpul ramainya orang untuk membaca di situ. kemudian, dari situ baru mereka bina iklan dan sebagainya.
Jika mereka tak beri token, apalah kita boleh buat. Mereka hanya sebarkan dan kita dapat follower.
Sebagai penulis suam-suam kuku, saya bersama dengan mereka yang telus, yang berbuat dengan baik serta saya tidak mahu berperang dengan sesiapa pun untuk kita sama-sama menang dalam industry.
Kita memerlukan antara satu sama lain. Jika ada pihak yang buat salah, tegur dahulu secara diam-diam. Jika benar ada perkara yang membuat kita pantas menaikkan darah dan sebagainya, maka keluarkanlah pencak, kita buka kekuda dan lawan di paparan dinding masing-masing.
Ingat kawan, kita tak akan jadi besar dengan membesarkan apa yang kita luahkan. Yang menjadikan kita ada nama ialah perjuangan dengan prinsip, melawan dengan keperluan, dan menolak segala apa yang tidak betul dengan jalan benar.
Saya berdepan dengan banyaknya buku tidak dibayar royalti (kerana masalah wang di rumah terbitan). Dan akhirnya ia ditukarkan kepada jumlah buku untuk saya jual sendiri. Alhamdulillah saya bersyukur masih ada jalan untuk dapatkan semula hasil dari penulisan itu.
Jika nak sembang tentang wang, pampasan, token, tentang dunia penulis yang perlu dibayar karyanya, saya fikir ini jauh lebih besar padang perjuangannya dari berperang hal hemah tulisan kita diambil oleh web viral.
Kita kawal diri kita. Orang tak nak hemah, lantakkan. Kita masih ada akal, kata diri penulis, mesti berjuang guna kata-kata, yang sentiasa dikawal selia oleh rasional dan jiwa.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Terima kasih semua.