Antara benda baru yang saya belajar secara online dengan guru-guru saya sepanjang PKP ini dalam bab rezeki ialah tentang Ibu Bapa. Selama ini saya fikir jika kita beri duit, layan dengan baik, semua akan ok. Rupanya ada lagi yang perlu dibaiki. Antaranya ialah:
1. Berhenti merisaukan ibu bapa. Sekiranya kita ada masalah, kita tak boleh buat ibu bapa bimbang. Kita kena lalui dan buat gembira sahaja, biarkan mereka tak tahu masalah kita. Kita dah dewasa dan kita kena hadap semuanya dengan baik.
Saya bertanya dalam sesi tersebut, “saya cerita sebab saya nak doa ibu saya dalam setiap masalah saya.”
Lalu guru saya jawab, “Boleh. Mintalah doa tanpa sebut masalahnya. Contohnya:
Sales kurang, ada orang fitnah, ada orang dengki. Cakap dengan ibu, Ibu doakan saya supaya perniagaan saya ini tiada yang jahat, tiada yang dengki, semoga jualan saya ini bagus ibu. Ibu doakan ya.”
2. Membuat ibu bapa bimbang atas segala keluh kesah kehidupan kita tidaklah jadi dosa besar. Namun ia akan menutup banyaknya pintu rezeki. Mereka sudah banyak resah gelisah membesarkan kita. Dan tiba masa, kita pula kena lalui semuanya dengan sehemah mungkin.
Biar mereka bahagia, gembira dan seronok melihat kejayaan anak-anak dari tahu masalah hiruk pikuk yang mereka sendiri tak boleh nak bantu.
Kawan-kawan,
Setiap rezeki ada waktunya,
Setiap waktu ada rezekinya.
Lalui semuanya.
Dan kita kena tanggung, junjung dan pegang setiap tanggungjawab tersebut. Kadang-kadang kita berniat nak doa dari ibu bapa untuk selesaikan masalah kita. Kita lupa, kita buat mereka bimbang sampai tak lalu makan, tak nyenyak tidur. Semua itu akan melambatkan rezeki masuk ke dalam rumah.
Ingat kawan, membahagiakan ibu bapa adalah kegembiraan sekeluarga. Resah yang itu, gelisahlah semua.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Mereka gembira, kita kaya dan berjaya.