Dulu-dulu, jika ada sesiapa masuk wad di Hospital Mentakab, atau ada saudara mara yang sakit, emak akan sediakan ikan masak singgang.
Emak kata main campak sahaja. Namun rasanya sedap ya Tuhan. Sejak aku nikah dengan pegawai farmasi, baru aku tahu yang elemen yang ada dalam masakan singgang memang ya bagus-bagus, ada elemen antibiotik semulajadi dan pelbagai vitamin lain.
Hari ini, emak abah aku demam serentak. Jadi aku pergi cari ikan tenggiri bunga, dan tanya emak bagaimana nak siapkan.
Jadi resipi ini 100% resipi emak. Beliau siap duduk di dapur tengok sekali aku masakkan. Senang sahaja rupanya.
Singgang Ikan Tenggiri Bunga.
Bahan-bahannya ialah:
~ 5 keping ikan tenggiri,
~ 5 ulas bawang merah kecil,
~ 3 ulas bawang putih,
~ 1 inci halia,
~ 1 inci lengkuas,
~ 1/2 inci kunyit hidup,
~ 2 batang serai,
~ 3 keping asam keping,
~ 2 biji tomato,
~ 5 biji kacang bendi,
~ 3-5 cawan air.
~ Secubit garam.
Cara-caranya tengok dalam gambar ya.
Tumbuk / ketuk halia, lengkuas dan kunyit hidup. Kunyit hidup tak ada dalam gambar. Malas pegang nanti kuning. Haha
Terus masukkan air dalam periuk, masukkan serai dan semua bahan yang diketuk tadi. Pasangkan api.
Bawang merah dan bawang putih itu kau potong besar begitu. Kasar-kasar sahaja.
Terus masukkan dalam periuk.
Basuh ikan bersih-bersih ya anak-anak. Ketepikan.
Dah mendidih, masukkan asam keping.
Masukkan tomato.
Masukkan kacang bendi.
Terus masukkan ikan. Ha dah masuk ikan, tak boleh kacau beriya, nanti ikan hancur. Biar sahaja dia mendidih ya.
Ha begini. Masukkan garam. Kacau lembut-lembut, kahkah. Rasa, kot dah sedap, tutuplah api.
Siap! Sediakan nasi panas-panas, letak semangkuk untuk emak kau, semangkuk untuk abah kau.
Semoga berpeluh dan kebahlah demamnya! Amin amin.