Stand Up Comedy The Brompton

Selepas menonton Stand Up Comedy di The Brompton, saya berjalan kaki pulang ke bilik hotel, sendirian.

Terngiang-ngiang beberapa patah kata pelawak tersebut,

“Kita hidup bernafas. Itu kita tak pernah nampak namun ia ada. Sedangkan kita tak pernah bercinta dengannya. Tak pernah ucap terima kasih dengannya dan tak pernah sekali pun kita menghormatinya. Namun kalau pasangan kita bercakap dengan bau mulut, kita akan marah.”

Lalu audien ketawa.

Beliau menyambung lagi, “bau mulut itu boleh dicuci sahaja. Sesudah bersih dan wangi kita boleh bercumbu sepanjang hari. Dan apabila kita penat, kita tidur tanpa bersihkan mulut. Dan saat kita bangun, mulut kita busuk semula. Terus kita marah lagi..” Audien tiba-tiba diam.

“Kita boleh marah hanya kerana kesan tidur. Sedangkan semasa kita nyenyak tersebut, kita tidak lakukan apa-apa. Mulut kita membusuk. Air liur dan segala yang pernah kita makan akan hidup semasa kita begitu.

Lalu menjadi busuk.

Sama sahaja seperti kita hidup hari ini, jika kita tidak bersihkan diri kita sebelum kita mati, kita akan membusuk di dalam tanah. Perlunya semasa kita ini masih bernafas, ambil udara dan jadikan ia sebagai teman hidup, kita kena buat baik.

Segala kebaikan sebelum kita tutup mata itulah proses cuci. Dan itu akan bersihkan kita sesuci-sucinya.”

Audien bangun dan bertepuk tangan. Saya kagum.

Dunia pembelajaran di UK tidak berhenti di sekolah. Mereka bawa ia ke pentas-pentas jenaka, ke teater dan mana-mana bentuk hiburan. Yang mana mereka selang selikan semuanya dengan sangat tersusun.

Esoknya, saya ke pementasan teater kanak-kanak sekitar Kensington (tak ingat nama tempat).

Saya bersembang dengan Graham, bertanya mengapa mereka beriya-iya nak anak-anak memasuki dunia teater pada usia muda. Kata Graham,

“Teater memberi kuasa kepada anak-anak untuk berani bercakap di hadapan khalayak ramai, malah ramai anak-anak hari ini jadi berani bercakap adalah dengan mengambil kelas phonetic, teater dan kelas lakonan pentas.

Di situ mereka perlu belajar membaca skrip, melakonkan watak dan kemudian membawakannya ia ke pentas yang ramainya orang tonton. Dan apabila mesej dihantar melalui berdiri di atas pentas, mereka belajar tentang tanggungjawab dalam menyebarkan mesej.

Yang penting mesej positif semasa menyampaikannya.

Keyakinan dalam membentuk talent itu adalah sebuah kejayaan untuk mereka bawa di medan kerjaya nanti.”

Saya jawab, “jauhnya kalian berfikir.” Dan Graham jawab balik,

“Anak-anak adalah aset, kalau kita tak lentur atau susunkan talent mereka, mereka akan hilang keyakinan semasa menjadi dewasa nanti.”

Khairul Hakimin Muhammad,
Talentime.

(Visited 323 times, 1 visits today)