Syurga Suami Dibawah Telapak Kaki Ibunya

Waktu dapat tahu abah dah nak keluar hospital, saya, kakak dan adik terus ke sana bawa kerusi roda.

Seorang lagi adik dan 2 orang abang dah memang ada di hospital. Saya turunkan kerusi roda, kakak dan adik di lobi dan saya pergi cari parking.

Sudah dapat, park kereta terus berjalan masuk ke dalam hospital. Saya keluarkan duit di ATM betul-betul tepi pintu masuk wad. Seperti biasa saya memang akan berdiri kira duit dan barulah berjalan.

Adalah seorang abang ini mengenali, lalu kami bergambar. Dan saya terus ke lif. Sampai di situ adik beradik hantar gambar, saya ingatkan mereka dah turun jadi saya tunggu sahaja di hadapan lif.

Adalah beberapa keluarga yang menanti lif tiba juga. Dalam ramai-ramai itu, ada sekeluarga yang bising ya amat.

Yang itu cakap begini, yang ini cakap begitu. Saya tak tahu apa yang jadi masalahnya namun ada seorang wanita berusia sedang menangis di antara mereka. Kami naik lif sama-sama.

Dalam lif, wanita yang menangis itu kata, “anak-anak lelaki ini patut jaga ayah. Ini bila mak cakap sikit ja, tegur sikit ja, pakat isteri masing-masing bersuara. Macam semua anak-anak lelaki ni dah tak ada hak dah dengan keluarga mak. Semua isteri yang sibuk.”

Mereka pun keluar di tingkat mana entah. Saya terus naik ke tingkat 8. Dapatkan abah, jumpa misi ucap terima kasih dan turun.

Malam tadi duk terfikir juga apalah yang jadi dengan keluarga tersebut. Seperti kami semua, saya sendiri, saya bertuah dapat isteri yang suruh saya pergi jaga emak ayah.

Beliau akan ingatkan saya, lama tak balik, siapa jaga abah, siapa tengokkan mak dan sebagainya. Dan itulah isteri yang kita nak sebenarnya.

Bukannya yang persoal kenapa bukan orang itu yang jaga, kenapa bukan ini, kenapa kena suami dia dan sebagainya.

Sebagai isteri, dia perlu tolak suaminya untuk bantu keluarganya sendiri tanpa melupakan keluarga kecilnya. Kerana kot macam mana pun, syurga si suami tetap di bawah tapak kaki ibunya, bukan isterinya.

Dan para isteri, dia wajib tahu, sedar dan hadam, jika dia dapat suami yang sering bantu emak ayahnya, emak ayah mentuanya, maka dia sedang dapat suami yang akan pimpin dia ke syurga sama-sama.

Benar kita sibuk, benar kita banyak kerja. Namun kawan-kawan, emak ayah itu anugerah. Mana boleh ganti-ganti. Ada sekali sahaja seumur hidup.

Selagi ada, berjasalah sebaik-baiknya. Dan menjadi pasangan, bertolak ansur supaya semuanya dapat hidup dengan hati yang bahagia.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Alhamdulillah.

(Visited 248 times, 1 visits today)