Semalam saya berbual dengan kawan baik saya. Sempat berjumpa dan bersembang. Beliau kongsikan kepada saya tentang ada suatu hari beliau bawa dua anak lelakinya ke masjid untuk menunaikan solat fardu.
Yang sulung sudah besar, dah bersekolah. Yang seorang lagi baru berumur dua tahun.
Anak yang besar menjaga adiknya semasa jemaah menunaikan solat termasuk kawan saya ini. Apabila habis sahaja solat, sedang berdoa tiba-tiba kawan saya ini terdengar suara anaknya menangis dengan kuat.
Beliau mendekati anaknya dan anaknya yang sulong berkata adiknya itu ditepis dengan kuat oleh seorang jemaah yang sedang menunaikan solat sunat ba’diah hingga budak itu terpelanting jatuh.
Lalu kawan saya ini ambil keputusan untuk berdepan dengan jemaah tadi. Jemaah tersebut mengatakan budak itu mengganggu dia solat. Manakala kawan saya juga menegaskan yang tidak perlu berkasar jika mahu melayan anak-anak yang bermain di ruang masjid.
Berlaku sedikit lawan-lawan bercakap hinggalah jemaah tadi berkata,
“Awak tahu tak saya ni siapa?”
Lalu kawan saya tersentak dan terus menghulur salam meminta maaf.
Kawan saya ambil pendekatan mudah sahaja. Elok berundur dari melancar perang. Bukan maaf yang dia harapkan kepada jemaah tersebut, cuma perlu ditegur bagaimana seorang dewasa perlu melayan anak-anak kecil. Itu sahaja.
Saya hanya boleh beri komen ini,
Kita semua dah tua. Sudah ada anak. Jadi kita yang kena matang jika berdepan dengan budak-budak. Jika 1-5 tahun itu bermain di hadapan kita, itu normal. Di mana sahaja, itu biasa.
Jika dah bawa ke masjid, memang kena kawal. Ada orang boleh terima, ada orang tidak boleh. Ada orang sampai ke tahap senyum dan suka sahaja apabila melihat keletah anak-anak berlari, bermain dan berseronok di dalam masjid. Ada orang hangin katanya perlu diam dan sunyi sepi. Macam-macam.
Cumanya, kot tak sukalah bagaimana pun, tolonglah jangan sampai berkasar. Kasihanilah anak-anak yang masih belum pandai untuk berfikir seperti kita.
Tahanlah dengan kelembutan tangan. Sabarlah dengan kemurahan hati.
Anak-anak kita mencontohi perbuatan kita. Dan tidaklah apabila anak-anak kita saling berkasar nanti terhadap kita, lalu kita tegur mereka jawab,
“Alah abah tu dengan budak kecil pun tak boleh sabar, nak ajar orang konon.”
Khairul Hakimin Muhammad